~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Isnin, 10 Oktober 2011

Adakah ianya kondusif?

Tadi semasa kuliah Zohor ada seorang ustaz yang bernama Ustaz Rozali memberitahu trend terkini majlis kahwin orang Melayu beragama Islam adalah dengan mengisi salah satu slot di majlis kahwin tersebut dengan menjemput mana-mana ustaz memberi ceramah sekurang-kurangnya 1 jam bertujuan untuk membuat pendedahan dan pencerahan agama Islam kepada hadirin yang datang ke majlis perkahwinan tersebut. Ustaz tersebut juga dah beberapa kali dijemput untuk memberi ceramah di majlis kahwin.

Aku belum pernah lagilah mengalami situasi berikut di mana wedding yang aku hadiri selama ni biasanya meriah dengan MC dan band yang banyak menghidangkan lagu pengantin baru dan lagu-lagu popular sahaja. Kalau ala-ala islamik pun akan diiringi bacaan doa dan nasyid sahaja. Maknanya di sini, aku dah ketinggalan keretapilah. Kalau ustaz tadi tak bagitau, rasanya aku memang tak akan tahu.

Pada aku, situasi ni aku nampak sangat menarik. Bukan semua orang kaki masjid, di mana sanggup spend masa untuk dengar kuliah Zohor, kuliah Subuh dan Magrib di masjid, dan bukan semua orang sanggup download ceramah daripada youtube. Download benda alah lain banyaklah, yang tidak langsung memberi manfaat pada diri dan agama. Maka, dengan cara demikian, masyarakat akan dijamu dengan makanan lazat dan juga halwa telinga tentang Islam secara tak langsung. Manalah tahukan, atas izin dan kehendak Allah, kita dapat taufik dan hidayah di majlis kahwin orang, tentulah ianya satu bonus yang tak terhinggakan.

Maka, sewajarnya trend baru ni dikekalkan dan diikuti supaya semua orang Islam dapat menambahkan iman di dada dengan mendengar ceramah free tadi. Biasanya majlis kahwin akan dihadiri oleh semua golongan, kanak-kanak, remaja, warga emas, maka secara tak langsung ianya dapat mendidik semua golongan masyarakat supaya sentiasa mematuhi syariat Islam. Kita akan lebih dekat dengan Islam sekiranya sentiasa ada pendedahan sebegini ye tak?

Mungkin di sini, ustaz yang diberi mandat mengelolakan ceramah perlu memainkan peranan penting di mana perlu mengupas isu-isu atau tajuk yang bersesuaian untuk menarik minat semua golongan tadi supaya mereka semua makin dekat dengan Islam. Pendedahan sebegini pastinya dapat membentuk mereka menjadi golongan yang cintakan Islam secara sepenuh jiwa dan raga.

Malangnya, ada beberapa orang tidak suka dengan trend ni, termasuklah rakan ofis aku, kata mereka, yang datang majlis kahwin bukan semua orang Islam, ada cina dan India, tak sesuailah untuk mereka. Pada aku, nilah masanya mereka juga diberi pendedahan tentang Islam, especially melibatkan hukum hudud especially, especially melibatkan jenayah-jenayah yang dah semakin parah dalam Malaysia ni seperti kes ragut, mencuri kereta dan motor dll, berzina, simbah asid, membunuh dan sebagainya. Inilah masanya untuk angkat kembali martabat Islam di mata mereka yang bukan Muslim. Nilah masanya nak membersihkan imej Islam yang sudah tercalar dan terpalit dengan kekotoran akibat tangan-tangan orang Islam itu sendiri.

p/s : aku suka dengar ceramah especially ustaz tu kelakar, tapi penuh pengisian




Tautan Hati

(sumber google)

Assalamualaikum. Selamat bekerja. Aku nak share sebuah novel yang aku sedang baca. Belum habis pun aku baca, tapi aku nak berkongsi keterujaan aku membaca novel ni. Sesungguhnya, aku bukanlah fanatik membaca novel, tapi aku hanya fanatik dengan karya Ramlee Awang Murshid. Sebab novelnya buat masa ni, berjaya menambahkan iman di dada dari masa ke semasa. Tahniah.

Aku tak nafikan ramai penulis novel di luar sana yang bersifat pendakwah. Salah seorangnya ialah Fatimah Syarha. Aku suka dengan penulisannya yang cuba mendidik jiwa kita menjadi seorang muslimah yang sejati. Aku sendiri tak pasti adakah ni novel pertama beliau yang aku baca, sebab aku jarang menghafal nama penulis.

