~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Rabu, 13 Jun 2012

Kejadian sedih petang semalam - Paradigm Mall

Assalamualaikum wbt.

Bismillah.

Aku nak cerita ketidakpuasan hati aku dalam blog ni tentang kejadian petang semalam. Aku malas nak tulis dalam FB sebab aku tak boleh nak tulis panjang-panjang. Aku bukan nak aibkan sesiapa, aku nak selepas ini, semua orang membuka mata dan sama-sama muhasabah diri dengan apa yang berlaku.

Ceritanya begini, sejak hari Isnin, 11 Jun, Tok Ketua ada kursus 3 hari sehingga Rabu (hari nilah). Maka, setiap kali Tok Ketua ada kursus, aku akan tidur di rumah sepupu aku di Kelana Jaya, apatah sejak berbadan 2 ni, aku khuatir sekiranya sesuatu terjadi kepada aku. Maka, aku rasa selamatlah kalau tidur di Kelana Jaya, dengan ditemani anak-anak sepupu aku.

Bila dah Tok Ketua tak ada ni, aku akan makan malam dengan rakan ofis terlebih dahulu di mana-mana shopping complex sebelum ke Kelana Jaya, lagipun bolehlah kalau nak cuci mata dengan kawan-kawan. Survey barang baby dan harganya, kerana masih banyak barang bayi yang belum aku beli.

Sebab kedua, dengan kawan-kawan aku sahajalah aku dapat buat tawaf seluruh shopping complex tu, kalau dengan Tok Ketua tak de harapanlah. Tok Ketua bukanlah suka sangat masuk shopping complex kalau tak ada urusan, dalam sebulan tu sekali pun susah, kecuali ada urusan, atau ada barang yang disasar nak dibelinya, itu pun masuk kedai barang itu semata.

Sebenarnya, aku pun sama jugak, tak suka masuk shopping complex kalau tak ada urusan, tapi kalau dah masuk, adalah jugak berjalan-jalan pusing dalam mall tu, tapi kali ni, aku niat nak bersantai dengan kawan-kawan, (sejak bernikah, sangatlah terbatas masa aku dengan kawan-kawan) dan niat nak makan malam, maka aku dan kawan-kawan pergi ke Mid Valley pada hari Isnin.

Semalam pula, hari Selasa, aku ajak kawan-kawan aku pergi ke Paradigm Mall, di Kelana Jaya, pusat membeli belah ni baru sahaja di buka tak pasti bila, mungkin hujung bulan lepas kot, aku sajalah nak survey. Bersama 2 orang rakan, kami ke sana selepas kerja.

Tiba di Paradigm Mall pun dah hampir jam 7pm. Kami jalan-jalan tengok outlet yang ada dalam mall tersebut. Kawan-kawan aku beriya shopping coklet di Mark & Spenser. Sudahnya dengan aku sekali terjebak membeli coklet.

Sedar tak sedar dah nak masuk Magrib. Kami sempat singgah di Tesco. Minggu lepas Tesco ni buat sales secara besar-besaran sempena perasmian pembukaannya. Tapi masa tu aku tak sempat datang, katanya barang seperti lampin pakai buang dan susu bayi murah sangat.

Semasa kawan aku sedang membuat pembayaran di kaunter Tesco, aku sempat bertanyakan cashier yang bertugas, seorang anak muda Melayu yang cukup sihat, di manakah terletaknya surau? Sebab sepanjang aku berada dalam Paradigm Mall tersebut, aku langsung tak nampak signboard surau, entahlah kalau aku terlepas pandang.

Anak muda tersebut tersipu malu menjawab tak tahu. Saya masih baru di sini katanya. Aku terkejut dengan jawapan yang diberi. Kawan aku yang selesai membuat pembayaran terus menyampuk, sahlah kau ni tak solat kan, alasan baru konon, kalau baru sehari kau kat sini pun takkan kau tak solat langsung, takkan tak tahu kat mana surau, takkan tak peduli surau di mana? Aku pulak yang tercengang dengan mulut laser kawan aku tu. Dahlah kuat dan lantang pulak tu suara dia. Tapi aku bersikap selamba, walaupun dalam hati aku mengiyakan kebenaran kata-kata kawan aku tadi. Cuma, aku tak nak berterusan memalukan anak muda tadi. Kami beredar.

