~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Isnin, 9 Mei 2011

Kematian yang pasti akan menjelma, sudahkah kita bersedia?

Minggu lepas aku dikejutkan dengan kematian adik sahabat aku. Dia meninggal di atas sofa semasa berehat selepas selesai menikmati makan malam bersama dengan isteri dan mertuanya. Pada mulanya dia memejamkan mata dan bersandar di sofa, apabila dikejutkan oleh isterinya dia masih mampu membuka mata.

Setelah 2x berlarutan perkara yang sama, si isteri mengajak sang suami ke klinik kerana melihat sang suaminya yang dah pucat tak bermaya. Sang suami cakap, esok jelah ke klinik. Dan apabila kali ketiga si isteri mengejutkan suaminya, si suami sudah tidak bernyawa.

Dia meninggalkan dunia ini semasa usianya baru mencecah ke angka 30 tahun. Dia meninggalkan seorang isteri dan 2 orang anak yang masih kecil. Dan sememangnya dia masih muda. Aku turut bersimpati dan sempat mengucapkan takziah kepada kawan aku tadi.

Aku teringat peristiwa di mana seorang rakan dalam dunia outdoor yang meninggal baru-baru ni di atas sebuah gunung di negeri Sabah. Setelah penat treking, mereka melepaskan lelah sebentar di sebuah kem site. Tak lama kemudian, rakan gunung ini meninggalkan dunia ni buat selamanya.

Apa yang cuba aku nak sampaikan adalah, betapa mudahnya orang zaman sekarang meninggal dunia tanpa ada sakit yang teruk atau kritikal. Kalau ada sakit pun, sakit yang bukan kritikal seperti ibu kepada kawan aku meninggal hanya kerana sakit perut dan meninggal ketika sedang tidur. Ini juga salah satu contoh kematian yang pada aku sangat mudah yang berlaku pada akhir zaman ini.

Mudah kan cara mereka meninggal. Tanpa menderita sakit, tanpa melalui sakit. Dan orang yang sakit pun belum tentu akan mati dan orang yang tak sakit yang tiba-tiba pergi dulu. Tak sangka kan?

Dah itu ketetapan Ilahi, ajal dan maut sentiasa mengejar dan mendekati kita. Cuma kita je tak tahu cara yang bagaimana kita akan mati.

Aku yang hari-hari ke ofis dalam jarak perjalanan pergi dan pulang lebih 40 kilometer sentiasa takut mati di tengah perjalanan. Takut eksiden yang boleh membawa maut, takut dilanggar oleh lori dan treler yang besar, takut terbabas, takut pada segala kemungkinan yang kebarangkaliannya boleh berlaku. Maka, aku sentiasa berhati-hati dan macam-macam doa yang aku baca supaya aku tak nak mati eksiden.

Aku selalu berdoa nak mati kat Mekah semasa aku menunaikan haji bersama suami. Aku nak mati dalam keadaan mayat aku sempurna dan cukup sifat. Aku tak mati dalam kemalangan yang ngeri. Aku tak nak. Aku takut. Aku tiba-tiba teringat lagi kawan isteri aku yang meninggal selepas tergelincir di dalam bilik air. Aku jadi takut. Sangat takut.

Aku juga takut sekiranya aku mati semasa sedang tidur. Maka, setiap kali bangun daripada tidur, aku ucapkan alhamdulillah dan bersyukur semaksima mungkin, dan kadangkala aku menangis kegembiraan kerana masih diberi ruang dan peluang untuk bernafas di bumi bertuah ini.

Sememangnya, aku sentiasa dihantui oleh perasaan takutkan kematian. Dan setiap kali mendengar berita tentang kematian, aku semakin dalam ketakutan. Walaubagaimana takut sekalipun, suatu hari nanti aku tetap akan mati. Cuma tak tahu bila dan bagaimana.

P/S : Sempena hari ibu, aku tak putus sedekahkan al fatihah kepada kedua-kedua arwah ibu ku. Moga mereka masuk syurgaMu tanpa hisab. Moga roh mereka sentiasa dicucuri rahmat.

Setiap kali hari ibu, aku mesti jadi sayu. Selama hayat ibu angkat aku dulu pun, aku rasa ralat sebab tak pernah terasa nak sambut hari ibu dengannya. Entahlah, barangkali zaman tu hari ibu tak popular seperti sekarang. Walaubagaimanapun, aku tetap rasa bersyukur kerana sempat menabur bakti kepadanya. Sekurang-kurangnya doa aku padanya tak pernah putus.

Pada ibu kandung ku pula yang bersusah payah melahirkan aku dan adik kembarku bersabung nyawa, jasamu tak dapat aku nak balas langsung. Dia pergi meninggalkan kami selepas melahirkan adik kembarku sejam selepas melahirkan aku. Walaubagaimanapun, doaku pada mu tak pernah putus.

Selamat Hari Ibu kepada semua ibu di dunia. Semoga kita semua masuk syurga tanpa hisab.





2 ulasan:

kuntumz berkata...

salam, klo sebut pasai mati ni mmg tersgtlah takut..rasanya blum ckp bekalan utk dibawa KE SANA...
sentiasa berdoa, smga Allah panjangkan umurku, spya dapat diri ini mendekatkan dgn DIRINYA...amin

Wanita Bertudung Hijau berkata...

kuntumz : marilah kita sediakan bekal banyak2 ya :-) utk ke sana berjemaah :-)