~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Isnin, 3 September 2012

Ahaksss aku kena marah tau

Salam syawal kawan-kawan tersayang,

Tahniah pada yang berjaya menghabiskan puasa 6. Untunglah barang siapa yang sambung pulak puasa ganti dan puasa nazar. Elok bebenor puasa di bulan syawal nikan, sebabnya banyak sangat open house di hujung minggu, bila dah makan banyak, kolestrol pun naik, maka dengan berpuasa, insyaallah hilang segala penyakit. Puasa itu sesungguhnyakan penyempuh penyakit.

Hari ni aku datang kerja seperti biasalah. Masih memandu seperti biasa. Sedang dok bersarapan di tempat duduk aku, (aku malas nak lepak di pantry, dikhuatiri telinga aku ni akan mendapat dosa kering mendengar kutukan dan kritikan daripada staff-staff yang suka membawa mulut), seorang akak datang mengadap aku, katanya hari ni kau drive ke? Aku dengan penuh perasaan mengangguk, sebab nak jawab tak boleh, mulut penuh dengan makanan.

Kau ni degil tau tak? Kau tu dah 38 minggu, tunggu masa je nak bersalin. Kenapa tak suruh husband kau je hantar?

Erkkk! Memang husband saya berkeras nak hantar, tapi saya jugak berkeras nak memandu sendiri, sebab saya rasa masih gagah nak memandu, tak ada masalah, jangan suruh berlari udah, aku menjawab perlahan.

Kau tu tak ada pengalaman nak bersalin, tak ada pengalaman sakit bersalin, tak ada pengalaman contraction macam mana, kang tengah memandu sakit macam mana? Degil tau dia ni. Akak tu sambung membebel. Aku hanya mampu terdiam kekelatan.

Selepas akak tu berlalu pergi, aku cepat-cepat ke pantry buat air minuman. Tercekik makan nasi tercekik kena bebel satu hal, kat pantry dah ramai orang.

Eh ada lagi kau, ingat dah meletup? Seorang akak tegur aku.

Ada lagi kak, lambat lagi nak meletup, 19.9 ni baru meletop, aku jawab penuh keyakinan.

Yelah tu, buatnya minggu ni kau meletup macam mana, kau ingat date doktor kasi tu tepat ke pada semua orang? Seorang akak lain menyampuk.

Aku angguk tanda setuju.

Kau drive ke? Seorang akak lain pula bertanya sambil pandang serius muka aku.

Aku dah diserang rasa gelabah. Nak menipu tak reti, jawab yang benar jugak akhirnya.

Aku jawab, ahh akak, masih memandu seperti biasa.

Kau jangan, suruhlah husband kau yang hantar, buatnya kau sakit nak beranak kat ofis ni macam mana, itu tak pe lagi, buatnya sakit nak bersalin tu dalam kereta sorang diri, tak ke naya.

Aduhhh kena bebel lagi.

Aku akui mereka semua prihatin pada aku, sebab pada merekalah aku jadikan tempat rujukan. Aku nak tanya sapa lagikan.

Tapi, jujur aku cakap, aku masih mampu memandu sendiri. Aku tak naklah mendabik dada, bercakap besar, tapi aku jujur masih boleh memandu. Aku tak nak susahkan Tok Ketua, cukuplah dia jaga aku sepanjang 9 bulan ni, sampai kadang-kadang makan hati dengan aku, betapa sabarnya dia, esok-esok dalam pantang dia jugaklah nak jaga aku daripada A-Z.

Maka, biarlah selagi kudrat ada, aku masih nak memandu. Sepanjang masa, setiap detik aku berdoa semoga kalau sakit nak bersalin pun bukannya semasa aku sedang memandu, bukan semasa aku di ofis. Memang, kalau di ofis hospital tak jauh, 5 minit je, tapi aku tak naklah bersalin kat hospital tu, belum tentu aku dapat doktor wanita.

Doakan aku bersalin secara normal. Doakan semoga aku dipermudahkan bersalin sebagaimana Allah permudahkan Siti Aminah bersalin. Doakan agar aku sakit nak bersalin tu aku rasa di rumah, bukan di ofis.

