~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Khamis, 27 Januari 2011

Sirih pulang ke gagang - Siri 1

22 Safar. Esok hari terakhir bekerja, dan aku akan bercuti bermula 29hb Januari 2011 - 7hb Februari 2011. HR yang menggesa supaya baki cuti aku tahun lepas dihabiskan segera, maka aku menggunakan kesempatan ini untuk bercuti panjang. Bercuti bukan sahaja dapat menenangkan jiwa, malah boleh dapat sakit jiwa jika tidak kena caranya. Sebab biasanya selepas bercuti aku akan jadi pokai, hehehehe.

Destinasi aku kali ni lebih daripada 2 ribu kilometer pastinya pergi dan pulang menggunakan jalan darat. Jauh perjalanan kata orang, luas pengetahuan, harapnya begitulah. Selain menjamu mata dengan pemandangan cantik ciptaan Allah (tu baru kat dunia, syurga lagi cantik, serba putih lagi), aku juga suka mencuba makanan tradisional lokasi yang disinggahi. Kalau kena dengan tekak, makanan tersebut akan menjadi favourite, kalau tidak, itulah kali pertama dan terakhir aku akan mencuba. Tapi, aku sentiasa ingin mencuba menu yang baru biarpun kadang-kadang menu itu akan membuatkan tekak menjadi kembang (janji halal).

Aku sebenarnya tak rasa excited langsung nak bercuti, sebab kepala aku sangatlah berserabut ditambah dengan banyak lagi urusan tak selesai di ofis. Tapi aku perlu juga bercuti untuk selesaikan urusan-urusan peribadi, urusan dengan jabatan kerajaan, juga urusan hidup dan mati. Doakan aku selamat pergi dan selamat pulang. Doakan segala urusan kerja aku dipermudahkan.

Sirih pulang ke gagang. Selain pergi bercuti di destinasi impian, aku akan pulang ke kampung halaman di mana tempat aku dilahirkan. Dah lama benar aku tak jejakkan kaki di sana. Aku dah lupa sebenarnya jalan nak masuk kampung aku tu sebab aku bukan dibesarkan di situ pun kan. Aku diberi kepada keluarga angkat semasa usia aku 2 minggu. So aku tak boleh disalahkan apabila aku tak ingat jalan kat kampung tempat tumpah darahku.

Tujuan aku pulang ke kampung hanya satu, untuk bertemu ayah kandung, memintanya mengisi particularnya dan menandatangani salah satu borang nikah aku. Dia kan wali aku. Dia tetap kena tunaikan tanggungjawabnya walaupun hanya sebagai wali aku. Sekadar wali pun jadilah, itu dah takdir aku, nak buat macam mana. Tanggungjawap dia sebagai bapa tu, esok kat sana dia sendiri jawablah, tapi aku selalu berdoa semoga jawapan dia tu mampu bawa dia masuk syurga, aku tetap doa yang terbaik untuk dia walaupun dia tak pernah lunaskan tanggungjawab dia sebagai seorang bapa.

Dan pastinya ini bukan percutian terakhir aku sebagai orang bujang. Ya, aku akan berkahwin dalam tahun ni. Bulan April ini. Siapa sudi nak datang majlis aku, bagitaulah aku, aku nak jemput, malu aku nak jemput sebarangan orang, aku bukan selebriti pun, tiada siapa pun kenal aku. Lagipun aku tak mampu buat majlis besar, aku tak ada duit, sekadar buat yang wajib, aku mampu bayar catering untuk 500 jemputan je. Itu dah kira maksima, ikutkan hati aku nak buat majlis kat surau je, jemput orang surau dalam 10 orang. Hahaha. Nasiblah kan sapa suruh kawin dengan aku yang banyak hutang keliling pinggang ni, dan tak ada duit ni, orang susah pulak tu, harta tak ada, gaji ciput aje, pastu sebatang kara lak tu, kesian tak kat aku?

Selepas bercuti hidup aku semakin berserabut dalam nak menguruskan soal kawin pula di mana aku terpaksa buat sendiri segala-galanya bermula A to Z. Dah takdir kan aku dah memang kena berdikari. Alah macamlah tak biasa kan, selama ni pun dah bertahun aku hidup sorang dan uruskan segalanya sorangkan.

Doakan segalanya mudah dan berjalan lancar. Walaupun aku buntu nak buat segalanya, aku kena kuat dan tabah. Aduhhhh, lamanya aku tak mengeluh begini.

Rabu, 26 Januari 2011

Bercakap sorang-sorang

21 Safar. Sebelum ini aku ada mencoretkan 2 perangai pelik aku kan. Kali ini rasanya aku nak berkongsi lagi perkara pelik yang sering aku buat di mana aku baru je perasan beberapa hari ni. Agaknya sebab perkara ni berlaku secara konsisten, maka aku anggap ianya normal tanpa aku sedar kadang-kadang ianya mengundang persepsi yang pelik di pandangan mata orang lain.

Aku suka bercakap. Tak nampak pelikkan, sebab dah fitrah manusia memang suka bercakap. Tapi, kalau aku sambung ayat tadi, aku suka bercakap sorang-sorang. Dah mula nampak pelikkan. Aku sambung lagi ayat tadi, aku suka bercakap dengan binatang dan pokok. Itu memang nampak benar-benar pelik. Lebih pelik lagi, aku selalu bercakap dengan malaikat. Oh ya, jangan terus buat spekulasi, izinkan aku meneruskan coretan untuk menerangkan situasi pelik aku.

Hakikatnya, aku memang suka bercakap dengan binatang sejak zaman kanak-kanak lagi. Aku pernah bercakap dengan kambing dan lembu peliharaan arwah ayah (hingga kini aku rasa janggal letak perkataan arwah). Aku pernah bercakap dengan anjing. Paling aku suka bercakap dengan kucing, binatang kesayangan baginda Rasullullah S.A.W. Aku bukan Nabi Sulaiman yang faham komunikasi 2 hala dengan binatang. Aku sekadar manusia biasa yang tak pernah faham bahasa binatang. Walaupun komunikasi itu sekadar 1 hala, aku terasa senang hati biarpun binatang itu tak pernah memahami apa yang aku cuba sampaikan. Aku tetap rasa best walaupun binatang tu tak pernah ada usaha nak menjawab (kalau jawab, aku yang cabut langkah seribu).

Sebagai contoh perbualan aku dengan kucing anak saudara yang diberi nama Jojo, wahai Jojo, dah makan ke belum? Jojo sihat hari ini? Jojo makan apa tu, sedap tak? Jojo ngantuk ek? Jojo tengah berzikir ek? Itu adalah antara contoh perbualan aku dengan binatang yang bernama kucing.  Peringkat permulaan, anak-anak saudara mengatakan aku gila sebab sering bercakap dengan kucing, tapi lama kelamaan mereka diamkan aje, barangkali dah tak kuasa nak melayan aku, hehehehe

Di luar sana, aku percaya, ada sebilangan yang habitnya sama macam aku, gemar bercakap dengan binatang. Aku tak nafikan golongannya minoriti, tapi aku rasa bercakap dengan pokok mungkin tak pernah dibuat orang. Ye, aku mengaku, setiap kali siram pokok di rumah aku, aku akan mulakan berselawat dan kemudian bercakap dengan pokok. Biasanya ayat yang sering aku gunakan bila bercakap ialah, wahai pokok, aku cemburu kepada kamu-kamu semua kerana kamu tak kan kena hisab, tapi aku esok-esok di sana akan kena hisab oleh Allah, maka bantulah aku, ingatkan aku sekiranya aku lupa pada Allah, ingatkan aku supaya lidah aku sentiasa basah berzikir dan menyebut kalimah agung Allah, kerana sesungguhnya kamu semua sentiasa berzikirkan pada Dia, Pencipta kita, maka, tolonglah bantu aku, tolonglah. Aku sangat cemburukan kalian. Yup, sangat cemburu. Cemburu yang maksima.

