~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~
Memaparkan catatan dengan label mati. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label mati. Papar semua catatan

Isnin, 9 Mei 2011

Kematian yang pasti akan menjelma, sudahkah kita bersedia?

Minggu lepas aku dikejutkan dengan kematian adik sahabat aku. Dia meninggal di atas sofa semasa berehat selepas selesai menikmati makan malam bersama dengan isteri dan mertuanya. Pada mulanya dia memejamkan mata dan bersandar di sofa, apabila dikejutkan oleh isterinya dia masih mampu membuka mata.

Setelah 2x berlarutan perkara yang sama, si isteri mengajak sang suami ke klinik kerana melihat sang suaminya yang dah pucat tak bermaya. Sang suami cakap, esok jelah ke klinik. Dan apabila kali ketiga si isteri mengejutkan suaminya, si suami sudah tidak bernyawa.

Dia meninggalkan dunia ini semasa usianya baru mencecah ke angka 30 tahun. Dia meninggalkan seorang isteri dan 2 orang anak yang masih kecil. Dan sememangnya dia masih muda. Aku turut bersimpati dan sempat mengucapkan takziah kepada kawan aku tadi.

Aku teringat peristiwa di mana seorang rakan dalam dunia outdoor yang meninggal baru-baru ni di atas sebuah gunung di negeri Sabah. Setelah penat treking, mereka melepaskan lelah sebentar di sebuah kem site. Tak lama kemudian, rakan gunung ini meninggalkan dunia ni buat selamanya.

Apa yang cuba aku nak sampaikan adalah, betapa mudahnya orang zaman sekarang meninggal dunia tanpa ada sakit yang teruk atau kritikal. Kalau ada sakit pun, sakit yang bukan kritikal seperti ibu kepada kawan aku meninggal hanya kerana sakit perut dan meninggal ketika sedang tidur. Ini juga salah satu contoh kematian yang pada aku sangat mudah yang berlaku pada akhir zaman ini.

Mudah kan cara mereka meninggal. Tanpa menderita sakit, tanpa melalui sakit. Dan orang yang sakit pun belum tentu akan mati dan orang yang tak sakit yang tiba-tiba pergi dulu. Tak sangka kan?

Dah itu ketetapan Ilahi, ajal dan maut sentiasa mengejar dan mendekati kita. Cuma kita je tak tahu cara yang bagaimana kita akan mati.

Aku yang hari-hari ke ofis dalam jarak perjalanan pergi dan pulang lebih 40 kilometer sentiasa takut mati di tengah perjalanan. Takut eksiden yang boleh membawa maut, takut dilanggar oleh lori dan treler yang besar, takut terbabas, takut pada segala kemungkinan yang kebarangkaliannya boleh berlaku. Maka, aku sentiasa berhati-hati dan macam-macam doa yang aku baca supaya aku tak nak mati eksiden.

Aku selalu berdoa nak mati kat Mekah semasa aku menunaikan haji bersama suami. Aku nak mati dalam keadaan mayat aku sempurna dan cukup sifat. Aku tak mati dalam kemalangan yang ngeri. Aku tak nak. Aku takut. Aku tiba-tiba teringat lagi kawan isteri aku yang meninggal selepas tergelincir di dalam bilik air. Aku jadi takut. Sangat takut.

Aku juga takut sekiranya aku mati semasa sedang tidur. Maka, setiap kali bangun daripada tidur, aku ucapkan alhamdulillah dan bersyukur semaksima mungkin, dan kadangkala aku menangis kegembiraan kerana masih diberi ruang dan peluang untuk bernafas di bumi bertuah ini.

Sememangnya, aku sentiasa dihantui oleh perasaan takutkan kematian. Dan setiap kali mendengar berita tentang kematian, aku semakin dalam ketakutan. Walaubagaimana takut sekalipun, suatu hari nanti aku tetap akan mati. Cuma tak tahu bila dan bagaimana.

P/S : Sempena hari ibu, aku tak putus sedekahkan al fatihah kepada kedua-kedua arwah ibu ku. Moga mereka masuk syurgaMu tanpa hisab. Moga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat.

Setiap kali hari ibu, aku mesti jadi sayu. Selama hayat ibu angkat aku dulu pun, aku rasa ralat sebab tak pernah terasa nak sambut hari ibu dengannya. Entahlah, barangkali zaman tu hari ibu tak popular seperti sekarang. Walaubagaimanapun, aku tetap rasa bersyukur kerana sempat menabur bakti kepadanya. Sekurang-kurangnya doa aku padanya tak pernah putus.

Pada ibu kandung ku pula yang bersusah payah melahirkan aku dan adik kembarku bersabung nyawa, jasamu tak dapat aku nak balas langsung. Dia pergi meninggalkan kami selepas melahirkan adik kembarku sejam selepas melahirkan aku. Walaubagaimanapun, doaku pada mu tak pernah putus.