Aku akui sekarang pun perut aku dah sakit, sebab mengeras, sampai satu tahap aku langsung tak boleh bergerak, ari-ari aku dah sakit, tapi bak kata kawan-kawan ofis itu contraction minor je.

Maka, tunggu jelah hari dan masanya. Akan tiba jua. Semua orang rasa sakit bersalinkan. Cuma berbeza cara sakitnya sahaja.

Khamis, 23 Ogos 2012

Berkabung sungguh - rujuk entry sebelum ni, aku ada sebut tentang berkabung

Salam Aidilfitri. Semoga kita beroleh keberkatan yang maksima dalam bulan syawal yang mulia ini.

Macam mana raya kalian? Tentu meriahkan. Berkumpul bersama saudara mara, makan berjemaah adalah satu nikmat yang tidak dapat digambarkan melalui kata-katakan. Selagi ada mereka, raikanlah dan hargailah. Sesunguhnya, masa itu tak dapat berulang kembali.

Raya kali ni, aku diuji lagi. Entahlah, sejak mengandung, aku rasa ujian aku macam tak ada kesudahan. Hampir setiap bulan aku diuji. Berat sungguh aku rasa.

Mujur masih ada iman walaupun senipisnya.

Aku kan plan nak raya kat KL je. Tapi bila dapat call dari kakak kandung aku, bagitau yang ayah kandung aku sakit, kami plan nak balik Kedah pagi raya nanti selepas urusan di KL semuanya selesai.

Ayah kandung aku akhirnya meninggal tanpa sempat aku jumpa. Sakit tua. Aku rasa ralat sangat.
Seperti di rancang, aku dan Tok Ketua akan singgah sebentar di rumah saudara di Kelana Jaya selepas sonat sunat Aildilfitri, sebelum nak bertolak pulang ke kampung. Tapi, mana boleh lawan takdir. Ayah aku meninggal dunia lebih kurang jam 12 tengahari. Aku hanya sempat jumpa arwah sebelum sempat dikebumikan.

Arwah dikebumikan selepas isyak. Bayangkan perasaan aku ketika itu. Aku rasa kehilangan sangat. Aku kumpul kekuatan nak tulis entry ni. Air mata aku dah kering. Banyak benar aku menangis sejak aku bergelar ibu mengandung ni. Lepas satu, satu masalah yang timbul, yang wujud. Aku hampir hilang pertimbangan.

Perjalanan pulang ke kampung pulak sangatlah tidak lancar. Jem yang teruk bermula di Rawang. Jarak penglihatan sangat terhad kerana hujan yang amat lebat, maka kenderaan bergerak terlalu perlahan. Ada pulak pokok tumbang, ada pulak kemalangan jalan raya, jem bertambah teruk. Bumper to bumper.

Aku yang dah hilang pertimbangan minta izin nak memandu. Tok Ketua asalnya tidak membenarkan kerana dia tengok emosi aku tidak stabil. Kejap menangis, kejap menangis, kejap menangis. Tapi, aku berkeras nak memandu. Bila dah pegang stereng, aku benar-benar memandu seperti orang hilang pertimbangan. Aku mencilok di emergency lane, dan aku kejar saudara aku yang dah bergerak lebih awal di depan.

Selama ini, kalau aku guna emergency lane, Tok Ketua mesti mengamuk dan bising, tapi kali ni, dia diam tak berkata apa-apa. Mungkin dia tak tahu nak cakap apa, melihatkan cara aku memandu sambil menangis.

Aku hanya dapat kejar saudara aku pun bila dah tiba di Hentian Sg Bakap, jauh tu, betapa jem yang teruk. Mereka yang bergerak awal tak alami apa-apa kesesakan jalan raya. Kami berkonvoi bersama menuju ke kampung.

Hanya jasad kaku yang mampu aku tatap dan cium buat kali terakhir. Walaupun arwah tidak pernah menjaga aku sepanjang hayatnya, tapi dia tetap bapak kandung aku, dia juga menjadi wali aku di hari pernikahan aku.

Kini, aku kehilangan 2 ibu dan 2 ayah. Aku dah tak ada sesiapa lagi. Aku benar-benar rasa kehilangan.

