DIA hanyalah seorang ustaz muda yang tampangnya lawa dengan sejemput janggut membalut dagu dan sedap pula mata memandang. Yang hebatnya barangkali, dia berkelulusan Mesir dan berjaya menamatkan kuliahnya dengan pangkat kepujian. Hanya itu.
Ya, bagiku hanya itulah kelebihannya yang aku nampak. Yang lain-lain tidak ada yang bagus. Tidak ada yang menarik di hatiku. Semua yang dilakukannya hanya akan menjuakkan rasa meluat dan tidak puas hati.
Semenjak kepulangan ustaz muda itu, aku seperti cacing kepanasan di dalam masjid. Pantang masuk sahaja waktu solat, hatiku bukan kepalang resahnya. Apa tidaknya, ustaz muda itu boleh sahaja terus menonong ke hadapan mengimami solat fardu tanpa mempedulikan aku. Apatah pula jika dia disokong oleh orang-orang kuat masjid.
“Suaranya lunak tuan imam,” kata Mad Dali guru Bahasa Melayu yang hidungnya tercatuk itu.
“Aku suka dengar dia baca Quran,” komen Dasuki, bilal masjid, yang juga rafik akrabku sejak berdekad-dekad lalu.
“Orangnya tawaduk,” getus Razak, petani moden yang buta sebelah matanya, kesan pertempuran dengan komunis di Sungai Rasau dulu.
Pedih
Paling menggusarkan hatiku ialah apabila isteriku sendiri berkata kepadaku kala cahaya mentari mula mengemilau di ufuk.
“Elok budi bahasanya, lembut tutur katanya, bang haji.”
Aku yang pada waktu itu sedang ralit mengunyah lepat terhenti. Ketul-ketul lepat yang menyusur di kerongkong seperti duri-duri sembilu yang menusuk-nusuk tekak. Pedihnya lama dan membengkak.
Aku tidak mempedulikan kata mereka. Sebagai seorang imam dan orang tua, aku tahu bahawa pengalaman diri akan menjadi senjata ampuh sekiranya ustaz muda itu berniat untuk mengambil alih jawatan ini daripadaku. Aku akan berkata, bahawa pengalaman yang banyak membawa perubahan kepada masjid ini. Jika dia berkeinginan untuk menjadi imam, dia mestilah mempunyai pengalaman dan menimba asam garam kehidupan dahulu.
Pernahkah dia menjadi imam? Memimpin jemaah yang majoritinya terdiri daripada orang tua-tua? Aku tersenyum sendiri. Pedulikan sahaja apa yang ingin dikatakan orang. Pedulikan sahaja mulut manis orang kampung tentangnya.
Pernah suatu ketika selepas berjemaah subuh, dan aku sedang mengalunkan surah an- Nur, datang Dasuki kepadaku dan memaklumkan yang dia ingin menjemput ustaz muda itu memberikan kuliah. Aku tidak pasti pula sama ada ustaz muda itu yang hidung tak mancung pipi tersorong-sorong. Tiada jawapan yang keluar, tiada respons kuberikan, sekadar senyuman tawar kulemparkan kepada Dasuki. Aku hanya menyumpah dalam hati - ustaz muda itu sudah kuberikan betis, inginkan paha pula!
Mula-mula ustaz muda itu berceramah tentang solat. Katanya, solat itu tiang agama. Solat itu manhaj dan asas dalam kehidupan Muslim. Solat jugalah yang membezakan di antara seorang Muslim dan yang kafir. Waktu yang paling hampir bagi seseorang hamba dengan Tuhannya ialah ketika sedang sujud. Malah, dia juga menekankan tentang keutamaan solat berjemaah di masjid. Itu lambang kebersamaan dan kekuatan sesebuah komuniti.
