(sumber : google)
(p/s : aku nak berkongsi salah satu artikel yang aku baca hari ni, walaupun panjang, banyak sangat manfaatnya untuk aku dan mungkin pada kalian)
Bulan lalu, saya didatangi oleh seorang India Muslim yang telah memeluk Islam hampir 10 tahun dan memerlukan bantuan, juga kunjungan follow up seorang warga Perancis yang ingin memeluk Islam sebagaimana yang saya telah nyatakan sebelum ini. Dua kes yang berbeza, tetapi matlamat sama iaitu mereka memerlukan pertolongan dan bimbingan. Apakah peranan kita? Menerima dan membantu atau menolak mereka dengan pelbagai alasan?
Dalam kes pertama, saya berasa agak pelik bagaimana India Muslim tersebut boleh tahu tempat tinggal saya dan surau tempat saya selalu berjamaah, yang mana saya juga adalah pengerusi surau itu. Beliau menunggu saya di surau dari pagi sampai petang. Nasib baiklah saya turun berjamaah pada waktu maghrib, jika tidak, beliau akan pulang dengan hampa dan tangan kosong.
Setelah disiasat, barulah saya dapat tahu bahawa beliau sebelum ini telah pergi ke sebuah masjid di Bandar Baru Ampang berhampiran surau tempat saya untuk mendapatkan bantuan tambang bas bagi membolehkannya pulang ke rumahnya di Pulau Pinang. Salah seorang ahli jawatankuasa masjid tersebut menyuruh beliau datang berjumpa saya untuk mendapatkan bantuan.
Dipendekkan cerita, India Muslim tersebut mahukan sedikit wang sebagai tambang balik. Sama ada beliau ikhlas atau tidak, kita serahkan pada Allah swt. Apa yang penting ialah beliau adalah seorang saudara Muslim melalui bukti dokumen yang dibawanya dan telah datang kepada kita meminta pertolongan.
Persoalannya, kenapa sebuah masjid yang mempunyai dana dan kutipan jumaat yang banyak tidak dapat membantu saudara Muslim walaupun sedikit. Kenapa harus dirujukkan kepada saya? Adakah saya seorang hartawan? Bantuan yang diperlukan hanya wang sekitar RM50 - RM100 sahaja bagi membolehkan beliau pulang ke destinasi.
Alasan yang diberikan oleh masjid tersebut adalah masjidnya masih baru (satu tahun), nazirnya belum dilantik dan jawatankuasanya baru dibentuk. Apakah alasan tersebut begitu kuat untuk kita menolak bantuan seorang saudara Muslim yang memerlukan dan telah datang kepada kita meminta bantuan? Inilah mentaliti yang mesti berubah dan diubah. Jika tidak, Islam akan terus dipandang rendah dan sukar untuk berkembang.
Jika perkara sekecil ini dirujuk kepada insan kerdil seperti kami dan rakan-rakan senasib, apakah peranan kita sebagai umat Islam yang bersaudara? Saban hari kami menerima panggilan telefon berhadapan dengan masalah-masalah saudara Muslim yang memerlukan bantuan dan bimbingan. Letih juga dibuatnya. Ini tidak termasuk kerja-kerja kemasyarakat yang lain.
Jika semua mengharapkan satu pihak sahaja yang membantu, akhirnya sekuat mana pun seseorang itu, akhirnya akan rebah juga dibuatnya. Akibatnya, sudah tentu kerja-kerja dakwah akan tergendala. Persoalannya, kenapa kita tidak pakat-pakat bersama-sama melakukannya? Bukankah kita semua adalah seorang dai (pendakwah dan khalifah) yang bertangunggjawab menyampaikan walaupun satu ayat dan membantu walaupun sedikit. Sekurang-kurangnya kita berikhtiar, dan bukannya mengambil jalan singkat serta mengelakkan diri.