Itu adalah dialog statik yang sering aku tuturkan setiap kali siram pokok. Tapi, habit ni aku sorang je tahu, sebab kat rumah, just aku sorang diri. Aku tetap senang hati selepas bercakap dengan pokok walhal pokok-pokok itu tak pernah membalas walau sepatah dua kata.

Setiap kali masuk rumah, selepas memberi salam kepada malaikat rahmat yang berada dalam rumah, aku akan cakap kepada malaikat itu supaya sentiasa doakan aku ni berada dalam rahmat Allah. Malah setiap kali sebelum tidur juga, aku akan bercakap dengan malaikat supaya mendoakan aku semasa sedang tidur, semoga tidur aku itu sentiasa dalam lingkungan rahmat Allah. Walaupun aku tak pernah nampak kehadiran atau kemunculan malaikat, aku akan tetap juga bercakap perkara yang sama setiap hari. Aku tak pernah jemu bercakap dengan malaikat walaupun zahirnya aku hanya bercakap sorang-sorang. Tiba-tiba aku teringat masa zaman kanak-kanak aku selalu baca buku siri bercakap dengan jin.

Bila difikirkan semula, aku rasa ada wajarnya juga aku dikatakan gila. Kah kah kah. Yelah, bercakap sorang-sorang. Itu bukan fitrah manusia normal. Tapi, aku kan bercakap dengan makhluk Allah juga, ye tak? Hehehe. Memang tak logik sebenarnya, tapi entahlah, aku terasa bahagia bila buat macam tu. Sebab pada aku, makhluk Allah tadi tu suci, dan mereka sangat bertuah kerana mereka tak akan kena hisab esok di sana. Maka, aku sentiasa cuba memberitahu mereka supaya mereka jangan lupa tolong doakan aku, tolong ingatkan aku supaya aku tak terleka dan alpa dengan urusan dunia semata.

Aku cemburukan Jojo yang sentiasa berzikir pada Allah, aku cemburu pada pokok yang sentiasa tak lupa berzikir pada Allah, juga pada malaikat yang tak pernah lalai menunaikan tanggungjawap pada Allah merangkap sentiasa berzikir pada Allah. Padahal dalam al Quran terang-terang dah sebut, manusia adalah makhluk sebaik-baik kejadian, tapi di manakah terletaknya nilai sebaik-baik itu sekiranya mentaliti iman kebanyakan manusia mentaliti kelas ketiga? Bak kata Dr M, Malaysia negara membangun, tapi mentaliti masyarakat Malaysia berada di kelas ketiga.

Aku cakap pada diri sendiri sebenarnya. Aku pandang cermin, cuba muhasabah diri. Adakah aku sebaik-baik kejadian sekiranya aku berkira-kira nak membaca al quran? Suratkhabar tak pulak pernah miss baca. Blog hari-hari mentelaah. Tak malu ke? Adakah aku ni sebaik-baik kejadian kalau nak bangun tahajud pun terasa beban? Adakah aku ni sebaik-baik kejadian kalau panggilan agung untuk tunaikan solat pun aku pandang sepi, seseolah tak kisah jika melewatkan urusan wajib itu?

Patutkah aku berbangga dengan sebaik-baik kejadian itu? Patutkah? Tapi, aku tak pernah guna pakai sebaik-baik kejadian yang diberi oleh Allah itu padahal akhirat itu yang kekal abadi.

P/S : aku pernah bergurau dengan Jojo, aku kata, Jojo, tak baik tau tidur lepas asar, kang ko mimpi hantu kang. Aku tak perasan anak saudara aku ada mendengar perbualan aku, maka dia katakan padaku sambil ketawa berdekah, eloklah tu, jojo dan aku memang poyo. ahaksssss 

Rabu, 19 Januari 2011

Aku kagum dengan syaitan

14 Safar 1432H
(dah banyak hari entry ni jadi draft, tak sempat nak habiskan taip sebab banyak kerja menanti)

Aku rasa semua orang tahu siapakah gerangannya yang bernama syaitan. Dulu nama asalnya bukan syaitan, tapi setelah dihukum oleh Allah lalu diperintahkan turun mendiami bumi bersama kita, barulah dia digelar syaitan laknatullah.

Syaitan ke jin ke lebih kurang sama je dengan manusia. Ada mata, telinga, suara dan kepala. Syaitan diperbuat daripada api, manusia pula berasal daripada tanah, sebab tulah syaitan tak nak tunduk sembah Nabi Adam, sebab dia rasa dialah mahkluk tuhan yang paling seksi, eh silap, makhluk tuhan yang terhebat, tak setanding pada dia setakat manusia yang berasal daripada tanah ini.

Perbezaan lain yang ketara ialah syaitan dan jin boleh nampak manusia, tapi manusia tak boleh nampak mereka. Even kata ustaz, baginda Rasullullah S.A.W pun tak pernah nampak syaitan. Hanya syaitan je boleh nampak manusia. Ustaz kata bohonglah barangsiapa yang boleh nampak syaitan, sebab nabi Muhammad pun tak nampak. Kata ustaz lagi, maka, janganlah dok didik diri kita, apatah anak-anak kita supaya takutkan hantu, sebab bila kita percaya hantu tu wujud, dia pasti akan datang, sebab jin dan syaitan tadi ada telinga dan mata, apabila mereka dah tahu kita ada rasa takut kepada mereka, meereka bukan saja akan bongkak, malah mereka pasti datang mendekati.

Lagipun, biasanya apa yang kita percaya, itulah yang kita akan nampak. Kononnya, kita kata nampak hantu kat pokok besar tu, confirmlah kejap lagi syaitan-syaitan ini akan ada kat situ bertenggek, sebab mereka dah pasang telinga. Maka, lebih berbaloi tanamkan pada diri hanya takutkan Allah S.W.T. Mari kita didik diri kita supaya sentiasa takutkan Allah, takutkan azab kubur dan azab api neraka. Itu lebih afdal, itu lebih bagus dalam nak menambahkan iman.

Aku rasa semua umat Islam seluruh dunia juga tahu kan di mana syaitan ni musuh utama kita, musuh yang terang lagi bersuluh, musuh yang terang lagi nyata. Syaitan dah janji dengan Allah di mana dia akan menyesatkan anak cucu Adam ni sehingga kiamat. Dan selagi boleh dia akan hasut, dia akan bisik, supaya kita membuat perkara kemungkaran, yang ditegah Allah S.W.T.

Sebenarnya apa yang aku nak ceritakan kat sini ialah aku sebenarnya kagum dengan syaitan. Jangan salah faham pula. Bukan kagum sebab dia derhaka pada Allah, tapi aku sangat kagum dengan kesungguhan dan kebijaksanaan syaitan laknatullah ini.

