~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Jumaat, 18 November 2011

Terpaksa Membuang Rahim

p/s : berkemungkinan kawan aku yang sedang mengandung terpaksa dibuang rahimnya kerana urinya telah melekat, maka, sajalah aku akses info tentang membuang rahim sekadar untuk menambahkan maklumat. Aku tak naklah bertanya secara rambang, dikhuatiri mendapat ajaran sesat. Semua info dia bawah adalah sesuatu yang baru kepada aku untuk hari ni. Semoga perkongsian ni dapat memberi manfaat.

Kesan Pembedahan Membuang Rahim?

Saya percaya ramai wanita telah menjalani pembedahan untuk membuang rahim mereka kerana sebab-sebab tertentu dan dalam keadaan yang penting atau cemas. Ramai di kalangan mereka mendapat faedah dan manfaat daripada pembedahan tersebut, tetapi ada juga di kalangan mereka yang menyesal, rasa bersalah dan juga mengalami berbagai-bagai masalah serta pergolakan emosi dan mental. Ada juga yang mengalami masalah hubungan antara suami isteri. Kali ini saya ingin membincangkan tentang baik buruknya pembedahan tersebut, kesan jangka pendek dan panjang, dan apakah punca-punca yang menyebabkan doktor melakukan pembedahan untuk membuang rahim.

Bagi wanita, rahim adalah satu organ badan yang sangat penting kerana ia melambangkan kewanitaannya dan satu tonggak bagi kesuburannya. Tanpa organ ini, wanita itu pincang atau tidak cukup sifat, dan ada di antara mereka menyangka, bahawa dia bukan seorang wanita lagi. Sesetengah suami pula menganggap, wanita tanpa rahim bukanlah wanita dan padanya mungkin kurang berguna lagi.

Biarlah orang mempunyai berbagai-bagai tanggapan dan andaian tentang rahim, tetapi saya ingin menekankan, bahawa fungsi mutlak rahim ialah untuk melindungi serta menaungi kehamilan untuk tujuan melahirkan zuriat.

Sebenarnya, ada dikalangan wanita-wanita yang lahir tanpa rahim. Ini adalah keadaan semula jadi yang disebabkan oleh sesuatu gejala yang timbul dalam proses pembentukan organ tetapi bahagian lain peranakan, seperti saluran faraj dan kilang ovari masih ada. Wanita ini masih mempunyai sifat fizikal, perwatakan dan lain-lain ciri kewanitaan, melainkan dia tidak didatangi haid, tidak mungkin hamil dan melahirkan anak walaupun sekarang ini ada cara melahirkan ataupun meneruskan bakanya secara meminjam rahim orang lain tetapi dengan menggunakan benih suaminya. Wanita yang lahir tanpa rahim sebenarnya tidak merasa dirinya lain daripada wanita lain, melainkan dia tidak didatangi haid sahaja seperti wanita lain.

Begitu juga keadaannya di kalangan wanita yang telah menjalani pembedahan untuk membuang rahim. Apa yang kurang pada dirinya ialah dia tidak didatangi haid setiap bulan sedangkan fungsi-fungsi lain adalah seperti biasa. Pusingan haid bagi wanita adalah sangat penting untuk menunjukkan bahawa dia subur dan mempunyai perkakas peranakan yang normal. Tetapi, ada juga wanita yang mempunyai rahim, kilang telur dan saluran faraj yang normal tetapi haidnya tidak datang atau datang secara tidak teratur.

Apakah sebenarnya hikmah atau pengertian di sebalik kedatangan haid setiap bulan dari segi pandangan ahli sains perubatan? Sebenarnya, haid datang setiap bulan oleh sebab tidak ada kehamilan berlaku. Jika kehamilan berlaku, tanda pertama ialah haidnya tidak datang. Kedatangan haid setiap bulan dikawal oleh pusingan hormon di dalam darah badan wanita. Apabila seseorang wanita itu mengandung, kandungan hormon meningkat dan menyebabkan haid tidak datang. Haid yang tidak datang sewaktu hamil adalah penting kerana wanita perlu menyimpan darahnya untuk menampung keperluan bayi yang sedang membesar dalam rahim.

