Assalamualaikum. Selamat hari jumaat yang mulia. Selamat berhujung minggu.
Sepanjang minggu ni banyak cerita panas dan sensasi dah berlaku di kebanyakan blog yang aku baca. Kisah politik pun hampir tenggelam dek kontroversi cerita ini. Tak lain tak bukan kisah Amalina yang dikatakan dah transform ke dunia yang berbeza dengan dunianya sebelum ini. Kiranya sebelum ni dia bertudung, sejak dah bertahun-tahun kat negara orang, dia free hair pula, menyebabkan ianya mengundang kemarahan dan ketidaksenangan di hati masyarakat Malaysia yang kononnya prihatin tentang agama Islam.
Aku tidaklah mengambil peduli kisah beliau, walaupun aku sebenarnya sangat kagum dengan kecemerlangan prestasi yang ditunjukkan beliau dulu, kini dan mungkin selamanya. Aku pun tak sebijak beliau, boleh dapat A dalam semua subjek. Aku hanya mampu berbangga je waktu itu, SPM aku gred 1, zaman aku belum ada sistem A B C lagi. Itu pun dah kira bersyukur dan berbangga dengan diri sendiri ketika itu.
Tapi setelah semakin hari semakin melarat pula kisah hidup beliau, dan apatah melibatkan ibunya, aku mula terasa tak senang duduk. Aku ni pantang sikit kalau melibatkan akhlak, mak bapak dibabitkan secara langsung. Ini adalah satu sindrom sebenarnya yang berlaku di negara kita Malaysia yang dah lama menular. Apabila si ibu cuba membela anak kesayangannya, dan apa yang berlaku, masyarakat semakin teruk menghentam mereka tanpa belas kasihan.
Satu yang perlu diingat di sini, bahawasanya mentaliti rakyat Malaysia adalah bila mana sebarang kesalahan dilakukan apatah melibatkan akhlak terutamanya, mereka yang bersalah perlu meminta maaf secara terbuka dan secara paling berhemah supaya rakyat Malaysia berpuas hati. Tapi, apabila mereka cuba membela diri, cuba menegakkan kebenaran, cuba menegakkan benang yang basah, apa yang berlaku, mereka akan dicemuh, dihina, dikutuk sesedap rasa. Dah banyakkan kes berlaku sebelum nikan. Terbukti dah, kecualilah mereka tampil meminta maaf maka isu hot tadi akan dihentikan dengan serta merta.
Apabila ibu Amalina membela anaknya, kononnya dia yang membeli pakaian tersebut untuk Amalina, banyak pihak masih tak nak berdiam diri. Sebaliknya mereka melenting dan memberontak. Mereka berterusan menghentam ibu dan anak tersebut. Teringat aku kes Norita suatu ketika dulu, apabila ibunya membela si anak yang didakwa anak yang baik, maka apa yang berlaku, mereka terpaksa berpindah kerana tidak tahan dengan cemuhan dan tohmahan masyarakat apabila kebenaran telah terbukti.
Aku tidaklah nak kaitkan kisah hidup Amalina dengan Norita, kerana situasi dan jalan cerita yang berbeza. Yang bagusnya di sini, masih ada segelintir pihak yang menyokong tindakan Amalina. Pada mereka, sempurnakah kita untuk menilai akhlak orang lain? Dan maksumkah kita daripada tidak terpalit dengan dosa dan noda?
Satu lagi mentaliti yang menular di negara Malaysia ini ialah, yang layak untuk menegur kesilapan orang lain adalah manusia yang terpelihara daripada melakukan sebarang dosa sahaja. Seandainya dia pernah melalui zaman jahiliah, maka, tidak wajar dia menegur akhlak orang lain, kerana pointnya di sini dia perlu terlebih dahulu muhasabah diri.
Maka, terbukti di sini, aku tak layaklah nak menegur Amalina, kerana aku sendiri pernah melalui zaman jahiliah. Apa yang perlu aku buat, mendengar dan melihat tanpa perlu lakukan apa-apa walaupun suatu hari nanti mungkin berlaku kemungkaran kat dunia ni, aku kena ambil sikap memandang sebelah mata sahaja. Aku tak boleh menegur, aku tak layak menasihati, kerana aku sendiri ada banyak dosa yang perlu dibersihkan segera. Inilah sindromnya yang berlaku di Malaysia, patutlah dakwah di Malaysia ni perkembangannya sangat mendatar, terutamanya di Sabah dan Sarawak, ramai yang murtad, tak percaya sila tanya ustaz yang pernah melakukan kerja dakwah di sana.