Syaitan menggunakan matanya, telinganya dan suaranya secara maksimum dalam nak menyesatkan kita. Sebagai contoh, dia sentiasa bisikkan kepada kita perkara yang negatif, malah dia tidak pernah ada rasa berputus asa. Tak ada langsung dalam kamus hidup dia. Aku sangat kagumlah, hebat sungguh syaitan durjana ini. Mungkinlah kali pertama dia gagal, tapi dia akan cuba beratus ribu kali, dan lambat laun dia pasti berjaya dengan cemerlang dan gemilang. Kita pula berterusan buat dosa yang tak terbilang-bilang.
Sebagai contoh, aku selalu target nak bangun malam nak buat ibadah, tapi kebiasaannya aku gagal. Aku tak pernah konsisten, tak ada istiqamah langsung. Masalahnya, bukannya aku tak pernah tahu di mana ibadah sewaktu dipertiga malam akan diberi ganjaran yang sangat besar di akhirat esok. Aku sangat tahu tahu tahu dan tahu dengan sangat jelas. Malangnya, tetap susah nak bangun malam. Sebab syaitan dok bertenggek atas mata aku, supaya aku berterusan rasa mengantuk, syaitan bisik kat hati aku, cakap alahhhhhh esok-esok pun boleh buat.
So, panjang aku termenung tadi, jauh di sudut hati aku kagum dengan semangat syaitan ini. Kenapa aku tak kuat semangat sepertinya sedangkan Allah dah janji pelbagai ganjaran sebagai galang gantinya nanti, tapi kenapa aku masih tak bersungguh nak buat? Kenapalah aku ni liat sangat, bila lagi aku nak buat? Bila dah bongkok tiga? Bila dah umur meningkat senja?

Syaitan bukan sahaja menggunakan suara, malah matanya, telinganya, di jadikan sebagai jalan untuk mengumpan kita supaya berbuat perkara kemungkaran. Maka ada yang bersubahat dengan syaitan, minta tolong daripada syaitan dalam urusan dunia. Konon untuk lebih bahagia. Apa yang berlaku, syaitan ini akan lebih riak dan sombong.

Tahukah kita bahawa sebaik-sebaik jin adalah sejahat-jahat manusia? So kenapa nak minta tolong dengan syaitan, diakan musuh yang nyata, diakan jahat yang maksima. Allah dah laknat dia, kenapa kita pula nak ikut arahan dia sewenang-wenang? Kenapa ek? Kenapa jadi hamba syaitan? Jadi hamba Allah tak nak pula. Sedangkan syaitan dah engkar perintah Allah, kita pula nak setia arahan syaitan? Ishhh

Tidakkah kita tahu bahawanya Allah tu adalah sebaik-baik pelindung dan kenapa kita menagih bantuan syaitan? Baru-baru ni aku sempat tonton cerita Damping Malam dalam astro first, mengisahkan seorang wanita yang menggunakan syaitan dalam nak membahagiakan rumah tangganya konon. Apa yang berlaku, nyawa anak jadi taruhan. Menyesal yang tak ada kesudahan, dan aku percaya sampai matilah dia akan menyesali perbuatannya itu. Walaupun itu sekadar sebuah filem, tapi hakikatnya aku percaya, ramai di luar sana pernah terjebak kes sebegitu.

Sememangnya, syaitan atau jin sangat berpegang teguh kepada kata-kata, mereka ni bukan jenis mungkir janji. Itu lagi satu sifat yang aku sangat kagum dengan syaitan ini. Sifat terpuji tu tak ada pula kita nak ikut kan. Orang melayu pula dah dilabelkan sebagai janji Melayu, di mana maksudnya kat sini janji yang susah nak dipenuhi, so kalau nak kedua-dua belah pihak tepati janji, kena sebut janji masjid, barulah orang nak percaya di mana janji itu kebiasaannya dikotakan.

Inilah yang ada di dalam fikiran aku sekarang. Betapa kuatnya pengaruh syaitan dan iblis ini dalam kehidupan seharian. Sedangkan dalam al Quran terang lagi bersuluh dah jelaskan peranan syaitan terhadap kita di muka bumi ini. Malangnya, kita sering kecundang.

Ustaz ada cakap, setiap pagi syaitan dan iblis ada meeting. Ketua syaitan akan menghadiahkan mahkota di mana ianya sebenarnya tanduk syaitan kepada syaitan-syaitan yang berjaya sesatkan manusia, yang berjaya menyuruh manusia berbuat perkara kemungkaran. Dan syaitan-syaitan tersebut berlumba-lumba mencari jalan supaya misi mereka berjaya. Dan bayangkan setiap hari mereka dengan gigih berusaha menggangu-gugat kita, cuba menghancurkan kita dengan bisikan-bisikan kesesatan itu. Tanpa kita sedar, kita kecundang di tengah jalan.

Ingat wahai kawan-kawan yang disayangi, syaitan juga sering hasut dalam nak memporak-perandakan hubungan suami dan isteri. Hasilnya, terbukti lebih 27 ribu kes penceraian di daftarkan di Malaysia pada tahun lepas dan bayangkan betapa bergegarnya tiang arasy. Itu belum dikira di serata dunia. Kesian pada penjaga arasy yang sering terkejut dan hilang konsentrasi bertahmid dan berzikir kerana tiang arasy dah bergegar. Dan syaitan sentiasa bersorak kemenangan. Syaitan berterusan menang tak terbilang-bilang.

Isnin, 10 Januari 2011

Hanya Satu

5 Safar.

Baru-baru ini aku telah mengalirkan air mata. Hanya kerana seekor kucing kesayangan aku yang diberi nama Kaka mati dilenyek kereta. Aku menangis semahunya sebab hiba, sebak dan segala macam perasaan yang berbaur kesedihan atas kehilangan seekor kucing yang disayangi. Hakikatnya, aku pencinta binatang, especially kucing, haiwan kesayangan baginda Rasullullah S.A.W ini. Sehingga kini, air mata telah banyak tumpah hanya kerana binatang yang satu ini.

Tapi, aku rasa terpukul dengan kata-kata seorang ustaz baru-baru ini semasa menghadiri kuliah zohor di ofis aku. Soalan ustaz adalah bilakah kali terakhir kita menangis kerana Allah benar-benar membuatkan aku termenung panjang. Aku tak nafikan, aku pernah menangis selepas solat selesai berdoa kepada Allah. Tapi, aku tak jadikan itu sebagai rutin, sedangkan aku tahu air mata itu esok mampu memadamkan api neraka yang sedang membara. Aku malu sendirian.

Seperti yang kita sedia maklum, Allah sangat suka pada hambaNya yang bertaubat, yang menangis keranaNya, pernah digambarkan oleh seorang ustaz, contoh seperti kita dapat bonus 6 bulan, perasaan seronok tu tak dapat nak digambarkan, mungkin melompat-lompat kegirangan tahap maksima, tapi Allah punya suka lebih berlipat kali ganda daripada kita sekiranya kita menangis dan bertaubat atas segala dosa kita yang lampau. Dan atas balasan menangis dan bertaubat itu, Allah limpahkan pula Rahmatnya berganda-ganda walhal sebelum ini kita sering melakukan dosa. Nampak tak di sini betapa hebatnya bila Allah dah suka?