Sebenarnya, wanita tidak didatangi haid oleh sebab-sebab tertentu ataupun disebabkan rahimnya dibuang atau diberi ubat untuk menahan atau melambatkan haid, dia tidak mengalami apa-apaa masalah seperti keracunan darah. Ada sesetengah orang percaya, bahawa jika darah haid tidak keluar maka darah kotor ini akan bertimbun dalam badan menyebabkan keracunan. Oleh itu, ramai wanita yang percaya, bahawa jika haidnya tidak datang, dia akan merasa tidak sihat dan mengadu tentang berbagai-bagai macam kesihatan di seluruh tubuh badannya. Tetapi, ini hanyalah satu anggapan dan kepercayaan sahaja.

Mengapa Rahim Perlu Dibuang?

Pada masa ini, khususnya di negara-negara Barat, pembedahan untuk membuang rahim berlaku begitu banyak oleh sebab-sebab yang begitu remeh. Ini mungkin disebabkan oleh sikap yang kian berubah di kalangan wanita sendiri dan di kalangan doktor. Di negara Barat, terlalu banyak pembedahan untuk membuang rahim dilakukan di kalangan wanita yang berumur tiga puluhan oleh sebab-sebab masalah pendarahan dari rahim yang tidak tentu masa dan mungkin berlebihan. Pada hal, tidak ada ketumbuhan yang berbahaya pada rahim. Di Malaysia, kita masih lagi bersikap konservatif dan doktor tidak begitu bebas untuk melakukan pembedahan membuang rahim. Biarlah sikap ini dikekalkan kerana saya sendiri percaya, bahawa membuang rahim oleh sebab perkara-perkara yang agak remeh boleh menimbulkan beberapa masalah emosi dan mental di kalangan wanita dan ia mungkin boleh menjejaskan hubungan kelamin. Tetapi, pembedahan untuk membuang rahim tidak boleh dielakkan dalam keadaan-keadaan seperti yang berikut:

1. Tumbuhan Kanser

Ketumbuhan kanser yang paling sering di kalangan wanita ialah kanser pangkal rahim, kanser badan rahim dan kanser ovari. Dalam keadaan-keadaan begini, doktor dan wanita berkenaan tidak ada pilihan lain melainkan menjalani pembedahan untuk membuang rahim dan bahagian-bahagian sekitarnya.

Bagi kanser pangkal rahim, bukan sahaja rahim dan pintu rahim yang akan dibuang tetapi juga melibatkan sebahagian atas saluran faraj, kelenjar-kelenjar di sekelilingnya, dan kilang telur juga dibuang. Ini adalah pembedahan radikal yang besar dan ia dilakukan untuk menyelamatkan wanita tersebut. Penyakit kanser seperti yang kita ketahui adalah sejenis penyakit yang boleh merebak jauh, bukan sahaja di kawasan sekitar ketumbuhan itu, malah ia merebak melalui darah untuk merosakkan paru-paru, hati dan lain-lain.

Apa yang menjadikan kita dalam keadan ini ialah kadang-kala penyakit kanser ini boleh menyerang wanita yang masih muda, khususnya kanser ovari. Boleh saya katakan di sini, bahawa kebanyakan wanita yang diserang penyakit kanser adalah mereka yang berumur empat puluhan ke atas, kanser badan rahim menyerang wanita yang lepas putus haid dan kanser ovari pula menyerang wanita yang berusia dalam lingkungan 45 ke atas

Tetapi saya sendiri telah banyak kali menemui kes-kes gadis atau wanita yang masih muda menghidapi penyakit kanser kilang telur dan ovari. Dalam keadaan ini, kadang-kadang doktor tidak mempunyai pilihan lain, melainkan membuang semua organ peranakannya termasuk rahim dan ovari. Tetapi, sekarang ada dikalangan doktor yang lebih konservatif dalam pendekatan atau kaedah pembedahan. Jika wanita itu masih muda dan wanita itu menghidapi penyakit kanser ovari, mungkin hanya ovari yang terlibat sahaja yang dibuang, dan dia cuba mempertahankan rahim atau ovari yang lain, demi untuk kemungkinan wanita ini melahirkan zuriat di masa hadapan.

