~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Selasa, 20 Mac 2012

Petikan daripada email aku

"Puan sudah memasuki Raudhah?”

“Sudah, semalam,” nampak wajah ceria menjawab soalan ringkas tersebut.

“Kusyuk berdoa di sana?”

Mereka tersipu-sipu mahu menjawab soalan cepumas buat kaum wanita yang mengunjungi Raudhah. Ada yang tersenyum.

Suasana Raudhah buat kaum wanita sangat mencabar. Saya tidak tahu secara pasti keadaannya kerana tidak mempunyai kuasa ajaib memerhatikan keadaan.

Jika cerita-cerita Roza dan wanita yang lain dijadikan panduan, maka istilah kusyuk solat dan berdoa di Raudhah perlu diberi takrifan baru.

Saya bertanya lagi, “kenapa teruja ke Raudhah?”

“Ia dikatakan tempat yang mustajab berdoa. Dan ia taman syurga”.

“Benar. Bila sampai di Madinah, berada di dalam masjid Nabawi pergilah ke permaidani hijau tersebut. Jangan tidak. Nanti bila pulang ke Malaysia, soalan pertama yang ditanya orang, dapat solat dan berdoa di Raudhah? Ia sangat penting”.

Mereka tersenyum mendengar gurauan saya.

Lalu dengan nada yang lebih serius saya nyatakan, “namun jangan lupa beberapa perkara, pertama, doa ibu bapa sangat mustajab. Tidak kira ibu bapa berada di Madinah, Mekah atau Shah Alam, ibu tetap ibu. Ayah tetap ayah.

Ia tidak merujuk kepada tempat atau lokasi. Mustajab itu Allah anugerahkan kepada setiap individu. Gunakanlah peluang itu sepenuhnya.

Ia tidak bermodal.

Kedua, doa mereka yang berpuasa dikatakan sangat mustajab. Ia juga tidak bergantung kepada lokasi, Ia bergantung kepada amalan. Berpuasalah. Ia mempunyai banyak kelebiham.

Jangan pula kita beria-ia mencari orang berpuasa untuk mendoakan bagi pihak kita. Doa itu merupakan satu ibadat yang sangat menarik sifatnya.

Ketiga, bangunlah 1/3 hujung malam yang tersisa (nota: lihat entri terdahu). Allah berjanji akan memakbulkan doa, ampunkan dosa mereka yang bertaubat dan memberi apa yang diminta pada ketika ini.

Ia juga bukan menunjukkan tempat atau lokasi. Ia menunjukkan masa!

Allahu Akbar… ketiga-tiga keadaan berdoa ini dimiliki oleh setiap manusia yang mahu berfikir dan beramal dengan ilmu yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW.

Dalam konteks yang berbeza, mahu berada di dalam taman syurga? IsyaAllah, kita boleh membina taman syurga di rumah sendiri, di Malaysia! InsyaAllah juga, rumah saya adalah taman syurga.

Kenapa?

Saya amalkan sesuatu yang saya pelajari sebagaimana sabda Nabi Muhammad SAW seperti yang direkodkan oleh Tirmidzi yang bermaksud,

“Apabila kamu melewati taman-taman syurga, perbanyaklah berzikir.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud taman-taman syurga itu?” Beliau menjawab, “Ia halaqah-halaqah zikir (majlis ilmu)”

Allahu Akbar, dikatakan juga ribuan para malaikat akan turut serta bersama-sama mengikuti majlis-majlis ilmu tersebut. Akal bodoh saya memikirkan dengan cara yang mudah dan ringkas, “rupanya ia tidak susah untuk menjemput para malaikat bertandang ke rumah”.

Mudah-mudahan ia jadi begitu dengan kami mengadakan majlis tazkirah – di rumah – hampir setiap malam bersama tetamu-tetamu Allah.

Saya mohon keampunan Allah.

Nota: Tazkirah di atas saya sampaikan kepada Cik Puan Fauziah dan rombongan yang berkunjung ke rumah kami pada malam tadi. Mudah-mudahan ia menjadi ilmu yang bermanfaat.

Semuanya wanita. Topik tazkirah khusus untuk mereka

2 ulasan:

UMMI YL berkata...

benar, saya suka point
"Gunakanlah peluang itu sepenuhnya.
Ia tidak bermodal"

kadang2 kita selalu lihat perkara besar-besar dan lupa yang ada depan mata..:)

Wanita Bertudung Hijau berkata...

rulza : sesungguhnya... sy juga amat bersetuju :-)