Malangnya di sini, kita tak pernah pun rasa terseksa dengan dosa sendiri. Dosa yang bertimbun-timbun. Tak pernah rasa gerun dengan azab Allah kelak. Payah nak keluarkan air mata kerana Pencipta kita yang Maha Agung itu. Tapi, atas sebab lain, mudah pula menangis, contoh masa tengok  drama tv, artis menangis kita turut sama menangis, (ni aku cakap pada diri sendiri). Pernahkah kita terfikir bahawa Allah lebih sayangkan kita lebih 70 kali ganda daripada kedua ibu bapa kita?

Sebagai contoh, kita buat salah, Allah ampunkan, kita buat salah lagi, Allah ampunkan, kita buat salah lagi, Allah ampunkan, tapi ibu bapa, kalau asyik berterusan buat salah, sejauh mana ibu bapa akan ampunkan kita? Mungkin lambat laun kelak akan diampunkan juga, tapi macam mana pula dengan pasangan kita atau kawan-kawan kita? Percayalah, samada kita dibenci selamanya, mungkin kita akan dipulaukan atau hubungan yang terbina akan terputus di tengah jalan, sebab sayang mereka kepada kita tak setanding sayang Allah terhadap kita.

Tu belum masuk bab berdoa. Allah paling suka bila hambaNya meminta-minta dan mengadu padaNya. Tapi fitrah manusia suka ke? Manusia mana yang suka bila kita asyik meminta itu ini? Sentiasa mengadu itu dan ini? Sekali dua bolehlah layan, tapi jika berterusan meminta dan mengadu, apa akan berlaku? Tapi Allah adalah sebaliknya, lagi kita minta, lagi Dia suka. Lagi banyak kita mengadu, lagilah Dia suka. Hebat tak Allah? Kasih tak Allah pada kita? Sayang tak Allah pada kita?

Kemudian, ustaz suruh check sejauh mana pula iman kita. Sejauh mana takwa kepada Allah? Ustaz suruh check hati kita, samada hati kami berpenyakit atau tidak. Kalau sakit jantung, bila scan dah nampak, tapi macam mana nak kenal pasti hati kita sakit atau tidak? Di sekolah dulu, kita di ajar subjek Pendidikan Agama Islam, tapi sejauh mana ianya sebati dengan diri kita? Sejauh mana ianya meresap ke dalam hati? Sejauh mana kita mengamalkan apa yang kita amal?

Beriman kepada Allah ikut konsep yang paling mudah difahami ialah patuhi apa yang disuruh oleh Allah S.W.T dan tinggalkan apa yang dilarangNya. Nampak mudahkan, tapi nak merealisasikan nampak sukar sekali. Kenapa? Rasanya tak keterlaluan aku katakan di sini manusia memang sanggup susah payah untuk melakukan dosa, sanggup susah payah menanggung dosa, tapi manusia jarang nak bersusah payah untuk mengejar pahala.

Aku boleh bagi contoh paling remeh iaitu suka bercakap tentang perkara sia-sia. Kemudian banyak ketawa. Maksud bercakap tentang perkara sia-sia boleh ditafsirkan sebagai perbuatan kita itu takkan dapat pahala langsung dan barangkali boleh mengundang banyak dosa. Apabila sering bercakap perkara sia-sia hati kita akan menjadi gelap. Semakin hari semakin gelap, dan ini menyebabkan hidayah payah nak serap masuk. Dan cuba check, semasa hayat kita, dah berapa banyak perkataan sia-sia yang kita dah lafazkan? Aku mencongak diri sendiri seadanya.

Sebab tu kita digalakkan lebih banyak bercakap tentang akhirat daripada urusan dunia. Sebab tu kita digalakkan sebut Allah daripada menyebut makhluk, sebab tu kita digalakkan sebut dan ingat tentang kematian daripada hal-hal kehidupan. Sebab tu kita digalakkan bermula dengan bismillah atau zikir untuk menghindarkan daripada sebarang percakapan yang sia-sia, yang langsung tidak boleh menambahkan iman.

Itu belum masuk bab mengumpat. Bab nilah yang paling malas aku nak sebut, sebab semua orang dah tahu apa hukumnya. Mengumpat memang sedap. Tapi mengumpat tu seseolah makan daging saudara sendiri. Esok-esok kat sana kita jadi muflis sebab semua amalan kita pergi kepada orang yang kita umpat tadi. Sia-sialah sahaja segala ibadah kita yang selama ini kita susah payah kumpul kat dunia. Sangatlah rugi sekali.

Semua orang beriya nak masuk syurga termasuklah aku. Hari-hari selepas solat fardu, itulah yang sering aku doakan. Tapi, tahukah kita apakah sifat seorang ahli syurga? Hanya satu sahaja sifat ahli syurga, tak lebih dan tak kurang, iaitu patuhi apa yang disuruh oleh Allah, tinggalkan apa yang dilarang olehNya. Senangkan? Semudah macam kuaci tak?

Marilah kita berhijrah, hijrah dunia dan hijrah akhirat. Ilmu, iman dan amal, mari mula praktikkannya. Tak payah nak peningkan kepala nak belajar ilmu syariat, ilmu tariqat, ilmu hakikat atau ilmu makrifat sekiranya ilmu yang sedikit pun kita tak mampu nak amal.

Selamat beramal perkara yang SATU ini.

P/S : menangis kerana Allah tak rugi pun air mata, malah berbaloi-baloi

Khamis, 6 Januari 2011

2 perkara pelik

Baru-baru ini aku sedang membaca sebuah buku semasa ofis hour di ofis aku. Tiba-tiba datang seorang kawan datang menyapa, baca buku apa tu? Aku tak menjawab, sebaliknya menghulurkan buku berkenaan kepadanya. Dia membelek-belek dan berminat dengan buku tersebut walaupun buku tersebut mengenai wasiat Rasullullah S.A.W terhadap wanita muslimah. Aku cuba menjelaskan kepadanya kenapa aku membaca buku tersebut semasa kerja. Bukan kerana curi tulang. Lebih bertujuan untuk menghilangkan mengantuk (selain mendapatkan info).

Hakikatnya, bila dah rasa segar, mengantuk dah hilang, aku sambung jalankan tanggungjawab sebagai seorang pekerja seperti biasa. Kawan aku ketawa merangkap tercengang mendengar keterangan daripada aku. Boleh ke begitu? Soalnya excited. Ya, bersungguh aku mengangukkan kepala. Bagaimana mengantuk boleh hilang apabila membaca? Seorang kawan yang tiba-tiba muncul dari arah depan mengacukan soalan.

Setiap kali mengantuk, antara perkara yang aku amalkan untuk menghilangkannya adalah melalui kaedah pembacaan. Dalam masa yang sama, otak aku akan ligat berfikir tentang info bacaan tadi, dan dari situ mengantuk aku akan hilang. Biasanya habis sahaja satu perenggan, aku tutup buku dan berfikir, merangkap cuba mengingati input tersebut dan menghafalnya.