Pembedahan untuk membuang rahim memang tidak boleh dielakkan dalam penyakit kanser yang melibatkan perkakas peranakan dan memang diakui dan tujuannya adalah untuk menyembuhkan penyakit tersebut dan untuk memberi peluang wanita itu hidup lebih lama lagi, walaupun adakalanya setelah dibedah wanita itu masih lagi menghidapi penyakit kanser.

2. Penyakit Ketumbuhan Seperti Fibroid

Ketumbuhan fibroid yang menimbulkan masalah seperti pendarahan yang banyak dan berpanjangan memerlukan pembedahan dan kadangkala rahim perlu dibuang bersama dengan ketumbuhan tersebut. Itu pun jika wanita itu telah mempunyai anak dan tidak berhasrat untuk mempunyai anak lagi. Tetapi bagi wanita yang masih mudah dan masih inginkan zuriat, biasanya doktor hanya membuang ketumbuhan fibroid sahaja.

Wanita yang berumur 40 ke atas dan telah mempunyai anak serta menderita akibat daripada pendarahan atau kesakitan waktu haid, perlulah menjalani pembedahan untuk membuang rahim. Dalam keadaan ini, jika ovari atau kilang telur masih baik lagi, biasanya ia tidak akan dibuang tetapi disimpan untuk pengeluaran hormon estrogen demi untuk mengekalkan keserian dan ciri-ciri hormon estrogen demi untuk mengekalkan keserian dan ciri-ciri kewanitaan wanita tersebut.

Banyak ketumbuhan fibroid tumbuh semula setelah dibedah jika rahimnya tidak dibuang pada ketika itu. Oleh itu, wanita berkenaan perlu berwaspada dan patut membuat pemeriksaan setiap tahun atau enam bulan sekali, sama ada ketumbuhan itu tumbuh semula atau tidak. Jika ketumbuhan itu masih berulang semasa pembedahan yang pertama, pembedahan yang kedua perlulah dilakukan untuk membuang rahimnya.

3. Penyakit Endometriosis

Penyakit endometriosis yang berlarutan boleh menyebabkan pelbagai masalah seperti senggugut yang amat teruk, pendarahan yang banyak pada waktu dan di luar waktu haid, kesakitan semasa hubungan kelamin dan kemandulan. Sebenarnya, penyakit endometriosis ini semakin meningkat dan semakin kerap berlaku di kalangan wanita masa kini. Saya sendiri tidak faham apa puncanya, mungkin ada kaitannya dengan perubahan cara hidup kita, khususnya kahwin lambat, penjarakkan anak dan penangguhan untuk hamil. Tetapi, apa yang ketara ialah tekanan fizikal, mental dan emosi yang kian meningkat pada masa kini yang boleh menyebabkan masalah penyakit endometriosis ini.

Penyakit endometriosis adalah disebabkan oleh tumpuhan atau limpahan darah di luar rahim akibat tisu endometrium tumbuh di luar rahim seperti di kilang telur ovari, di belakang rahim, di hadapan rahim, saluran Falloppian dan di kawasan sekitar seperti pundi-pundi air kencing dan saluran kencing. Masalah utama yang dialami oleh pesakit endometriosis ini ialah senggugut dan ketidaksuburan atau kemandulan, seterusnya menyebabkan masalah-masalah haid yang mungkin berlebihan atau berpanjangan dan teruk yang mungkin menyebabkan kesakitan semasa hubungan kelamin. Bagi wanita yang mengalami masalah ini, saya sungguh bersimpati terhadap mereka kerana ramai wanita setelah menjalani pembedahan atau rawatan, menghidapi penyakit ini semula.