Jumaat, 17 Ogos 2012

Kisah Semalam

(Dinasihatkan tak perlu baca kerana entry ni sangat panjang) Hehehehe

Assalamualaikum wbt

Seawal 615am aku dah keluar rumah menuju ke ofis. Memandangkan cuti sekolah dah bermula sejak semalam, jalan raya agak lengang, sudahnya aku tiba di ofis jam 647am. Hari ini hari terakhir aku bekerja, kemudian bercuti raya. Hari rabu aku akan kerja semula. Aku seorang je kat floor aku nanti pada hari rabu tersebut. Entahlah macam mana, pasti bosan. Kenapa aku tak ambil cuti, sebab raya kali ni, aku tak balik ke mana-mana, sekadar raya di rumah sendiri semata. Kalau ada pun ke rumah sedara di Banting atau Kelana Jaya sahaja.

Seronokkan kawan-kawan yang dah mula bercuti dan pulang ke kampung. Tahun ni nampak gaya aku beraya di KL sahaja. Apa tidaknya, Tok Ketua tak nak travel jauh-jauh, dikhuatiri aku terbersalin di dalam kereta akibat stress jem yang melampau-lampau. Hahahaha. Pasrah jelah kan, nak buat macam mana kalau itu dah takdirnya.

Tapi, aku ikutkan sahaja, aku dah biasa raya kat sini, Tok Ketualah tak pernah, dia pulak jiwa kampung, tak tahulah macam mana nanti.

Saat aku menulis entry ni, aku rasa sangatlah mengantuk. Apa tidaknya, dahlah semalam aku tidur lambat. Puncanya, selepas terawih kami ke Pusat Rawatan Islam Az Zahra, mengambil semula resit yang aku tertinggal. Nak claim dengan panel insurans aku. Selepas ambil ubat di farmasi, staff nurse tak kasi aku resit tu, aku pun lupa nak minta semula, sudahnya, semalam nak tak nak kena pergi ambil, kalau tidak rugilah aku, bukan sesen dua. RM200 lebih satu angka yang banyak pada aku, pada orang lain mungkin setakat celah gigi jelah kot.

Kemudian, Tok Ketua ajak menemaninya ke Up Town The Mines. Dah alang-alang daripada Bangi, takkan aku nak menolak, walhal aku rasa sangat lesu. Nak menolak ajakannya, aku rasa tak gamak, sebabnya selama ni aku ajak je dia ke mana, walaupun di tengah malam, tambahan lagi semasa aku preggy ni, tanpa rasa berat, dia menurut sahaja kemahuan aku, maka, aku kenalah belajar menjadi manusia fleksibelkan. Aku kenalah abaikan kepenatan aku. Alahhh, kalau tak larat, aku duduk jelah semasa dia sibuk bershopping, apa susahkan. Sesi memujuk diri sendiri.

Tiba di Up Town The Mines, sungguh tak di sangka, punyalah sesak dengan deretan kenderaan yang parkir di bahu jalan. Ishhh, tak sayang kereta sungguh. Tiba-tiba, mulut cabul aku bersuara, macam ni punya parking tak pulak kereta mereka hilang, dahlah ganggu lalu lintas, orang lain yang dah parking confirm tak boleh keluar parking. Tok Ketua yang mendengar bebelan aku terus marah, tak baik doakan kereta orang hilang. Opsss, aku terlebih sudahhh. Allah, ampunkan aku.

Tok Ketua yang memandu 4wd terus mengambil kesempatan memarking atas longkang besar di tepi jalan bertentangan dengan The Mines. Amboi, mentang-mentang bawak 4wd hardcore, gunakan secara maksima ya. Tapi, baguslah, tak ganggu sesiapa, tak ganggu trafik yang dah memang sesak, tak ganggu pejalan kaki, tak ganggu kenderaan lain keluar dan masuk. Tiba-tiba beberapa 4wd yang baru sampai turut melakukan perkara yang sama. Mereka parkir 4wd mereka di belakang kami. Aku senyum dan pandang Tok Ketua.