Pelik, ujar kedua-kedua kawan aku tadi sambil tertawa. Kitaorang ni kalau baca buku lagilah mengantuk, silap-silap terus tertidur. Mereka membuat kesimpulan tentang diri mereka. Tak pernah dengar lagi kaedah menghilangkan mengantuk melalui pembacaan. Setakat minum kopi ke, red bull ke, tongkat ali ke, melakukan pergerakan seperti exercises ke pernahlah dengar. Tapi, cara ni sangat luar biasa, sambung mereka lagi. Aku tersengih. Mungkin juga betul cakap korang, aku menambah. Sebenarnya tak semua buku berjaya hilangkan mengantuk aku, sumber bacaan terpilih sahaja yang akan berjaya menyegarkan mata aku semula. Kalau disuruh aku baca buku tentang politik atau dunia sukan, sahihlah aku tertidur. Mereka pula ketawa.

Biasanya, aku akan mencari topik yang aku berminat sahaja untuk dibaca, seperti agama, kesihatan, sejarah, geografi, general knowledge atau sekadar bahan bacaan berunsur ringan seperti cerita lawak. Aku juga sangat fanatik membaca novel daripada Ramlee Awang Murshid, sebab novelnya tersangatlah sarat dengan segala macam info di mana secara tak langsung banyak mengubah mentaliti rohani dan jasmani aku. Banyak info dalam novelnya aku praktikkan dan guna pakai dalam kehidupan seharian.

Kalau tak ada buku, sebab aku sangat payah nak membeli buku, sumber bacaan lain adalah menerusi internet. Aku akan membaca blog, artikel atau mana-mana yang aku rasa boleh memberikan aku input yang bermanfaat. Mata akan jadi segar bugar, bolehlah kembali membuat kerja.

Mengantuk di ofis adalah perkara yang sangat tak best sekali jika berlaku kepada aku. Sebolehnya aku akan elakkan daripada berlaku. Aku memang jarang mengantuk, tapi sesekali mengantuk datang, aku akan cemas. Sebab aku boleh dikategorikan sebagai jenis manusia yang 'tak tahan mata'. Kalau aku mengantuk, sure aku akan terlelap tanpa sedar. Maka, alternatif terbaik yang paling berkesan setakat ini adalah melalui pembacaan. Secara tak langsung, menajamkan minda aku yang tak pernah-pernah tajam ini.

Peliknya semasa memandu, aku susah pula nak rasa mengantuk. Walaupun penat seharian memandu, walaupun jauhnya perjalanan, aku tetap enjoy memandu. Entahlah.

Dan tiba-tiba aku tersedar 2 perkara ini adalah benda normal padaku, tapi pelik di mata orang lain. Sebenarnya banyak lagi perkara pelik di mata orang lain yang aku buat, mungkin ada masa aku kongsi lagi.

P/S : Dari buku juga aku cuba kenal Allah dan diri sendiri

Selasa, 4 Januari 2011

Senyuman dan servis

Kita nyanyi bersama-sama lagu ini


Senyum seindah suria

Yang membawa cahya

Senyumlah dari hati

Duniamu berseri

Senyum umpama titian

Dalam kehidupan

Kau tersenyum ku tersenyum

Kemesraan menguntum

Senyum... kepada semua

Senyumanmu amatlah berharga

Senyum... membahagiakan

Dengan senyuman terjalinlah

Ikatan...

Ada yang mengatakan, senyuman itu satu sedekah, walaupun sedekah ini tidak mengeluarkan sebarang modal, kenapa masih ramai yang berat untuk mempraktikkan senyuman. Ada juga pepatah pernah mengatakan, senyuman walaupun di depan musuh, musuh tersebut tetap rasa gembira walaupun dia tak tunjuk secara zahir. Cubalah.
Sejak aku berpindah ke department baru ni, aku banyak juga berurusan dengan kaunter-kaunter kerajaan. Kebanyakan staff di kaunter, payah benar nak tersenyum. Kadang-kadang aku malu sendiri bila senyuman aku tak pernah dibalas. Belum kira bab servis, memanglah sangat lembap. Aku tak naklah sebut nama jabatan ini, sebab kalau nak listkan banyak sekali jabatan yang pernah aku berurusan. Tapi, sebab urusan kerja, aku telan dan gagahkan diri.

Aku juga pernah berurusan dengan hospital kerajaan atas urusan peribadi melibatkan arwah mak aku dulu, pernah terniat dihati aku terasa nak terkam dan cekik-cekik nurse di situ, dahlah tak reti nak senyum, servisnya sangat-sangat teruk, layan aku seseolah tak ikhlas langsung, lebih 5 jam aku terpacak di situ macam orang bodoh, penat aku ke hulu hilir follow up dalam keadaan kaki aku sendiri terjengkit-jengkit dan tempang, (masa tu aku masih memakai 2 tongkat, baru selesai operation lutut, sport injury, dalam keadaan sakit aku uruskan hal mak aku juga), sudahnya tetap tak ada sebarang kesudahan atau jawapan apa-apa,  tapi aku rasa aku masih waras walaupun rasa membara yang membuak-buak dah berada di tahap paling maksima. Sudahnya, air mata dah bergenang. Aku berada di situ kerana arwah mak, jika tidak dah lama aku bakar hospital tu. Hahaha.

Kenapa begitu teruk sekali servis mereka? Padahal aku tengok bersepah cogan kata, sticker yang melambangkan identiti servis mereka ditampal di segala ceruk sudut jabatan mereka. Tak perlulah aku nak tulis satu-satu cogan kata terbabit kerana aku rasa semua tu indah khabar dari rupa semata. Mereka langsung tak mengamalkan apa yang mereka tampal, better tak perlu susah payah tampal. Menyakitkan hati. Pernah aku luahkan rasa sedih ni kepada kawan-kawan aku yang bekerja di sektor kerajaan, jawapan yang aku terima ialah, entahlah, sikap dan mentaliti ini dah menjadi sebati dengan diri mereka agaknya.

Aku bukan nak menghentam sektor kerajaan, sebab tak semua staffnya teruk. Ada yang aku puji, terasa dihargai je setiap kali datang berurusan. Sukalah! Oh ya, sektor swasta apa kurangnya. Apabila berurusan di kaunter tol, aku yang beriya-riya tersenyum, angguk kepala, ucap terima kasih, walhal aku yang kena keluarkan duit, senyuman jauh sekali, ucap terima kasih pun tidak. Cuma ada segelintir je yang menghargai aku. Aku apa lagi, terus berdoa dalam hati untuk kesejahteraan mereka dunia dan akhirat sebab mereka berjaya buat aku gembira walau ala kadar sahaja. Tapi impak dan kesannya, aku terasa dihargai sebagai pengguna lebuhraya berkenaan.

Aku pernah berurusan dengan kaunter syarikat penerbangan swasta. Aku rasa kes ni yang paling kritikal dalam sejarah hidup yang pernah aku alami semasa berurusan dengan kaunter. Mak aku meninggal, dan semasa berita ini diterima pagi itu, aku berada di sekitar airport Kota Kinabalu, sepatutnya jadual penerbangan aku sebelah petang, aku nak tukar masa penerbangan dengan segera untuk kembali ke kampung. Jawapan yang diterima daripada 3 kaunter berbeza, manager yang berbeza, staff yang berbeza, ialah aku sepatutnya tukar seminggu lebih awal, sekalipun emergency, jawapan yang langsung aku tak boleh terima pakai.