Ada yang percaya, bahawa penyakit ini akan sembuh apabila wanita itu hamil, tetapi untuk menjadikan wanita itu hamil adalah satu masalah besar. Pelbagai jenis rawatan diberi dan dilakukan, masih tidak berjaya dan apabila gagal untuk hamil, wanita ini akan mengalami ulangan penyakit tersebut. Akhirnya, penyakit ini akan merebak menyebabkan gejala-gejala yang saya nyatakan tadi, dan apabila wanita itu sampai ke umur 40 ke atas, rahim dan mungkin kedua-dua ovarinya terpaksa dibuang kerana diserang penyakit endometriosis.

4. Prolaps Rahim Atau Rahim Terkeluar

Bagi wanita, khususnya wanita yang telah putus hadi, masalah prolaps rahim atau rahim terkeluar boleh menimbulkan berbagai-bagai masalah. Ia mungkin menyebabkan ketidakselesaan kerana setiap kali wanita berkenaan berdiri, meneran atau batuk, rahimnya terkeluar. Tetapi, apa yang kadang-kadang menyulitkan wanita ialah apabila dia bersin, batuk, mengangkat benda-benda yang berat dan kadang-kadang ketika sujud dalam sembahyang dia terkencing.

Inilah yang menyulitkan mereka kerana ia akan membatalkan sembahyang, dan jika prolaps rahim menimbulkan masalah perkencingan dan lain-lain perkara perlulah dibedah. Pembedahan ini biasanya dilakukan melalui saluran faraj dari bawah, tidak ada parut di perut dan biasanya rahim akan dibuang sama sekali.

5.Pendarahan Ketika Atau Selepas Bersalin

Banyak kali saya menyaksikan perkara ini berlaku. Wanita sepatutnya bersedia sebelum bersalin kerana pendarahan akan berlaku ketika seseorang wanita itu melahirkan anak dan kebanyakannya sedikit sahaja dan tidak akan mengganggu kesihatannya. Tetapi, adakalanya pendarahan ini berlaku dengan begitu banyak, mungkin akibat rahim tidak boleh kuncup, rahim lemah ataupun uri melekat dan tidak boleh langsung dipisahkan, ataupun lain-lain punca seperti kecederaan akibat daripada pembedahan ataupun kelahiran secara forseps atau vakum.

Ini akan menyebabkan pendarahan yang begitu banyak. Akhirnya, apabila pendarahan berlaku dengan begitu banyak, ia akan mengancam nyawa ibu tersebut dan doktor akan cuba berbagai-bagai cara untuk mengatasi pendarahan ini untuk menyelamatkan ibu dengan cara melakukan pembedahan kecil untuk membuang uri jika ia melekat. Ada wanita memerlukan darah sampai 40 hingga 50 botol demi untuk menyambung nyawanya.

Akhirnya, rahim terpaksa dibuang untuk menghentikan pendarahan tersebut, jika ia berdarah seperti air paip dan darah yang dimasukkan melalui tranfusi tidak akan dapat menampung atau mengatasi tumpahan darah yang begitu banyak daripada saluran rahim.

Apa yang menyedihkan dalam hal ini ialah kadang-kadang ia berlaku di kalangan wanita yang melahirkan anak sulung dan dia perlu dibedah untuk membuang rahim oleh sebab pendarahan yang begitu banyak, di mana keadaan ini boleh menimbulkan masalah di masa hadapan. Tetapi, wanita itu tidak ada pilihan di waktu itu kerana pilihan dia dilakukan untuk menyelamatkan nyawanya. Jika tidak, dia mungkin akan mengalami maut.

6.Pendarahan Yang Luar Biasa

Satu keadaan yang sering mengganggu wanita ialah pendarahan yang berpanjangan dan tidak tentu masa. Apabila doktor memeriksa dan merawat secara D & C atau dengan ubat-ubatan, doktor tidak dapat mengesan ketumbuhan atau kanser, ataupun lain-lain penyakit. Pendarahan luar biasa ini adalah disebabkan oleh keadaan hormon yang tidak seimbang dan dalam istilah perubatan kita, ia dinamakan dysfunctional uterine bleeding. Keadaan inilah yang paling sering menyebabkan pembedahan dilakukan untuk membuang rahim khususnya di negara Barat.