Keadaan di situ sangatlah sesak yang melampau-lampau. Tekaan kami meleset, ingatkan tak ada orang, maklumlah, malam-malam terakhir begini, dah ramai balik kampung. Lagipun apalah sangat, kalau orang nak shopping pastinya Jalan TAR menjadi keutamaan kan. Maka, Tok Ketua memegang tangan aku dan memantau aku sepanjang kami bershopping di situ. Dia bimbang aku hilang. Maklumlah aku ni kan dah jadi 'kenderaan berat' sekarang ni, maka speed aku bawah 100 sajalah yang mampu.

Aku tertanya-tanya dalam diri kenapa Tok Ketua excited sangat nak ke situ. Dalam pada masa yang sama, aku confuse jugak, maklumlah dia tak suka kesesakan macam tu, mencelah dan terpaksa mencilok di celahan orang ramai yang leka bershopping yang tak sudi bagi laluan. Biasanya, kalau macam tu, dia akan terus ajak aku pulang. Dengan keadaan aku yang sedang memboyot ni, lagilah dia akan ambil tindakan drastik.

Tapi, dari satu kedai ke satu kedai kami lalu, akhirnya, dia berhenti di salah sebuah kedai yang menjual pakaian baju melayu. Laaa, nak beli baju Melayu rupanya. Napalah bengap sangat aku ni, itu pun tak terfikir ka? Tok Ketua belum lagi shopping raya. Tapi aku pun belum. Ishhh, aku jadi confuse lagi ni.

Tanpa menunggu lama, Tok Ketua memilih sehelai baju melayu lengkap dengan seluar berwarna hitam bersaiz S. Tok Ketua kan bersaiz sekeping, so memang ngamlah saiz tu dengan dia. Aku lagi confuse. Kenapa color hitam. Dalam dok tertanya-tanya tu, Tok Ketua jawab, nak sedondonkan dengan jubah hitam sayang yang tak pakai lagi tu. Boleh pakai pagi hari raya.

Aku terus diserang rasa hiba. Laaaa, selama ni Tok Ketua bukan jenis macam ni tau. Bak kata adik-adiknya, abang mereka ni bukan ada perasaan, hati kering, tak romantik, serius, garang, susah nak senyum, tak mesra alam, tak reti tunjuk kasih sayang, bla bla bla bla. Sebab tu aku rasa terharu, sebab aku akui suami aku yang satu ni memang begitu. Tahun lepas puas aku ajak dia shopping baju raya, betapa nak sedondonkan, tapi Tok ketua buat bodoh je tau, sudahnya, pagi raya, recycle baju kahwin je, hahahaha.

Aku tak sangka yang Tok Ketua sudi jugak akhirnya pakai sedondon dengan aku di pagi raya. Memang aku ada 2 helai jubah hitam yang masih belum dipakai. Satu jubah hitam kelabu dan satu lagi hitam merah. Beriya aku cakap pada Tok Ketua sepanjang bulan puasa ni, aku nak sedondon dengannya di pagi raya, tak kisahlah color apa, tapi nak sedondon. Tapi, sampai ke sudah, tak ada tanda-tanda Tok Ketua berusaha nak memenuhi hasrat aku yang satu tu.

Bila kawan-kawan excited bercerita soal baju raya yang sedondon di pagi raya nanti, tema itu ini, aku terus rasa sedih. Bayangkanlah emosi aku sampai macam tu sekali. Sebab aku rasa, sah dah Tok Ketua tak nak bershopping baju raya, apalah daya aku kan.

Tak sangka, malam tu dia penuhi hasrat aku. Nak je aku peluk dia kat situ. Tapi aku masih waras. Melampau sangatlah aku peluk walaupun suami sendiri di depan khalayak ramai. Aku senyum meleret-leret je mampu. Hitam pun hitamlah, tapi, terlintas rasa nak tergelak pun ada, ada ke orang buat tema raya color hitam? Macam berkabung pulak. Wakakakakakaa. Belasah jelah, janji tahun ni sedondon gitu. Kelasss kau Tok Ketua.

Selesai shopping baju Melayu, aku terus excited nak bershopping jugak, terus aku beli sehelai tudung berwarna pinang masak / merah bata untuk aku sedondonkan dengan salah satu jubah mengandung aku. Nak pakai kat ofis sahaja.