Aku tidak dilayan. Air mata tak payah cakaplah, laju mencurah-curah, aku dah hilang rasa malu dah masa tu. Sekali pandang, dah macam drama swasta dah. Mungkin masa tu aku boleh dapat award pelakon air mata. Ramai orang di situ asyik memerhatikan aku yang menangis macam orang gila, kawan-kawan aku yang bertubi-tubi bergaduh dengan manager di situ, bergaduh besar dengan staff dikaunter tersebut, ni melibatkan kes kematian, bukannya sengaja nak tukar masa penerbangan. Ke hulu ke hilir kitaorang berlari buat rayuan ke kaunter sana sini, tapi malangnya jawapan yang sama tetap diterima, kalau emergency pun kena seminggu lebih awal baru boleh tukar. Gila!!!

Sudahnya aku terlepas acara perkebumian arwah mak aku. Masa tu aku sumpah staff terbabit masuk neraka (masa tulah). Hahaha. Kawan aku yang terlibat bersama aku membuat rayuan ni berpangkat besar (pun tak dilayan oleh manager air asia, aku ni setakat kuli je lainlah ceritanyakan), dia suggestkan aku supaya saman air asia, tapi aku tak ambil pun tindakan tersebut, walaupun hati aku sangat-sangat tercalar dengan perbuatan staff di situ yang sangat tidak berperikemanusiaan itu. Sebenarnya apabila air asia tidak mengendahkan langsung rayuan aku untuk bertukar masa penerbangan (aku kira sekiranya aku ni anak menteri sure bolehkan buat pertukaran walaupun bukan emergency?) kami ada membuat alternatif lain membeli tiket MAS, tapi malangnya semasa itu semua penerbangan MAS pun dah penuh, maka aku naik juga penerbangan air asia yang asal di sebelah petang.
Mati hidup semula pun aku ingat tragedi ini. Aku hanya insan biasa. Aku bukan anak datok kan suka suki nak tukar masa penerbangan. Aku juga tak mampu nak ubah takdir. Walaupun air asia buat macam tu kat aku, tak ada sifat timbang rasa, aku tetap maafkan sudahnya walaupun nyawa mak aku tak dapat dikembalikan lagi. Walaupun aku tak dapat tatap mak aku buat kali terakhir (nasib baik seminggu awal sebelum tu aku tergerak hati nak balik kampung jenguk mak aku). Sampai sekarang aku tak boleh terima kenyataan alasan air asia iaitu, sekalipun emergency perlukan masa seminggu untuk mengubah masa penerbangan. Kononnya dah termaktub dalam undang-undang air asia. Kes ini dah lama sangat berlalu. Aku tak pasti adakah undang-undang bodoh ini masih diguna pakai sehingga kini. Ianya satu memori pahit untuk aku telan.

Kembali kepada topik senyuman dan servis. Pengalaman lain adalah di kedai makan. Pagi-pagi aku biasanya tapau sarapan pagi di gerai bawah ofis aku (kadang-kadang je aku bawa bekal). Walaupun aku regular customer, aku tak pernah dilayan dengan baik oleh seorang akak di situ. Senyuman tak pernah terukir, komunikasi lagilah teruk. Pernah akak tu marah aku sebab aku tak ada syiling. Dahlah kadang-kadang bercakap langsung tak pandang aku. Sambil layan aku, sempat lagi dia berborak kosong dengan partner dia. Lambat laun dia akan hilang regular customer seperti aku. Mungkin aku ni jenis dalam ketegori boleh bawa bersabar, aku abaikan sikap negatif dia dengan harapan dia boleh berubah. Dan baru-baru ni aku kembali ke situ, walaupun gerai tersebut masih terpacak, aku tak pernah lagi nampak kehadiran dia, tak pasti samada dia masih bekerja di situ atau tidak.

Sebab tu aku tak rasa pelik apabila banyak pelanggan melayu beralih arah ke kedai mamak. Servis kedai mamak ikutkan bukanlah yang terbaik sangat, ada masa dan ketika yang datang ambil order pun tak pernah senyum, lebih malang, ada yang tak pandai berkomunikasi dalam bahasa melayu, tapi jika nak compare dengan kedai melayu, kedai mamak masih di tangga teratas buat masa ini.

Walaupun ada yang kata kedai mamak cekik darah, makanan tidaklah sesedap mana, tak mengamalkan tahap kebersihan yang sempurna, tapi servisnya cepat. Makanan yang dipesan cepat sampai walaupun bilangan pelanggan jauh berkali ganda ramainya daripada kedai Melayu. Barangkali kedai melayu tak cukup kakitangan, tapi itu bukan alasan makanan lewat tiba, kadang-kadang dah lebih setengah jam pun tak sampai-sampai lagi, especially bulan puasa.

Situasi makanan lewat sampai bukan pernah berlaku sekali dalam hidup aku sepanjang aku makan di kedai Melayu, tapi dah banyak kali sangat terjadi. Ada yang lebih malang, makanan yang dipesan langsung tak sampai-sampai. Ada juga kes tersalah hantar menu especially minuman. Sedih mengenangkan situasi ini.

Aku berani bersuara mengenai perkara ini sebab aku pernah membantu sepupu aku di kedai makan lebih kurang 10 tahun lepas. Aku sentiasa diingatkan supaya sentiasa menghargai pelanggan. Aku juga pernah bekerja di salah satu restoran fast food terkenal sebagai part time staff. Aku selalu dilatih untuk memberi layanan yang terbaik kepada pelanggan. Pernah aku tak senyum semasa mula-mula bekerja, teruk aku dimarahi outlet manager, pernah aku berbual semasa staff semasa served pelanggan, berjam-jam aku kena ceramah sebab aku kena utamakan pelanggan dalam apa jua keadaan, sekalipun pelanggan itu bersalah. Aku belajar daripada kesilapan. Aku tahu aku salah, dan sejak itu aku tak pernah lagi ulangi kesilapan serupa.

Pernah aku bergaduh dengan pelanggan, terang-terang pelanggan yang salah, tapi aku juga akhirnya kena marah dengan manager, sebab dalam apa jua keadaan, customer is always right, maka sejak itu, aku tak amalkan lagi sikap memberontak biarpun aku yang betul. Maka, sehingga sekarang, disebabkan dah sebati dalam jiwa aku, aku amalkan benda yang sama dalam rutin harian aku, setiap kali jumpa orang, automatik aku senyum atau pun sekadar angguk-anggukkan kepala. Aku belajar menghargai orang di depan aku, tak kira di mana, biarpun kadang-kadang mereka ada membuat kesalahan kepada aku secara sedar atau tidak. Aku tidak akan menghukum mereka secara segera, kerana aku sendiri sebenarnya tidak pernah sempurna. Aku segera maafkan mereka di dalam hati.

Kesannya, aku tak pernah lagi dilabel sebagai seorang yang sombong semasa kali pertama berjumpa. Tidak seperti sebelum ni, semua orang yang kali pertama bersemuka cop aku sebagai manusia yang sombong. Aku bersyukur aku tidak lagi dianggap sedemikian. At least, aku cuba belajar buat orang rasa selesa dengan kehadiran mereka di sisi aku.