Sepatutnya, masing-masing membantu sekadar termampu. Rujukan kepada orang-orang tertentu hanya dilakukan setelah kita lakukan sebaik mungkin untuk membantu. Bantuan tidak sekadar dengan wang ringgit, tetapi melalui motivasi, tenaga dan sebagainya. Dalam kes ini, sekadar untuk memenuhi keperluan tambang bas, sudah tentu jumlahnya tidaklah banyak. Kalau sudah kedekut sangat untuk menggunakan dana masjid kerana masjid masih baru kononnya, umumkan sahaja kepada jamaah masjid yang hadir, saya amat yakin, bukan sehaja RM50, malah lebih daripada itupun kita boleh dibantu kerana rakyat Malaysia amat pemurah.
Saya teringat kepada satu kisah tentang empat orang yang bernama Semua, Seseorang, Sesiapa dan Tiada. Terdapat satu tugas mustahak untuk disempurnakan dan Semua diminta melakukannya. Semua yakin dapat melakukannya. Seseorang akan melakukannya. Sesiapa mungkin telah melakukannya, tetapi Tiada yang melakukannya. Seseorang menjadi marah terhadapnya, kerana itu tugas Semua. Semua menganggap Sesiapa sahaja dapat melakukannya. Tiada yang menyedari bahawa Semua tidak mungkin melakukannya. Perkara ini berakhir dengan Semua mencemuh Seseorang apabila Tiada yang melakukan apa yang Sesiapa mungkin telah lakukan.
Saya harap pembaca dapat memahami kisah mudah di atas. Inilah akibatnya apabila semua saling harap mengharap. Kerja-kerja yang sepatutnya menjadi tanggungjawab langsung tidak berjalan. Bayangkan jika semua melakukannya mengikut kemampuan masing-masing, sudah tentu kita akan dapat keputusan yang memuaskan. Jangan sampai kerja yang begitu mudah, kita merujuk kepada orang yang sepatutnya kita tidak perlu rujuk. Inilah akibatnya apabila dalam fahaman kita, kerja-kerja dakwah dan kerja-kerja berkaitan saudara Muslim, adalah tugas orang-orang tertentu atau orang seperti kami, yang lain tidak perlu melakukannya. Ataupun kerja-kerja Islam (termasuk berdakwah) adalah tanggungjawab orang agama (ustaz atau ustazah), orang lain tidak payah, akhirnya sebahagian mengambil sikap melepas tangan.
Sama juga isu, kita bebankan semua perkara ini kepada badan-badan tertentu seperti pejabat agama dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia dan Persatuan Cina Muslim atau India Muslim Malaysia dan sebagainya. Ya, memang badan-badan ini perlu dirujuk dalam kerja-kerja dakwah dan proses pengIslaman, tetapi tidak semua perkara perlu dirujuk kepada mereka. Perkara-perkara terutama berkaitan dengan kebajikan mereka, adalah dalam lingkungan kita berkemampuan untuk membantunya. Tidakkah dengan saling membantu kita dapat meringankan beban dan tanggungjawab sesama kita. Akhirnya, semua tugas menjadi mudah, sebab yang berat sama dipikul dan yang ringan sama dijinjing.
Mereka yang lahir Islam mesti juga belajar mesti membantu dan berdakwah kepada mereka yang belum Islam atau memerlukan bantuan setelah Islam. Kita perlu ingat, setiap daripada kita masing-masing mempunyai komitmen dan keluarga yang perlu juga dibereskan. Saya bukan bermaksud menolak kerja atau menolak kerja-kerja dakwah, tetapi kerja-kerja dakwah lain masih banyak menunggu di hadapan.
Misalnya, contoh kedua yang ingin saya ketengahkan mengenai kes warga Perancis yang datang follow up dengan saya bagi memudahkan proses pengIslaman dan perkahwinannya dengan gadis Melayu. Boleh dikatakan setengah hari habis bersama-sama beliau untuk menjelaskan persoalan-persoalan dan salah faham mengenai Islam yang dikemukakan. Kalaulah ada buku-buku atau risalah-risalah yang boleh menjawab persoalannya, sekurang-kurangnya tidaklah terlalu membebankan. Namun, inilah kerja-kerja rutin yang perlu dibereskan sebagai memenuhi tanggungjawab sebagai khalifah Allah di muka bumi.