Kemudian, selesai sahaja, kami terus pulang. Jam dah melewati 12 tengah malam. Tok Ketua tanya nak tapau apa-apa ke? Aku pantas menjawab, sahur kang nak makan kari kambing mamaklah. Terus Tok Ketua singgah kat kedai mamak berhampiran rumah kami. Sambil tunggu aku bungkus kari kambing, Tok Ketua makan cheese nan, kegemarannya. Aku pulak, dalam keadaan batuk kong kong ni sempat lagi order teh ais. Tok Ketua bising, katanya kang batuk bising, pastu minum ais batu. Aku sengih jelah bila dah kena bebel kan. Kang melawan kena daulat lorrr. Hahahaha

Lama jugak melepak, aku pulak dah terus hilang rasa mengantuk. Sampai kat rumah dah tak boleh tidur. Entah jam berapa aku tertidur, aku tersedar sebab pinggang aku sebelah kanan ni sakit sangat. Aku tengok jam, 4am. Aduhhh, berapa jam je aku dapat tidur ni. Nak sambung tidur tak boleh, sakit sangat pinggang aku, sudahnya aku bangun termenung atas tilam sambil menahan sakit seorang diri. Mengadu pada Allah di dalam hati.

Bukannya aku tak nak bagitau Tok Ketua, kang terus diusungnya aku ke hospital, tu yang aku tak nak tu. Selagi aku mampu tahan, aku tahan jelah. Sudahnya, sampai jam 5am kot baru hilang sakit. Seksa sungguh. Nak tidur dah tak berbaloi, alang-alang terus aku bersahur. Disebabkan Tok Ketua dah kenyang, dia temankan aku sahaja menjamah kari kambing kegemaran aku tu.

Selepas solat Subuh tadilah, aku terus datang kerja. Sebab tu yang mengantuk sangat ni. Lesu rasanya. Dahlah hari ni ofis aku lengang. Dah ramai mula bercuti semalam. Hari ni ada beberapa kerat jelah yang datang kerja, aku rasa kang selepas Solat Jumaat ramai yang hilang. Sahih dah.

Hahahaha. Yang pasti mood raya aku baru datang akhirnya. Selama ni aku tak terfikir nak raya pun. Dok menghitung hari nak bersalin je. Excited terlebih kau. Tapi, bila Tok Ketua beli baju semalam, aku pulak terlebih excited nak sambut raya. Sukalah.

Tapi, yang pasti, adakah aku akan bertemu lagi ramadhan akan datang? Harapan aku, moga ramadhan kali ni mampu bawa kita semua masuk syurga tanpa hisab.

Khamis, 16 Ogos 2012

7 Amalan & Kesilapan di Pagi Hari Raya Aidilfitri

Di hari mulia Syawal ini pula, umat Islam adalah amat digalakkan untuk

1. Mandi sunat hari raya sebelum keluar menunaikan solat sunat idil fitri .

Ulama besar Tabien Said Bin Jubayr berkata:

“Tiga perkara sunnah di hari raya iaitu antaranya : mandi sunat sebelum keluar solat hari raya”.

2. Menjamah makanan sebelum keluar.

Ia berdasarkan hadith dari Anas Bin Malik yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari yang menyebut:

“Nabi SAW tidak keluar di pagi hari raya idil fitri sehinggalah Nabi SAW menjamah beberapa biji kurma…”

3. Memperbanyakkan Takbir dan bukan memperbanyakkan menonton TV dan bermain mercun.

Seharusnya umat Islam jangan terlalu di sibukkan dengan aktiviti persiapan raya sehingga meninggalkan peluang takbir ini. Ini adalah penting bagi syiar Islam selain kalimah Takbir yang dibenci oleh Syaitan. Ad-Dar Qutni melaporkan bahawa apabila Ibn Umar r.a keluar di hari raya Idul Fitri, beliau akan berterusan bertakbir sehinggalah imam keluar untuk mengimamkan solat hari raya.

4. Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain Tiada masalah untuk menggunakan apa jua kalimah, asalkan ianya mempunyai maksud yang sama. Bagaimanapun, kalimah yang digunakan di zaman baginda SAW adalah “Taqabbalallahu minna wa minkum” ertinya: Semoga Allah menerima amalan (amalan dan ibadat di Ramadhan) kami dan kamu”.