Kalaulah nak tunggu aku ni maksum, esok kalau aku ada anak, aku tak bolehlah tegur anak aku, sekarang pun, kalau berlaku kemungkaran dalam keluarga aku, aku kenalah berdiam diri kerana aku ni bukan manusia maksum, dan aku bukanlah manusia yang sempurna. Tapi lupakah kalian dengan kata-kata ini?
kata-kata Imam Hassan al-Basr : "Sesungguhnya aku sedang MENASIHATI kamu, BUKANlah bererti akulah yg TERBAIK dalam kalangan kamu, BUKAN juga yang PALING SOLEH dalam kalangan kamu, kerana aku juga PERNAH MELAMPAUI BATAS untuk diri sendiri, Seandainya seseorang itu HANYA dapat MENYAMPAIKAN DAKWAH apabila dia sempurna, nescaya TIDAK akan ADA PENDAKWAH.. Maka akan jadi sikitlah orang yang memberi peringatan."
Di sini, sekali lagi aku nak tegaskan, tujuan aku menulis entry kali ni bukanlah untuk mengecam Amalina, ohhh tidakkkk, aku mendoakan dia lagi adalah, supaya dia menjadi idola pada masyarakat Islam Malaysia khususnya untuk generasi pelapis akan datang. Aku masih berbangga dan kagum dengan kejayaannya.
Cuma, di sini, apa yang aku nak sampaikan adalah, aku terkilanlah, kerana kisah hidupnya kini telah mencemarkan kredibilitinya dan imej bersihnya selama ni. Susah payah dia mencipta kejayaan, dia terpalit dengan kisah yang tak enak didengar ini.
Lebih malang, wujud pula perbandingan di antara Amelina dan Siti Fatimah, yang dikatakan student cemerlang suatu tika dulu juga belajar menimba ilmu di tempat orang tapi masih mengekalkan ciri hidup Islamik. Siti Fatimah dikatakan tidak terkena kejutan budaya, malah mengamalkan Islam secara cemerlang di negara orang. Apabila Amalina mengaku pula membaca surah Yassin setiap minggu, ada juga mulut mempertikai, membaca surah Yassin itu sekadar pahala sunat, tak buat pun tak dapat dosa, tapi mendedahkan aurat secara sengaja sengaja, adalah satu dosa yang terang.
Oh ya, di sini, aku juga tidak pernah kata, perbandingan itu satu perkara yang salah. Aku sendiri selama ni membandingkan diri aku dengan idola aku supaya aku terasa teringin untuk buat perubahan positif secara drastik. Perbandingan itu perlu sebenarnya, dalam banyak tujuan hidup kita di muka bumi Allah ni, tapi apabila perbandingan dicipta untuk mencari kesalahan dan menghentam orang lain, pada aku itu adalah satu tindakan kurang sopan. Walaupun ada kesamaan cerita yang berlaku pada kedua gadis tersebut, tapi tidak ada cara lainkah yang lebih sesuai?
Aku tidak pasti adakah semua ni mainan politik di Malaysia. Cuma, kesannya hanya dihadapi oleh mereka yang terbabit. Sedikit sebanyak, mereka terkesan dengan emosi yang merundum. Aku sendiri tak pasti bagaimanakah situasi aku sekiranya aku berada di tempat Amalina.
Aku teringat ustaz selalu pesan semasa kuliah Zohor, jangan amalkan Islam secara serpihan. Asas hukum ilmu agama kita wajib tahu samada kita suka atau tidak, supaya kita tidak berada dalam laknat Allah. Kerana sesungguhnya orang jahil sentiasa terdedah pada murka Allah. Kalau rasa tak nak jadi jahil, sentiasalah belajar menambah ilmu agama daripada masa ke semasa. Ilmu agama kita kena sentiasa diperbaharui. Even orang asli dalam hutan pun mudah untuk mendalami ilmu agama dengan kemudahan teknologi sekarang, apatah kita yang berada dalam bandar bertamadun seperti ini.
Maka di sini, apa yang aku faham salah tetap salah. Dosa tetap dosa. Tapi mengekploitasikan kisah kejahilan orang lain semata-mata nak naikkan arus trafik blog adalah sesuatu usaha yang sengaja menempah dosa. Semalam, buat kali pertama aku dapat email daripada seorang rakan lelaki di ofis aku, aku sangkakan dia hantar email berilmiah kerana biasanya setiap hari dia akan hantar email sekurang-kurangnya satu perkataan english untuk tujuan menambahkan koleksi perbendaharaan kata kami, malangnya dia hantar gambar Amalina yang tidak menutup aurat dengan sempurna. Di sini, apa yang aku rumuskan, rupanya dia berminat juga dengan dunia gosip dan penuh kontroversi ini, malangnya dia tidak sedar, dia sedang mengumpul koleksi dosa. Aku sangka orang tulis berita sensasi semata nak kejar aliran trafik tapi ada juga yang sengaja nak menambah dosa kering.