Persoalan mudah yang selalu ditimbulkan adakah beliau perlu menukar namanya setelah memeluk Islam? Kenapa perlu memeluk Islam jika mahu berkahwin dengan gadis Melayu? Bagaimana jika dia terus meminum arak dalam kuantiti sedikit dan tidak memabukkan setelah memeluk Islam? dan banyak lagi persoalan yang dikemukakan, yang memerlukan ‘hikmah’ kepada jawapan yang diberikan. Jika tidak, mereka akan lari daripada kita.
Persoalan menukar nama setelah memeluk Islam dalam isu kecil yang sepatutnya tidak berbangkit. Tetapi disebabkan oleh masyarakat kita masih tidak faham, menganggap nama-nama yang bukan Islam tidak Islamik, dan nama-nama Melayu sahaja yang Islamik, maka mahu tidak mahu, kita terpaksa memberikan jawapan.
Jika nama-nama yang tidak berbunyi Melayu atau Arab, tidak membawa maksud buruk atau merujuk kepada nama tuhan agama sebelumnya seperti Murugan, Christ dan sebagainya, pada saya nama mereka tidak perlu ditukar. Kalau tidak silap JAKIM dan JAWI telah mengeluarkan risalah sebegini. Malangnya, tidak ramai yang membacanya, kerana masyarakat kita malas membaca. Mereka banyak menghabiskan masa menonton rancangan hiburan di televisyen. Bila timbul masalah, barulah terkocoh-kocoh mencari orang seperti kami.
Sebenarnya, banyak lagi nama-nama orang Melayu dan Jawa yang tidak membawa apa-apa makna atau kurang Islamik, yang kekal hingga ke hari ini seperti Buyung, Melati, Mawar, Suparjo, Sukarman, Suparman dan macam-macam yang masih digunakan. Kenapa nama-nama yang baik maknanya dalam bahasa bukan Melayu atau bukan Arab tidak boleh digunakan, sekiranya membawa makna yang baik? Memanglah sebaik-baik nama adalah dalam bahasa Arab yang mempunyai makna-makna yang baik terutama nama-nama seperti Muhammad, Abdullah dan sebagainya. Namun, jika mereka berkeras untuk tidak menukar nama, tidakkah isu nama ini tidak perlu terlalu dibebankan? Alhamdulillah, berasaskan pengalaman, jabatan agama sudah banyak berubah dan dapat menerima hakikat ini. Ramai saudara Muslim yang saya bawa ke pejabat agama sudah tidak menghadapi masalah persoalan berkaitan nama.
Kedua, persoalan kenapa perlu memeluk Islam jika mengahwini orang Islam? Atau kenapa kita tidak boleh murtad setelah memeluk Islam? Tidak bolehkah kita mencontohi negara lain seperti Indonesia misalnya, yang mana perkahwinan antara agama dibenarkan? Risalah-risalah untuk menjawab persoalan sebegini perlu diperbanyakkan dan diperhebatkan daripada kita mencetak surah-surah Yasin yang sudah berlambakan di dalam masjid sehingga berhabuk kerana sudah terlalu banyak.
Kita boleh menjawab, di sinilah uniknya Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berbeza dengan negara Islam yang lain. Kita mempunyai peruntukan cukup istimewa dalam perlembagaan yang melindungi umat Islam. Mereka yang ingin mengahwini orang Islam mesti memeluk Islam dan setelah memeluk Islam, mereka tidak boleh murtad atau menukar agamanya. Namun, menggunakan undang-undang sebagai jawapan agak tidak molek dalam seni berdakwah. Lebih kita memberikan hujah yang lebih baik.
Hujahkan kepada mereka, pertama, kita tidak pernah memaksa mereka memeluk Islam. Berdosa hukum kita memaksa mereka memeluk Islam. Maka, tidak timbul isu keluar dari Islam, sebab kita memberi masa kepada mereka untuk berfikir sebelum membuat keputusan. Namun, setelah mereka memeluk Islam dengan suka rela, tanpa paksaan, sudah tentu kita tidak benarkan untuk mereka keluar sesuka hati, kerana kita tidak pernah memaksa mereka sebelum ini. Lagipun, mereka telah masuk ke dalam satu agama yang terbaik, kenapa perlu kita biarkan mereka keluar dengan sesuka hati.