5. Memakai pakaian terbaik yang ada

Walaupun demikian, perlulah mengikut kemampuan dan tiada pembaziran dibenarkan. Tidak dibenarkan untuk menghina pakaian orang lain yang kurang indah dan mahal (kecuali pakaian seksi dan tidak menutup aurat memang di haramkan di dalam Islam).

6. Menukar jalan ke tempat solat (balik dan pergi) Ia berdasarkan hadith dari Jabir r.a yang menyebut bahawa Nabi SAW biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya” (Riwayat Al-Bukhari)

7. Berziarah dan merapatkan hubungan baik (ukhuwwah) sesama Muslim sempena musim cuti yang diperolehi.

Nabi pernah bersabda ertinya : Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya ( Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

7 Kesilapan di Pagi Hari Raya Aidilfitri


1.Sentuhan

Berjabat tangan di antara lelaki dan wanita secara meluas ketika berziarah rumah jiran dan rakan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat para ulama dalam bab ini. Ia lebih baik dijauhi terutama apabila melibatkan pemuda dan pemudi.

2. Aurat & Ipar

Ipar duai yang tidak menjaga aurat di antara satu sama lain ketika berada di dalam rumah. Seperti adik ipar perempuan tidak menutup aurat di rumah sedangkan abang iparnya berada di rumah. Termasuk juga, tidur secara terbuka di ruang tamu tanpa menutup aurat, sehingga membolehkan abang ipar atau adik ipar lelaki melihat aurat yang terdedah.

3. Wangian Wanita

Kaum wanita memakai wangian dan solekan ala artis di musim perayaan lalu keluar dari rumah mendedahkan diri mereka kepada lelaki bukan mahram.

4. Pakaian Wanita

Pakaian yang mendedahkan susuk tubuh dengan sempit dan nipisnya lalu bertandang ke khalayak ramai.

5. Kubur Berkumpul beramai-ramai di kubur hingga duduk di atas kubur orang lain dengan alasan untuk membaca Yasin yang agak panjang dan meletihkan jika berdiri. Larangan ini disebut jelas di dalam mazhab Syafie sebagai dihurai oleh Imam Khatib As-Syarbini, malah bersandar kepadanya juga dilarang ( Mughni Al-Muhtaj, 1/354 ; Minhaj at-Tolibin)

6.Meninggalkan solat kerana terlalu sibuk beraya di sana sini.

7. Dosa Bertempoh

Kembali melakukan dosa yang ditinggalkan di bulan Ramadhan. Malah memang sebahagiannya diniatkan untuk disambung selepas Ramadhan. Sebagai contoh, ada yang menangguhkan pergaduhan di Ramadhan, maka syawal bolehlah bergaduh kembali. Syawal dijadikan tempat lambakan maksiat berdating, bersyahwat melalui telefon dan ’chat’, berjalan jauh berdua-duaan dengan teman wanita dan lain-lain. Hancurlah seluruh kebaikan yang baru hendak sebati dengan hati, sudah dibuangnya jauh-jauh.

Rabu, 15 Ogos 2012

Tanda-tanda orang bertaqwa atau takut kepada Allah SWT


Osman bin Affan berkata:

Tanda-tanda orang bertaqwa atau takut kepada Allah SWT 5 perkara,

1-Dia tidak akan duduk melainkan bersama orang yang elok agamanya ( dapat menahan kemaluan dari melakukan zina dan dapat menahan lidah daripada ucapan yang tidak baik ).

2-Bila ditimpa musibah dunia,maka ia melihat akibat keburukannya.Jika ditimpa musibah berkaitan Akhirat maka ia berkeyakinan bahawa dia akan mendapat keuntungan besar disisi A llah hasil daripada musibah tersebut..

3-Perutnya dipenuhi dengan makanan yang berkat dan halal.

4-Dia melihat orang lain sentiasa selamat dari kecelakaan kerana orang lain sentiasa beribadat kepada Allah Azzawajal.