Saya percaya, ketidakseimbangan hormon yang akhirnya menyebabkan masalah pendarahan luar biasa adalah disebabakan oleh keadaan mental dan tekanan jiwa yang sekarang ini begitu banyak berlaku di kalangan wanita-wanita Barat dan mungkin sedang merebak di kalangan wanita-wanita di negara kita. Sebenarnya kes-kes seperti ini perlulah dirawat secara konservatif dulu, iaitu dengan ubat-ubatan ataupun dengan pembedahan kecil seperti D & C, dan juga lain-lain rawatan sokongan, khusus bagi wanita-wanita yang mengalami masalah tekanan jiwa dan mental.

Satu lagi perkara yang boleh menyebabkan pendarahan luar biasa ini ialah wanita yang terlalu gemuk. Wanita ini memerlukan rawatan sokongan diet, bersenam untuk menguruskan badan mengikut apa yang sewajarnya bagi ukuran ketinggiannya. Sebelum kita melakukan pembedahan untuk membuang rahim oleh sebab pendarahan yang luar biasa yang mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan hormon, segala percubaan, segala kaedah rawatan patutlah dicuba dahulu dan wanita itu juga patut bertenang dan tidak memaksa atau mendesak untuk melakukan pembedahan untuk membuang rahim.

Saya percaya, ramai wanita biasanya memaksa doktor untuk melakukan pembedahan untuk membuang rahim. Inilah yang sering berlaku di negara Barat dan pembedahan untuk membuang rahim ini sangat banyak dilakukan. Pada masa ini, ada tatacara pembedahan yang tidak melibatkan rahim di buang tetapi cuma sebahagian lapisan dalam rahim di buang melalui pembedahan yang dinamakan debulking menerusi alat teropong hysteroskop.

Kaedah pembedahan ini hanya sesuai untuk wanita yang tidak mengalami ketumbuhan tetapi mengalami pendarahan yang banyak dan berpanjangan dan mungkin lapisan rahim itu sangat tebal. Pembedahan ini tidak sesuai bagi ketumbuhan lain seperti kanser atau ketumbuhan fibroid, endometriosis dan sebagainya.

Pembedahan rahim adalah satu pembedahan yang besar. Sebelum keputusan dibuat, wajarlah berunding secara bersama-sama antara suami isteri. Namun, dalam konteks masyarakat kita, khususnya masyarakat Islam, mungkin juga ada baiknya perbincangan dan nasihat perlu didapati daripada ibu-bapa wanita berkenaan.

Bagaimanapun, rundingan daripada rakan-rakan tidak diperlukan kerana mungkin akan memberi pelbagai jenis pandangan yang mungkin bercanggah. Doktor adalah orang yang sebaiknya untuk mendapat nasihat dan pandangan. Nasihat dan pandangan dari seorang doktor mungkin tidak mencukupi. Jadi, elok juga mendapatkan pandangan yang kedua atau ketiga dari doktor lain sama ada pembedahan ini perlu dilakukan. Tetapi, dalam kes-kes yang begitu jelas sekali seperti ketumbuhan besar, kanser dan sebagainya, tidak ada pilihan yang lain dan tidak perlu mendapat pendangan doktor lain.

Apa yang penting ialah keputusan dibuat bersama-sama suami dan supaya jangan menyesal di kemudian hari. Kebanyakan kes yang saya lihat, wanita yang menjalani pembedahan tersebut merasa lebih selesa kerana mungkin sebelumnya dia telah menderita daripada berbagai-bagai jenis masalah dan gejala.