Kawan aku tak puas hati. Dia bergegas ke kaunter pertanyaan. Ada 2 orang gadis Melayu free hair sedang menanti di situ. Tanpa berlengah, kawan aku terus bertanyakan di mana surau? 2 orang gadis tadi juga tidak tahu. Masing-masing berpandangan semasa sendiri buat muka blur. Kebetulan, ada seorang staff lelaki Melayu yang umurnya lebih 30 tahun lalu di situ. Salah seorang gadis tadi tanya beliau, di mana surau? Sambil lagaknya memegang walkie talkie, dengan muka yang penuh keyakinan, lelaki tadi menjawab surau di Tingkat 2. Lega dengan jawapan yang diberi, selepas mengucap terima kasih, kami bergegas mencari lif ke tingkat 2.

Sambil berjalan menuju ke lif, kawan aku yang mulut laser tadi, dah membebel, budak pompuan 2 orang tadi tu tak solat jugak ek? Setahu kami, Paradigm Mall ni bukannya dibuka hari ni, bukan juga semalam, bukan juga minggu lepas, tapi kenapa mereka tak tahu di mana surau. Aku jawab dengan muka serius, maknanya mereka tadi tu memang tak solatlah. Kejadian ni membuatkan aku benar-benar tak boleh nak bersangka baik. Adakah sangkaan aku salah? Jauh di sudut hati, aku nak anggapan aku tu benar-benar meleset.

Tiba di tingkat 2, seluruh level 2 kami pusing, tak jumpa langsung signboard surau, aku dah penat, nak je aku duduk, aku bukan lenguh kaki, tapi lenguh perut. Minda aku turut penat bila surau yang dicari tak jumpa-jumpa. Hampir setengah jam berpusing, kami putus asa, jam dah nak menghampiri 8pm. Aku tak nak lewatkan solat Magrib. Aku jadi sedih.

Kawan aku tiba-tiba nampak security guard. Tapi foreigner, bukan Melayu. Aku berharap sangat dia dapat membantu. Aku tak nak terlepas solat Magrib. Aku dah penat buat tawaf kat level 2 ni. Security guard cakap, surau di UG bukan level 2. Apa? Aku dah nak mengamuk. Nak menangis pun ada, menangis sebab penat kerana usaha kami tadi berpusing di level 2 adalah sia-sia, nak menangis lagi sebab aku sedih dengan jawapan salah yang diberikan oleh lelaki Melayu tadi. Sedih yang maksima. Aku terus terbayangkan muka confident lelaki Melayu tadi. Aku nampak dia kecik je. Macam ni ke aku nak bersangka baik. Ohhhhhhh.

Kawan aku yang mulut celupar tadi cakap, kaunter pertanyaan di bawah tadi cakap level 2 tau tak? Sebab tu kami cari kat level ni. Penat tau tak kami berpusing? Dahlah kawan saya ni mengandung. Dahlah Magrib dah nak habis ni. Kawan aku seakan mengamuk. Suara dia pulak memang jenis kuat, tak marah pun seolah macam dah mengamuk. Tak pasal je security foreigner tu kena tempias ketidakpuasan hatinya. Mujurlah security tu berdiam diri, buatnya dia menjawab atau melawan, tak pasal jadi kes lain pulak nanti.

Kecewa aku semakin parah. Kami mencari lift untuk kembali turun ke level UG. Tiba di level UG, segera mencari signboard surau, tapi tak jumpa. Kawan aku sekali lagi bertanyakan seorang anak muda maintenance yang sedang bekerja di sudut tepi tangga di manakah surau? Anak muda tadi terus menunjukkan arah, katanya korang terus jalan sampai ke hujung. Ada surau di hujung kanan.

Kami bergegas mengikut arahan. Sampai ke hujung mujur nampak signboard surau, kami segera menunaikan solat Magrib yang dah masuk saat-saat kecederaan. Dalam doa di akhir solat, aku minta supaya Allah bagi Taufik dan Hidayah pada insan-insan yang kami tanyakan arah surau tadi. Aku merintih di dalam doa, merintih kesedihan. Air mata aku berlinang mengenangkan kejadian tadi. Betapa solat itu dipandang ringan rupanya. Tapi cepat-cepat aku kembali bersangka baik selepas selesai berdoa.

Astaghfirullah.

p/s : itulah, niat nak buat tawaf sangatkan kat mall, hambikkk, padan muka aku, hahahaha.






2 ulasan:

UMMI YL berkata...

sedihnya...napelah begitu..
ambil enteng hal solat...
:(

Wanita Bertudung Hijau berkata...

rulza : kalau hal wajib dipandang remeh, tak dpt dibayangkan hal lain pula bagaimana :-(