5-Dia melihat dirinya berada dalam kecelakaan kerana dosa yang dilakukan, ia merasakan kemurkaan Allah akan datang bila-bila masa disebabkan amalannya yang bercampur dengan dosa

Isnin, 13 Ogos 2012

Cegah KEMALANGAN JALAN RAYA Dengan PATUNG SEKSI

NINGBO - Seorang penduduk di Ningbo, China, meletakkan patung seksi yang mengenakan pakaian dalam berwarna merah untuk mencegah pengguna jalan raya daripada memandu laju. Patung itu diletakkan di situ untuk menarik perhatian pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu.


"Walaupun terdapat banyak lampu isyarat di sini namun pengguna jalan raya tetap memandu dengan laju. Ini sangatlah berbahaya," kata Lin Chen, seperti dilaporkan oleh Orange, pada Selasa lalu.

"Polis tidak berminat untuk mengawal lalu lintas kawasan ini, jadi saya memutuskan untuk membeli boneka ini dan mengikatnya pada pokok. Saya rasa, pengguna jalan raya akan memperlahankan kelajuan jika saya meletakkan sesuatu yang menarik perhatian mereka," tambahnya.

Chen mengakui dirinya cukup kecewa dengan pihak polis yang enggan turun mengawal lalu lintas di situ. Namun pihak polis mengakui dengan adanya patung itu, jumlah kemalangan di kawasan itu semakin berkurangan.

"Ini bukanlah kaedah yang kami gunakan, namun kami tidak nafikan mekanisme ini berjaya," kata jurucakap polis di Ningbo.

macam-macam hal lorrr

Khamis, 9 Ogos 2012

Banyak Cara Untuk Bersedekah

Hadis :

Dari Abu Dzar r.a katanya:"Beberapa orang sahabat Nabi SAW pernah berkata kepada beliau,:"Kaum hartawan memperolehi pahala yang lebih banyak. Mereka solat seperti kami solat, puasa seperti kami puasa dan bersedekah dengan sisa harta mereka." Jawab Rasulullah SAW:"Bukankah Allah telah menjadikan berbagai macam cara untuk kamu bersedekah? Setiap kalimah tasbih adalah sedekah; setiap kalimah takbir adalah sedekah; setiap kalimah tahmid adalah sedekah; setiap kalimah tahlil adalah sedekah; amar makruf dan nahi mungkar (menagajak kepada kebaikan dan melarang kepada yang mungkar) adalah sedekah; bahkan pada kemaluanmu pun terdapat pula unsur sedekah." Mereka bertanya:"Kalau begitu, adakah kami mendapat pahala jika kami memuaskan nafsu syahwat kami?" Jawab Rasulullah SAW " Jika kamu melakukannya dengan yang haram, tentunya kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu melakukannya dengan yang halal, kamu mendapat pahala."

(al-Bukhari)

Huraian

1. Sedekah adalah sesuatu yang dapat menambahkan pahala seseorang selain daripada amal ibadat atau kebajikan yang diwajibkan untuk dilakukan.

2. Sedekah yang paling mudah adalah dengan menggunakan anggota badan seperti senyum yang tidak memerlukan sebarang tenaga mahupun wang ringgit. Begitu juga dengan berzikir kepada Allah yang hanya perlu diucapkan dengan lidah atau hati. Malah setiap sesuatu yang dilakukan dengan niat kerana Allah adalah dianggap sebagai sedekah.

3. Orang yang memiliki banyak kelebihan sama ada berupa harta benda, kekayaan, ilmu dan sebagainya selayaknya menginfakkan nikmat Allah tersebut untuk membantu mereka yang memerlukan. Dengan itu hubungan antara anggota masyarakat menjadi lebih kukuh tanpa timbul perasaan dengki dan iri hati antara satu sama lain.

4. Bersedekah adalah tanda bahawa seseorang itu mensyukuri nikmat yang dikurniakan Allah. Sebaliknya orang yang bersifat kedekut adalah orang yang tamak. Sedangkan Allah SWT sahaja yang memiliki segala sesuatu dan Dia berhak merampas kembali nikmat tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki-Nya. Oleh itu Islam mengatakan bahawa keberkatan rezeki itu adalah bergantung kepada cara bagaimana seseorang menyalurkan rezeki yang diperolehinya sama ada kepada kebaikan atau keburukan.