Ya, memang waktu mula-mula aku dilantik menjadi imam dulu, solat berjemaahlah yang aku tekankan. Pernah suatu ketika aku menahan Dasuki daripada mengalunkan iqamah dan aku meminta jemaah meluruskan saf yang seperti ular kena palu. Aku meminta mereka menyamakan tumit dan merapatkan bahu. Aku meminta mereka supaya saling berprasangka baik dan jana mawaddah dalam hati. Bukan mereka tidak tahu yang saf merupakan salah satu daripada kesempurnaan solat berjemaah.
Aku meneruskan bacaan. Sesekali kupanggung juga kepala melihat ustaz muda itu memberi kuliah. Dia kelihatan bersungguh-sungguh dan air mukanya memperlihatkan ketokohan dan kredibiliti. Aku sedikit mencemik dan teringatkan kehebatan masa mudaku.
Ustaz muda itu mengingatkan jemaah subuh yang hadir tentang wuduk. Katanya, jangan ambil mudah soal wuduk. Wuduk yang tidak sempurna akan menjadi penghalang kekhusyukan. Dia memfokuskan tazkirah kepada beberapa hikmah wuduk. Wuduk adalah lambang bahawa Islam adalah agama yang mementingkan kebersihan dan kesihatan. Wuduk akan membentuk sikap sabar, cermat dan teliti.
Sabar akan tercerna apabila ada sikap memastikan wuduk sentiasa sempurna. Sabar untuk ke tandas beristinjak, memastikan pakaian dan diri bersih dari hadas kecil dan besar. Sabar untuk menyingsing lengan baju, membuka kasut dan stoking bagi mereka yang bekerja. Sabar mengambil wuduk dengan tertib, mengikut urutan rukunnya. Sabar menyebut nama Allah, membasuh dua tapak tangan, berkumur-kumur, menyelati janggut dan bulu yang tebal pada bahagian wuduk dan menyapu seluruh kepala, sabar menyelati celah-celah jari tangan dan kaki dan menyapu dua telinga, sabar mengulanginya sebanyak tiga kali pula dan dilakukan secara berturut-turut.
“Bukankah itu semua sunat wuduk, ustaz?” Bilal Dasuki menyampuk, keningnya berkerut.
Aku tersenyum sinis dan ustaz muda itu juga tersenyum, tetapi tenang dan tidak terkejut gamaknya.
“Apabila kita tahu itu semua adalah sunat wuduk dan kita membiasakan diri melakukannya, bukankah itu sabar?” Suaranya tenang tetapi menggoncang. Dasuki kelihatan terangguk-angguk. Aku terkedu buat kali pertama. Paradigma diri sedikit tergugat.
Aku menarik nafas dan kembali membaca surah. Sesekali menyelinap juga rasa bersalah dalam hati apabila mata melihat yang hak, tetapi hati tidak khusyuk mendalami ayat-ayat Allah. Akhirnya aku menutup mashaf dan menekur lantai masjid. Telingaku pasang sedia bagi menangkap butir-butir tazkirah ustaz muda itu.
Segani
“Tuan-tuan yang saya segani. Sikap cermat pula akan terjana apabila kita merealisasikan hadis riwayat Imam Muslim daripada Anas, “Nabi berwuduk dengan secupak air.” Bayangkan bagaimana cermatnya Rasulullah s.a.w. menggunakan air, meskipun dalam berwuduk. Dan bukankah baginda nabi mengajar kita supaya menghindari sikap boros dan mendisiplinkan diri supaya sentiasa berwasatiah atau bersederhana dalam kehidupan?”
Aku terkesima. Tenggorokku turun naik menelan liur. Ya, isi tazkirahnya biasa, tetapi ada wacana yang disuguh. Ada lontaran yang perlu digenggam.
“Wuduk akhirnya akan membentuk sikap teliti dalam diri. Kita disunatkan melebihkan basuhan muka ke bahagian kepala, membasuh bahagian atas dua siku dan buku lali. Perbuatan ini melahirkan sikap teliti dan sentiasa fokus. Bagi kita umat Islam yang dikehendaki bekerja, sikap ini akan mempergiat produktiviti dan kualiti kerja.