Hujah seterusnya, dalam Islam, perkara berkaitan dengan iman dan akidah, tidak boleh dibuat main-main. Islam amat serius dalam perkara berkaitan akidah dan keimanan. Islam bukan seperti kedai kopi, boleh masuk keluar sesuka hati. Inilah yang membezakan Islam dengan agama lain. Jika agama Islam kita boleh buat sesuka hati untuk keluar dan masuk, sudah tentu Islam tidak ada bezanya dengan agama lain. Lagi pula, Islam bukan datang dari manusia. Islam bukan agama Muhammad atau berasal daripada nama manusia seperti agama lain. Islam datangnya dari Allah. Muhammad itu adalah hanya utusan Allah yang membawa agama suci ini. Islam tidak menyembah Muhammad, kerana Muhammad telah wafat.
Justeru, dengan sebab itulah apabila seseorang telah memeluk Islam, kita tidak boleh keluar, disebabkan kita telah memilih yang terbaik tanpa paksaan. Pada hemat saya, setiap jabatan agama dan pertubuhan dakwah perlu menerbitkan buku untuk menjawab persoalan-persoalan sebegini secara akademik dan saintifik. Jika tidak, sudah tentu orang seperti saya letih untuk menjawabnya setiap kali berhadapan dengan mereka yang ingin memeluk Islam.
Sama juga persoalan kenapa babi tidak boleh makan dan arak tidak boleh minum, walaupun sedikit dan tidak memabukkan. Jawapan yang bersifat saintifik, hendaklah dielakkan terlebih dahulu kerana hujahnya tidak kuat. Jika daging babi mempunyai cacing dan kuman, kenapa ada (mungkin ramai) orang bukan Islam yang selalu makan babi boleh bertahan sehingga umurnya menjangkau dan melebihi 100 tahun? Begitu juga dengan arak, dalam ilmu perubatan Cina, arak adalah ubat.
Jawapan kepada soalan ini memerlukan kepada hikmah. Babi jatuh dalam kategori binatang yang tidak boleh dimakan, sama seperti kucing, singa, harimau dan binatang sewaktu dengannya. Bezanya babi disebut secara jelas dalam al-Quran akan pengharamannya. Babi tidak mempunyai tengkok berbanding binatang yang membolehkan mudah untuk disembelihkan. Itu tidak bermakna, kita boleh menghina dan menyiksa makhluk Allah ini. Sifatnya sebagai makhluk perlu dihormati walaupun haram dimakan. Lagipun, banyak binatang lain yang boleh dimakan, kenapa harus babi yang menjadi keutamaan atau ketagihan.
Begitu juga dengan arak, jika ia baik untuk kesihatan, kenapa kanak-kanak dan perempuan mengandung diharamkan minum walaupun sedikit. Ini menunjukkan ada logiknya arak diharamkan kerana mudaratkan lebih besar daripada khasiatnya. Lagi pula, Allah mengharamkan arak secara berperingkat-peringkat, daripada boleh akhirnya kepada haram. Jika terlalu kepingin untuk meminumkan arak, nasihatkan saya, pastikan masuk syurga dahulu, kerana di syurga nanti, apa yang Allah haramkan di muka bumi ini, akan dihalalkan. Arak ibarat sungai yang mengalirkan. Asasnya, pastikan kehidupan di dunia ini membawa kita ke syurga dengan mengamalkan suruhan dan menjauhi larangan Allah.
InsyaAllah, kita akan menikmati apa yang selama ini diharamkan. Begitulah indahnya syurga untuk kita semua. Kita tidak perlu berhujah dengan mereka dengan membawa ayat-ayat al-Quran yang berjela-jela, cukup sekadar menggunakan logik yang saya fikir boleh mengetuk pintu hati mereka, kerana agama Islam itu sendiri adalah logik dan boleh dirasionalkan . Pokoknya, jangan tolak-menolak. Kita lakukan yang terbaik dahulu, lepas itu, jika tidak mampu, barulah kita serahkan pada orang lain. Itulah tanggungjawab dai yang sebenar.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.
0 ulasan:
Catat Ulasan