Maka, apabila orang lain melayan aku ala kadar, served aku sekadar tangkap muat, aku rasa sedih. Adakah mereka mengamalkan sikap yang sama apabila berada dengan orang lain termasuklah keluarga dan rakan-rakan mereka? Kalau mereka mengamalkan situasi yang sama, aku rasa lambat laun mereka akan hadapi masalah dalam hubungan, siapa yang rasa selesa apabila senyuman tak pernah terukir dibibir? Siapa yang rasa seronok apabila dilayan seperti terpaksa? Siapa yang akan bertahan jika tak mengamalkan sikap mesra alam dan fleksibel?

Aku tahu ramai di luar sana lebih sempurna cara layanan mereka dengan orang sekeliling. Maka dengan itu, aku cuba dan cuba belajar sentiasa menjadi terbaik dalam melayan kehendak dan kerenah manusia, walaupun kadang-kadang kita yang terpaksa menelan dalam-dalam rasa tak puas hati.

Isnin, 3 Januari 2011

Janganlah putuskan hubungan, please!

Salam Tahun Baru, sambil sarapan, sambil selak suratkhabar, sambil layan blog, merangkap buat 3 benda dalam satu masa yang sama. Alhamdulillah, tiba awal di ofis, walaupun jalan raya di luar sana luar biasa jemnya. Terasa meriahnya sesi persekolahan yang baru bermula hari ini. Aku pula yang teruja lebih membaca dalam blog kawan-kawan di mana mereka menceritakan pengalaman mereka menghantar anak-anak ke sekolah. Walaupun aku belum ada anak, suasana ini turut melekat di hati kerana aku pernah mengalaminya suatu tika yang dulu. Sangat indah sekali. Jumpa kawan-kawan baru dan bergaya dengan uniform baru, rasa dunia ini aku yang punya.

Tapi teruja tu automatik terus hilang apabila suratkhabar dan blog kawan-kawan pagi ini menghidangkan ramai remaja melayu kena tangkap basah sempena menyambut tahun baru. Kuih keria manis yang aku telan ni pun dah terasa kelat. Setiap kali tiba tahun baru, berita inilah juga yang acapkali aku baca. Dah boleh jangka. Jemulah baca berita begini, tak membangunkan minda langsung. Inilah puncanya kes buang bayi tak pernah ada kesudahan. Betapa hilang mood aku pagi ini. Tadi baru je aku berangan-angan nak hantar anak aku ke sekolah suatu hari nanti ditemani suami terus terbantut dengan berita yang memanaskan cuping telinga aku ni. Aku jadi resah dan bimbang.

Generasi akhir zaman yang menakutkan aku. Keruntuhan akhlak di kalangan remaja sudah berada di tahap sangat kritikal. Aku tak kata semua remaja melayu Islam bermasalah. Ada yang jauh lebih sempurna jika nak dibandingkan dengan zaman remaja aku. Tapi, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kes buang bayi, anak luar nikah sangat berleluasa menular pada zaman sekarang. Statistik yang sangat menakutkan dan membimbangkan. 10 tahun atau 15 tahun lepas mungkin kes ini kita rasa janggal, tapi sekarang kita dah rasa perkara ni sangat-sangat normal. Jumpa bayi kat tong sampah, kat tandas, macam-macam tempatlah, ada yang konon alim sikit letak depan masjid.

Ikutkan sejarah yang aku baca, hanya zaman jahiliah dulu adalah kes buang bayi. Contoh macam zaman nabi Musa (tak salah aku), bayi lelaki sahaja dibunuh, dan zaman satu lagi tu bayi perempuan sahaja yang dibunuh. Tapi, zaman yang serba moden lagi canggih ni, tak kira jantina, bayi dibunuh dengan kejam. Binatang pun sayangkan anaklah. Mentaliti apakah ini?
Aku tak nak salahkan sesiapa. Aku sendiri tak ada usaha nak membendung gelaja ini sebab aku tak mampu buat apa-apa melainkan sekadar berdoa. Maka, aku hanya mampu luahkan kat sini. Pendapat aku yang serba jahil lagi ketinggalan zaman ini, masalah ini sebenarnya kena selesaikan secara kolektif, membawa maksud semua pihak perlu bersatu dan bekerjasama bagi mengatasi masalah ini sehingga ke akar umbi. Ibu bapa, guru, masyarakat, kerajaan, pihak berwajib, media massa, media cetak, media elektronik dan individu tu sendiri wajib ambil serius benda ini.

Sebagai contoh, aku nak ambil kira peranan ibu bapa. Selama aku perhatikan sebelum ini, ramai ibu bapa akan marah atau pukul anak sekiranya ada di kalangan anak mereka membuat suatu kesalahan. Tapi, aku tengok ada segelintir ibu bapa tak pernah ambil pendekatan bertindak memarahi anak, jauh sekali memukul anak mereka sekiranya anak mereka yang dah cukup umur dan wajib solat, tapi tak bersolat. Tak bangun solat subuh, tak ada pun kena marah, tak ada pun kena rotan, tak ada pun kena bebel. Anak-anak mereka lengahkan solat dengan sengaja, sibuk main game, tengok tv, tak ada pun kena pukul. Tapi, kenapa kesalahan lain mereka ambil serius. Kenapa atas kesalahan lain anak-anak tersebut dihukum? Seseolah solat ni tak seriuslah ek. Seseolah tak solat itu bukanlah satu kesalahan besar pun. Sangat menyedihkan. Aku mulalah nak beremosi ni.

Lebih memalukan, ada ibu bapa juga tak solat, terang lagi bersuluhlah mereka tak akan marah anak mereka sekiranya anak-anak mereka tak bersolat. Ada mereka kisah? Tidak sama sekali. Jenayah yang paling berat adalah tidak solat (aku pernah baca sticker ni pada kereta siapa tah di jalan raya). Ustaz ada cakap, kalau suami enggan bersolat, bermati-matian tak nak solat, isteri boleh tuntut cerai kat mahkamah, atas alasan, suami dah meruntuhkan agama, dah putuskan hubungan dengan Allah, macam mana nak bina keluarga bahagia mengikut acuan Islam. Bibit-bibit kehancuran dalam rumah tangga bermula daripada tidak menunaikan solat.
Apabila mereka tak bersolat, mereka berterusan bergelumang dengan dosa seperti melakukan kesalahan lain. Contoh, ada juga ibu bapa tak ambil peduli pun anak mereka mendedahkan aurat. Mungkin sebab mereka sendiri dedahkan aurat tanpa rasa bersalah. Ustaz ada cakap suami itu adalah status suami dayus sekiranya membiarkan kemungkaran berlaku dalam keluarga. Kemungkaran yang dimaksudkan ialah antaranya membiarkan isteri atau anak-anak mendedahkan aurat yang disengajakan. Kat sini aku nak ingatkan diri sendiri, kalau aku tak tutup aurat, esok-esok suami aku dapatlah status suami dayus.
Itu adalah antara point yang aku dah lama nak luah dalam blog aku. Sebenarnya banyak lagi yang aku nak tegur ada kepincangan yang besar dalam kebanyakan institusi rumah tangga, tapi macam tak layak pula aku nak bercakap panjang soal ini, sebab aku sendiri belum pernah berkahwin, maka aku nak stop daripada mempersoalkan didikan ibu bapa terhadap anak-anak. Kita pandang dari perspektif lain pula.

