IMAM al-Ghazali menyatakan dalam Ihya Ulumiddin, membaca al-Quran itu sebenarnya dengan penyertaan lidah, akal dan hati.
Peranan lidah membetulkan sebutan huruf dengan tartil, akal pula dengan pemahaman makna dan peranan hati mengambil iktibar.
Membaca al-Quran dengan penyertaan lidah, akal dan hati dikatakan juga sebagai tadabbur al-Quran. Konsep ini diamalkan generasi sahabat, tabiin dan golongan soleh dahulu.
Hari ini ramai membaca al-Quran dan ramai juga yang tidak membacanya. Tetapi bagi yang membacanya, apakah yang diperoleh atau adakah ia sekadar bacaan, terutama di majlis tertentu?
Memanglah al-Quran apabila dibaca walaupun tidak difahami akan mendapat keberkatan, keistimewaan dan pelbagai ganjaran. Malah, satu huruf al-Quran yang dibaca diberi sepuluh pahala.
Tetapi, adalah lebih baik bagi yang mempunyai kemampuan dan daya kecerdikan turut melakukan tadabbur ketika membacanya, supaya dapat mengetahui lebih banyak ilmu, sama ada yang zahir atau terselindung.
Sebagaimana diketahui, Allah mewahyukan al-Quran dengan hikmah (bijaksana) supaya ia menjadi panduan kepada umat Islam, namun panduan tidak akan diperolehi jika hanya sekadar membaca tanpa memahami dan menghayatinya.
Justeru, perlunya ada tadabbur iaitu pemerhatian dan pemikiran terhadap sesuatu perkara dengan baik, malah sampai ke tahap kajian supaya semua mendapat pengajaran yang baik untuk dijadikan panduan.
Buku ini cuba memberikan bimbingan kepada pembaca mengenai tadabbur al-Quran. Penerangannya membabitkan pelbagai aspek, termasuk sebab penurunan al-Quran, sumpah, pengambilan hukum dan isyarat sains.
Dalam aspek sains misalnya menyentuh mengenai oksigen, penulisnya menyatakan ayat 125 dari surah al-An'am, yang bermaksud: "Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah akannya, maka Allah melapangkan dadanya untuk Islam. Dan sesiapa yang Allah kehendaki kesesatannya, maka Allah jadikan dadanya sempit dan sesak seolah-olah ia sedang naik ke langit."
Ayat terbabit dikaitkan oksigen secara tidak langsung dan menunjukkan oksigen tidak ada di angkasa raya.
Begitu juga pada proses kacukan pokok, ada benih jantan dan benih betina. Isyarat ini disebut seperti pada ayat 22 dari surah al-Hijr bagi menggambarkan kekuasaan Allah, maksudnya: "Dan Kami menghantar angin-angin untuk mengahwinkan (tumbuh-tumbuhan)."
Kemudian pada ayat 56 dari surah an-Nisa' yang mengisyaratkan kewujudan lapisan kulit dan saraf yang sakit. "Setiap kali masak hangus kulit-kulit mereka (ahli neraka), Kami gantikan akan mereka dengan kulit-kulit yang lain agar mereka merasai azab."
Pemerhatian dan penelitian seperti ini memberikan pengetahuan lebih luas dan mendalam, bahkan faedah kejayaan dan pembentukan tamadun manusia yang lebih gemilang.
Bagi golongan awam, pengetahuan seperti ini paling tidak akan dapat menambah minat untuk terus membaca dan berdamping dengan al-Quran.
Dipetik dr ulasan buku:
Tajuk: Beginilah al-Quran Mengajar Kami
Penulis: Mohammad Nidzam Abdul Kadir dan Mohd Zamri Mohd Zainuldin
Penerbit: Telaga Biru Sdn Bhd
0 ulasan:
Catat Ulasan