7 ulasan:

RULZA berkata...

kalau melibatkan kesihatan dan nyawa mungkin terpaksalah melakukannya..

sebenarnya banyak wanita yang redha untuk mendapat nikmat yang sedikit dalam hubungan seks. sebab banyak wanita yang mengambil perancangan keluarga. Cuba tanya lelaki depa nak tak berkorban ambil kaedah perancangan walaupun ada untuk mereka pasti jarang yang mahu..Agaknya memang fitrah wanita banyak bersabar dan setia.

ada juga kes terpaksa buang rahim sebab kecuaian doktor semasa bersalin. kawan saya beberapa org telah mengalami nasib ni. ini sangat menyedihkan. yang paling kesal bila pihak hospital menulis laporan dengan tidak jelas dan menyimpan rahsia.

apapun seks bukanlah perkara utama dalam rumahtangga walaupun ia antara yang penting..banyak benda yang menjadi punca bahagia..ada orang sejak kahwin takdapat melakukan hubungan seks pun sebab sihir. tapi mereka masih bergelar suami isteri. kalau isteri terpaksa melalui pembuangan rahim/payudara dll beri sokongan dan dapatkan beberapa nasihat doktor untuk membantu membuat keputusan atau alternatif rawatan. jika betul wajib buang jangan sentuh tentang seks kerana pastilah isteri akan kecil hati dan berasa seperti alat seks semata..yala dah sakit pun masih timbulkan isu ini.

apapun jangan lupa minta pentunjuk dari Allah. kalau melibatkan nyawa isteri, memang tak dpt lagi di tolak..namun kalau saja2 nak buang itulah yang islam melarang...tapi melalui artikel ni, kena pastikan menjadi keperluan atau tidak untuk buang..kadang ada rawatan alternatif walaupun kadangkala penyakit seperti perdarahan berpanjangan tu menyusahkan. good info kat artikel ni.

mudah mudaha kesihatan kita selalu baik-baik..insyaallah.

Wanita Bertudung Hijau berkata...

rulza : apa kabar? tentu awak sibuk, lama tak nampak :-)

ngerinya baca cerita awak. menakutkan,

nice sharing

itulah, moga ada alternatif lain, saya baru je akses 1 artikel, nak kena akses banyak artikel :-)

RULZA berkata...

saya pun takut juga baca pasal buang rahim, kanser2 ni..yala kadang2 kita tak jangka kan..harap2 janganlah terkena..tapi kalau kena mungkin ada silap kita tak jaga kesihatan atau ia memang kifarah dosa la kot..:)cuma nak redha tula mungkin jadi jalan yang lambat atau sukar..

sibuk tidaklah sangat, agak sedikit susah hati dok mencari kerja sekarang ni..tu yang tak tulis blog kot..hihi..asik dok belek jobstreet..dah lama tak bukak jobstreet..persaingan kerja sangat tinggi..pergi web sana sini lagi, terus tak sempat tulis blog..cuma sempat komen2 & baca2.di blog feveret saja..:)
tapi insyaallah dalam beberapa bulan ni boleh bertahah..:)

alhamdulillah 24 november ni saya VIVA..doakan saya ye..:)

Wanita Bertudung Hijau berkata...

rulza : tahniah dan semoga berjaya dalam segala apa yg diceburi, sy doakan segalanya dipermudahkan

t/kasih atas komen yg sentiasa panjang :-) wpun sibuk :-) appreciate sgt :-)

RULZA berkata...

hih..sibuk tak sibuk..komen saya selalunya memang macam surat khabar..kihkih...

Wanita Bertudung Hijau berkata...

rulza : hehehee, tak mengapa, asalkan bermutu :-)

RULZA berkata...

lagi satu kan wbh, pasal perancangan keluarga tu saya nak kongsi saya sekarang sedang ambil maajun anggun bestari sebagai kaedah perancangan keluarga..

ambil depo, pil, implan dll memang banyak masalah, haid tak dtg, kurang selera dan kepuasan batin, kegemukan dll...

sapa2 yang nak cr alternatif bolehlah try search pasal maajun ni..ramai pengedar di internet..alhamdulillah dah dua bulan saya cuba setakat ni ok..