Tuan-tuan, selesaikan dahulu wuduk kita, sempurnakan wuduk dan barulah layak untuk kita berbicara soal solat dengan lebih dalam pula.”
Aku terdengar ustaz muda itu mengakhiri kuliahnya dan memberi salam. Aku cepat-cepat bingkas, meletakkan mashaf di rak dan terus melangkah keluar masjid, tanpa menyalami sesiapa pun.
Suatu petang sebaik sahaja mengimami fardu Asar, aku gesit meninggalkan masjid setelah menyalami beberapa jemaah, apabila ustaz muda itu kulihat dari jauh datang ingin menyalamiku. Ada rasa bersalah, tapi aku culaskan.
Dasuki datang ke rumahku petang itu. Kami duduk di ruang tamu. Di rumah kala itu hanya ada anak perempuanku, graduan universiti tempatan yang baru diterima bekerja di sebuah firma swasta. Dia di dapur menyediakan sedikit juadah. Isteriku pula keluar mengajar Quran untuk orang tua-tua.
Apabila Dasuki memandang anak mataku, ada dedar menghambat. Ada debar cukup kuat beralun. Aku dapat merasakan Dasuki ada permintaan. Yang naluriku cukup kuat menebak, permintaan itu adalah untuk aku melepaskan jawatan imam!
Aku tidak sanggup menahan panahan matanya, lalu pandanganku menekur lantai.
“Kau sakitkah, imam?”
Aku menggeleng. Seperti budak kecil pula lagakku.
“Kau sekarang sekejap sahaja di masjid. Jarang dapat borak-borak dengan jemaah.” Suara Dasuki mendatar.
Dadaku seperti tertusuk jarum peniti.
“Aku datang ni nak sampai cadangan ustaz muda itu. Dia bercadang untuk menjemput kawan-kawannya mengadakan program motivasi dan khemah ibadah untuk anak-anak kecil, mengajar kitab, dan sebagai khatib tamu. Bagus juga cadangannya.”
Hatiku mendongkol. Bukan tidak pernah aku menjemput rakan-rakanku yang kebanyakannya sudah pencen untuk memberi kuliah dan mengajar kitab. Barangkali tajdidnya hanya pada program motivasi dan khemah ibadah itu. Tidak pernah pula program untuk anak-anak kecil diadakan. Tidak pernah pula perkara itu terbit dalam kotak fikirku. Debar di dada mulai surut. Kelegaan menjarah.
“Aku rasa elok kita beri dia peluang dan ruang. Mereka kelompok muda, dan ustaz itu lebih faham kasus kelompok mereka. Manhaj dakwah apakah yang sesuai dan rasional. Bukankah Rasulullah pernah menggunakan tenaga Sayidina Ali yang sangat muda dalam peristiwa hijrah?”
Aku rasakan atap rumahku seperti roboh dan menghempap kepalaku. Pelbagai rasa berbaur dalam dada. Debar hilang serta-merta.
“Tak sangkakan haji, budak montel yang berhingus itu kini sudah berjaya dan aktif menghidupkan masjid, memberi sumbangan untuk kita dan anak bangsa.”
Kepala kuangkat perlahan dan kupanggung melihat tampang Dasuki, “Budak montel berhingus?”
“Ya, si Mustakim. Anak murid kita yang montel dan berhingus tu. Dia berkirim salam pada kau. Dia diterima mengajar di sekolah kampung ni. Katanya, dia segan amat denganmu, dan dia akan menjadi manusia yang benar-benar manusia, memanusiakan manusia dengan Islam. Dan yang paling aku suka, katanya lagi, dia akan menjadi sebutir benih, yang walau dicampak ke mana pun, akan tumbuh subur menjadi sebuah pulau. Dia memetik kata-kata As-Syahid Hasan Al-Banna.” Dasuki tersenyum memandangku. Dia rafik yang begitu memahami. Ada rasa bangga bersatu dalam senyumannya itu.