Selamat Hari Ibu kepada semua ibu di dunia. Semoga kita semua masuk syurga tanpa hisab.





Isnin, 18 Oktober 2010

Jangan biarkan hati kita mati untuk tidak mengingati mati

4 Zulkaedah. Kenapa entah agaknya emosi aku agak terganggu pagi ini bila aku membaca berita tentang kematian seorang penyokong Kelantan semalam. Barangkali, emosi ini kesan lanjutan daripada kes 'Tragedi Oktober - 10/10/10' di mana kemalangan maut tersebut telah meragut lebih 12 nyawa. Termenung panjang aku. Teringat tragedi di awal tahun 90-an dulu di mana 11 saudara aku terkorban serentak sekelip mata dalam satu kemalangan maut di Air Itam, Johor. Terimbas kembali di mana malam itu juga kami bergerak ke Johor daripada utara Semenanjung dan tiba di sana, puluhan wartawan dan juru gambar menanti. Dan itulah kali pertama aku menaiki van jenazah. Entah berapa kali sepupu aku pengsan kerana masih tidak dapat menerima kenyataan kehilangan darah daging secara serentak dan tragis.

Sebelum itu, aku turut merasa kehilangan di atas kematian tragis Datuk Sosilawati dan 3 rakannya. Tak terjangkau dek fikiran aku bagaimana mereka sanggup membunuh demi kerana wang. Berbunuh kerana duniawi. Aku ni nak jentik seekor kucing pun aku tak sanggup, apatah lagi nak membunuh. Aku selalu juga jadi pembunuh, tapi pembunuh nyamuk jelah. Itu pun cara pembunuhan nyamuk yang aku lakukan sering dipertikaikan oleh anak-anak buah dan kawan-kawan aku. Apa taknya, hanya menggunakan kaedah satu jari telunjuk secara gerak perlahan. Kebanyakannya, nyamuk terselamat daripada terbunuh!

Berbalik kepada kes kemalangan tadi, banyak sekali photo dan video yang dikirimkan melalui email atau melalui FB menceritakan tentang nahas yang berlaku. Rasa insaf dan sedih datang serentak semasa membelek-belek photo dan video tersebut. Aku dapat merasakan kesedihan melampau yang dialami oleh keluarga mangsa. Hiba. Sangat hiba.

Bagaimana kita akan mati kelak? Entry ini aku pernah tulis sebelum ni, di mana aku ingin sekali mati di mekah semasa menunaikan haji. Yang membuatkan aku teremosi tadi ialah tentang penyokong bola sepak tadi. Aku bukan nak mepertikaikan bagaimana dia mati. Sebab aku pun ada kawan-kawan yang pernah mati semasa mendaki gunung, semasa sedang berkelah di jeram atau di laut, mati kena bunuh (kes tu berlaku 2004, dan baru-baru ini aku baca paper mengatakan pembunuh tu akan dikenakan hukuman gantung sampai mati), mati eksiden kereta / motor, mati semasa pergi / pulang daripada kerja dan semasa sedang bekerja dan ramai juga yang mati kerana sakit yang pelbagai seperti kanser dan serangan jantung. Ada yang meninggal semasa sedang bersukan, bermain badminton, bola sepak dan marathon.

Mempertikaikan bagaimana mereka mati bukan satu tindakan yang bijak, walaupun aku selalu dengar ramai pihak yang kurang senang sekiranya kita mati dalam keadaan pergi berhibur yang pastinya kerana duniawi. Contohnya, macam artikel suratkhabar yang aku baca sebelum ni yang mati kemalangan pulang daripada bermain boling / pulang daripada disko. Aku yang jahil ugama tak mampu langsung nak mengulas tentang isu ini. Macam kes berprofil tinggi dulu, Norita mati dalam keadaan yang mengaibkan. Yang kena tempias, adalah keluarga arwah.

Masyarakat bukan saja memandang serong, malah penghinaan demi penghinaan dilemparkan, sehingga keluarga arwah terpaksa berpindah, kesan daripada kehilangan privasi dan maruah. Sebaliknya, kematian arwah pelakon Ismail Din di Mekah, memberi impak yang berbeza. Kematian Din Beramboi misalnya, juga dinilai masyarakat dari perseptif berbeza.

Tiada niat untuk aku membandingkan kematian mereka, apa yang aku cuba nak bangkitkan di sini ialah dari segi pandangan masyarakat setempat, especially masyarakat yang berugama Islam. Masing-masing memberikan pandangan dan hujah. Niat tidak menghalalkan cara. Entahlah

Cara bagaimanapun mati, itu bukan kerja kita, yang penting, sentiasalah mengingati mati. Kerja kita pula, jangan biarkan hati kita yang mati, itu yang paling bahaya. Itu lebih adfal. Sama-samalah kita berusaha ke atas iman.