Malaysia dilabelkan negara Islam. Tapi, saluran tv dan radio Malaysia samada swasta mahupun kerajaan langsung tak mencerminkan keislaman. Saluran tv yang sedia ada sekarang secara keseluruhannya langsung tak menggambarkan Malaysia negara Islam. Setiap hari aku buka tv, asyik terpandang artis dedah aurat secara berani mati. Tengoklah anugerah tv yang baru berlangsung baru-baru ni. Memalukan. Geli aku nak pandang, sudahnya aku tukar channel lain. At least tak adalah rasa sedih tengok cerita mat saleh yang terang-terang tak ada didikan Islam dalam diri, walaupun mereka teguk arak, melakukan hubungan bebas dan tidak menutup aurat. Moga Allah bagi hidayah pada mereka. Aku peliklah, kalau dulu artis rocker wajib berambut pendek untuk muncul dalam tv, kenapa sekarang tidak gamkan sahaja artis sekiranya mereka suka-suka hati berkemban.

Remaja zaman sekarang pula suka sangat menjadikan artis Malaysia ni sebagai idola mereka. Menyedihkan bila artis diagung-agungkan, martabatnya di julang tinggi melangit. Inilah yang menyebabkan remaja mudah sangat terikut-ikut budaya negatif yang memalukan ini. Tengok artis pakai seksi ikut, tengok artis bukan muhrim berpeluk mereka ikut, mudahnya mereka ambil ringan perkara begini. Gejala inilah patut dibendung, sekiranya dibiarkan kes pembuangan bayi akan menjadi barah yang tak ada penawar.

Aku tak kata semua stesen tv dan radio teruk, aku puji channel 106, aku puji radio IKIM, dan ada lagilah saluran yang bagus dan berkualiti yang telah memberikan banyak perubahan positif dalam hidup aku. Tapi biasanya channel ni tak popular, tak pernah pun menjadi stesen nombor satu negara. Bukan aku nak keji stesen yang sentiasa membolot dan conquer nombor satu, cemburu jauh sekali, tapi aku tengok saluran berkenaan kurang pengisian daripada perspektif agama Islam, tak keterlaluan sekiranya aku katakan 99% adalah bersifat hiburan dan duniawi semata.

Ini yang menakutkan aku. Hari-hari kita dijamukan dengan adegan yang tak sewajarnya. Esok-esok aku mungkin ada zuriat. Macam mana aku nak mengawal mereka kalau setiap hari mereka disogokkan dengan perkara yang tidak wajar ini. Kanak-kanak yang masih suci mudah terikut dengan perkembangan yang tidak sihat ini. Bila meningkat remaja, mereka rasa dedah aurat tu tidak salah kerana dalam tv ramai artis yang buat, apatah artis tersebut idola fanatik mereka. Mereka taksub mengikuti fesyen artis tersebut. Sekiranya perkara ini dibiarkan berterusan, bagaimana dengan generasi 10 tahun akan datang, 20 tahun akan datang? Aku sangat takut.

Bila berterusan buat dosa walaupun kecil, hati jadi gelap. Bila gelap, hidayah susah nak meresap masuk. Lagipun, janganlah melihat kepada kecilnya dosa, tapi lihatlah kepada siapa yang kita derhakai. Buat dosa memang best. Sebab tu kita ni manusia biasa susah nak bendung diri kita daripada berbuat dosa. Tak lekang daripada melakukan dosa samada secara sedar atau tidak. Samada kecil atau besar. Nak melawan nafsu lagi satu hal. Kalau tak kuat, kita pasti kecundang. Syaitan bersorak sakan bila kita dah berjaya buat dosa. Selagi boleh syaitan akan hasut, selagi hayat kita dikandung badan, hingga hujung nyawa.

Sebab tu kita diseru supaya jaga hubungan, jaga hubungan dan jaga hubungan. Hubungan yang dimaksudkan ialah dengan Allah. Jangan sesekali putuskan hubungan. Sentiasalah berhubung dengan Allah. Tolonglah, jaga solat 5 waktu kita dengan sempurna. Tapi, ada yang solat tak pernah tinggal, tapi kenapa dia tetap berbuat dosa? Contohnya ramai yang dikatakan alim warak, tapi rogol anak dan cucu sendiri, ada yang rogol anak murid sendiri. Maknanya dia lalai dalam solatnya, orang yang lalai dalam solatnya tetap kena hisab di sana. Solat untuk mencegah kemungkaran, tapi kebanyakan solat tak mencapai tujuan.

Ada satu teka teki, dalam dunia ini apakah yang paling ringan? Jawapannya adalah solat. Kerana manusia memandang ringan akan perkara solat. Solat dianggap perkara terakhir yang paling remeh. Ada yang pernah marah aku, katanya ada yang tak solat, tapi perangai baik je. At least dia tak minum arak, bukan kaki judi. Dia tetap berdosa di sisi Allah, walaupun dia dipandang mulia di depan manusia. Allah tetap murka padaNya. Kalau Allah murka apa berlaku? Tak berkatlah dunia dan akhirat selagi kita tak mohon ampun dan taubat.

Tidak solat bermakna kita dengan sengaja putuskan hubungan dengan Allah. Dengan sesama manusia pun kalau sengaja putuskan hubungan tanpa sebab, kita akan dibenci, mungkin dibenci sepanjang hayat, apatah lagi dengan Allah, yang mencipta kita. Susah sangat ke tak sampai 10 minit luangkan masa bermasa Allah, berdialog dengan Allah melalui solat. Zaman nabi dulu boleh bersolat sampai berlekuk batu, kita zaman sekarang solat dalam aircond lagi, kipas pula kiri kanan depan belakang, sejuk sampai ke tulang, ada karpet empuk, ada sejadah lawa-lawa, dan panduan arah kibrat yang tak perlu susah payah nak survey. Segalanya mudah, itupun payah. Itupun berat hati nak buat.

Aku pernah baca 3 hari lepas ada orang pernah solat dalam gereja, pernah solat dalam tandas, pernah solat semasa sesi kuliah sedang berlangsung, kerana dia tak ada kemudahan sempurna dalam nak beribadah menyembah Allah. Betapa kental hati dia, kita ni mudah sangat-sangat nak bersolat, surau bersepah, masjid pun belambak-lambak, kemudahan fasilities yang sangat sempura pun masih berkira dalam nak bersolat.

Kenapakah jadi begitu? Tak ada kesedaran? Kenapa tak ada kesedaran? Sebab hati dah tak ada rasa takut pada Allah. Hati dah tak ingat mati agaknya. Bagaimanakah sekiranya Allah yang putuskan hubungan dengan kita pula? Dunia akhiratlah kita tak selamat. Malah Allah buat-buat lupa nak bagi keampunan kat kita, Allah buat-buat lupa nak bagi rahmat dan redaNya kepada kita, menangis air mata darah pun dah tak berguna lagi dah. Sebab air mata kita hanya laku kat dunia.

Janganlah putuskan hubungan dengan Allah, Allah lebih dekat dengan kita daripada urat di badan kita sendiri. Belajarlah bersolat, dengan solatlah kita akan rasa lebih berhubung dengan Allah. Jiwa kita pasti lebih terisi.