Subhanallah! Fikiranku berpusar mengingat lembaran sejarah berdekad lalu. Sehingga fikiranku yang hanyut itu andar pada suatu hari paling bermakna bagi seorang guru - Hari Guru.
Budak montel yang selalu berhingus itu datang kepadaku dan meletakkan bungkusan hadiah di atas mejaku dalam bilik guru. Aku hanya tersenyum sepicing kepadanya dan buat-buat menanda buku kerja. Budak itu terpinga-pinga menanti dan apabila lama tercatuk di tepi mejaku, dia keluar dengan kepala tertunduk. Aku menghela nafas lega, dan apabila aku membuka pemberiannya dalam bungkusan kertas akhbar lama yang sudah koyak rabak, hanya ada lima biji telur ayam kampung yang masih melekat bulu ayam.
Sebenarnya, budak montel itulah yang paling aku meluat kerana pakaiannya yang comot dan tidak terurus. Pelajarannya tidak pernah mengecewakan tetapi bau badannya sangat meloyakan. Sepanjang enam tahun dia menjadi anak muridku, tidak pernah aku melayannya dengan baik, meskipun Dasuki pernah memberitahuku, bahawa aku adalah guru kesukaannya.
Bersalah
Perlahan-lahan rasa bersalah menyelinap ke dalam hatiku. Yang tidak pernah kulupa, saat keluarnya keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah, dia datang kepadaku dengan senyuman cerianya dan berkata, “Ustaz, saya dapat semua A.”
Aku hanya tersenyum tawar dan membalas katanya, “Semoga kau jadi manusia yang benar-benar manusia.” Kemudian aku memberitahunya aku sibuk dan berlalu meninggalkannya. Dari lirik ekor mata, aku lihat senyuman cerianya mati dan tangannya menggigil memegang kertas keputusan UPSRnya. Sejak itu, aku tidak mengetahui lagi perihal dirinya, sehinggalah saat ini. Ada rasa sebak membuyar. Ada rasa haru yang mencengkam. Jika tiada Dasuki waktu itu, sudah tentu ada air mata sesal mengalir di pipiku.
Paradigma diriku saat itu bertukar seratus peratus. Aku perlu memberi ruang dan peluang. Di masjid, aku sudah mula tersenyum apabila menyalami anak muda. Kata Mustakim, senyum itu ada kuasa tanpa tenaga, senyumlah apabila orang muda menyalami yang tua, dan yang tua menyalami yang muda. Bak pinang pulang ke tampuk, bak sirih pulang ke gagang.
Aku sudah mula menghargai generasi muda yang datang ke masjid. Aku sentiasa meraikan, mendorong dan mengagih tugas, puji dan beri semangat, supaya mereka tidak menjauh dan sentiasa akrab berjemaah. Penceramah-penceramah di masjid sudah aku seimbangkan di antara yang muda dan tua, supaya saling berganding bahu dan bekerjasama. Jemaah semakin bertambah, tua dan muda, harmoni dalam cinta kerana Allah.
Kini, aku sudah bersedia seikhlas hati, menanam niat suci dalam lubuk nubari, sudah tiba masanya untukku melepaskan jawatan imam ini kepada Mustakim, ustaz muda, yang kini sudah sah menjadi menantuku.
2 ulasan:
Walau hanya cerpen, ia sangat menyentuh hati. Apatahlagi nama watak ustaz itu adalah Mustakim (sama namanya dengan Along, walau berbeza ejaan pada huruf K - dan Along juga berbadan montel, tapi belum jadi menantu sesiapa lagi).
kakcik : laaaa ye ke, wah, untungnya akak, dah ada anak soleh, sure akan dpt menantu solehah, sy doakan ni :-)
aminnn :-)
Catat Ulasan