Pada aku lagi, aku bukan jenis suka suki nak menghukum manusia. Aku sendiri pernah berada dalam zaman gelap, maka pada aku, setiap perkara perlulah di cari puncanya terlebih dahulu. Kenal pasti punca kenapa Amalina berubah sedemikian. Jangan berterusan menghukum seseorang, kerana takut Allah pula laknat kita kang, Allah bolak balikkan hati kita, Allah tarik hidayah daripada diri kita, haaaa, macam mana pula tu kang? Ishhh ngerilah, mintalah supaya Allah kekalkan hidayah pada kita. Juga jangan lupa berdoa agar Amalina menjadi muslimat paling cemerlang kat muka bumi ni, yang untungnya kita juga, Islam akan tersebar dengan drastik dan cemerlang.
Sebelum mengakhiri coretan yang panjang ni, sekali lagi aku nak tekankan, jangan tunggu kita sempurna baru nak tegur dan tarbiyah orang sekeliling kita, kalau masih setkan minda macam tu, entah bilalah Islam nak berkembang ye tak? Semua orang diwajibkan berdakwah, tak ada sebarang alasan dalam tak nak berdakwah, kalau jahil, cari ilmu, kalau ilmu sikit dakwah secara ilmu sikit. Tiada sebarang alasan di sini, bukan aku cakap, Allah yang cakap.
Sebenarnya aku tetap tak puas hati pasal kes Amalina ni, sebenarnya bukan Amalina sorang yang buka tudungkan, kat luar sana ramai lagi yang buat perkara yang sama, seperti artis kat Malaysia ni, dah jadi satu trend agaknya, dah ramai buka tudung atas alasan rezeki lebih murah dengan cara free hair, statement yang aku rasa menyirap je bila dengar. Kalau melibatkan artis, semua orang diam tak nak kata apa pun, kenapa? Sebab adakah artis tersebut idola anda?
Ada juga tu lebih malang, ada ibu yang membela anak kesayangannya apabila gambar bercuti anaknya yang sangat seksa dan menjolok mata didedahkan di berita dan blog. Kononnya si maknya berkata, dia hanya izinkan anaknya membuka aurat sekiranya anaknya berada di luar negara, tapi tidak di dalam negara, kata si ibu. Perghhh!!! Korang pun boleh fikir sendiri siapa artis tersebut. Aku malas nak cerita pasal artis ni sebab aku tak pernah jadikan artis idola aku.
Maka, kenapa cerita artis Malaysia tidak pulak disensasikan, ada yang dah pergi ke Tanah Suci Mekah pun bila pulang ke Malaysia memakai pakaian yang mendedahkan aurat secara nyata. Konon belum sampai seru. Baiklah bogel terus lagi senang, tak payah fikir nak design baju. Daripada memakai baju tak pernah cukup kain, ye tak?
Di sini aku nak sampaikan tidaklah adil kerana korang di luar sana hanya mempertikaikan Amalina sedangkan sebelum dia dah ramai dah terkena kejutan budaya yang serupa. Kalau betul nak didik, kalau betul nak nasihat, kalau betul rasa prihatian yang maksima, bertindaklah mengikut saluran yang betul selain berdoa pada Allah moga mereka menjadi muslimat yang cemerlang selagi hayat mereka di kandung badan, bukannya menghentam sesedap rasa.
Aku pasti, semua orang nak masuk syurga, even kalau tanya orang gila pun dia akan cakap nak masuk syurga, tapi sejauh mana kekuatan yang kita semua ada apabila setiap masa kita perlu berlawan dengan nafsu dan syaitan walaupun kita diberi akal yang maha hebat sempurna, tapi mampukah kita menghadapinya seorang diri? Di sini perlunya penglibatan secara kolektif.
Aku sendiri masih banyak kena ubah, masih banyak kena tambah amal. Dengan usia yang dah dah bertambah 1 lagi angka, aku perlu drastik dalam nak menambah ilmu agama. Tapi dalam pada masa yang sama, aku menasihati kawan-kawan sekeliling, cuba mendekati mereka dengan ilmu yang aku ada dan yang aku dapat daripada ustaz semasa kuliah, walaupun kadangkala penerimaan mereka sangat mengguris hati aku, siapalah aku untuk memberi mereka hidayah. Siapalah aku nak menghukum mereka kalau mereka tetap keras kepala?
Apa yang penting di sini, berhentilah daripada mencari salah orang lain kecuali kenal pasti punca masalah mereka terlebih dahulu dan bertindaklah menyelesaikan secara sabar dan berhemah. Berterusan menghentam dan cuba mencipta perbandingan adalah sindrom yang sangat tidak sihat.
Selamat berdakwah kepada mereka. Jangan lupa sentiasa doakan mereka.