Sebenarnya apa yang aku nak sampaikan ialah aku sukalah novel ni. Suka yang amat sangat. Novel ni berkisar tentang konflik akidah, aku suka sebab novel ni berjaya buatkan aku berfikir segalanya tentang kebesaran Allah dan Rasul. Apabila ada sesuatu yang mampu menggerakkan hati dan jiwa aku pada Allah dan Rasul, aku memang suka bebenor. Suka suka suka dan suka.

Sebenarnya novel ni aku pinjam daripada adik ipar aku, sebab seumur hidup aku, tak pernah aku beli novel atau majalah juga kaset (nak bagitau jugak), kalau aku nak baca novel, aku boleh pinjam daripada anak saudara, dan kalau aku nak baca majalah, aku boleh pinjam daripada adik kembar aku. Hahahaa, sebab tu aku tak pernah beli, atau aku akan ke library mencari bahan bacaan.

Sebenarnya lagi, aku mula meminjam novel ni pada penghujung ramadhan yang lalu, dan bayangkan sehingga ke saat ini entry ni ditulis, aku belum habis membacanya. Hahaha, punca yang utama adalah kekangan masa, sebagai seorang kuli di ofis dan sebagai seorang isteri, masa aku adalah sangat terhad. Jarang aku dapat pegang novel dan baca berjam-jam, ianya adalah mustahil. Alasan kukuh kedua ialah kerana aku sanggup baca setiap perenggan dalam novel ni berkali-kali kerana aku suka dengan susunan ayat dan perkataan yang ditulis dalamnya, dan tujuan lain aku baca berkali-kali adalah untuk aku benar-benar faham makna tersirat dan tersurat yang cuba disampaikan penulis.

Maka, walaupun sekarang dah masuk bulan Oktober, aku belum sampai separuh membacanya, sungguh lembab aku ni kan. Nak buat macam mana, aku dah usaha nak habiskan segera, tapi aku tak mampu sebab aku tak punya waktu yang cukup. Maka, terselit rasa kagum apabila ada orang boleh habiskan membaca novel dalam masa 2 hari.

Insyaallah, aku tetap akan habiskan bacaannya. Biasanya walaupun kadang-kadang novel tu tak best pun, aku paksa diri baca sehingga habis jugak, sebab pada aku, aku dah mulakan, maka aku kena akhirinya jugak-jugak

Kat sini, aku nak sarankanlah barang siapa yang ada konflik akidah, bacalah novel ni yang penuh dengan input yang berguna. Secara tak langsung novel ni mampu menyuntik semangat aku untuk terus berdakwah secara terang dan secara halus.

Sesungguhnya tak rugi beli novel islamik macam ni, banyak menambahkan iman di dada. Insyaallah.

p/s : salah satu impian aku yang tinggal kenangan ialah nak buat novel sendiri. malangnya, ianya terkubur begitu sahaja.



Jumaat, 7 Oktober 2011

Tidak Kondusif?



(sumber google)

Rata-rata blog yang aku baca minggu ni banyak berkisar tentang hukum hudud. Aku baca baca dan baca, cuba ikuti perkembangan isu ini, tapi tetap tak tercapai nak mengejar isu ni yang semakin berjela-jela, semakin panas dan membahang daripada masa ke semasa.

Semua orang sedia maklum, isu ni bukanlah satu isu baru, tak keterlaluan aku anggap ini isu basi sebenarnya. Setiap kali nak diadakan pilihanraya, isu ni WAJIB timbul. Tapi kali ni pihak wartawan lebih bijak memainkan peranan mereka apabila meminta artis Malaysia mengupas tentang isu ini.

Apa yang berlaku, apabila pihak artis cuba memberi pendapat peribadi mereka kononnya secara jujur, mereka dikecam hebat oleh masyarakat sekeliling. Di situ, masyarakat dah tahu 'true color' sebenar artis kesayangan mereka yang mereka anggap idola dan mentor.

Sebenarnya, apa yang aku cuba sampaikan di sini ialah aku turut terkedu membaca komen artis-artis berkenaan especially komen daripada Enot. Syukurlah akhirnya dia memohon maaf secara profesional walaupun sebelum tu dia dikecam secara hebat sehingga ibu dan ayahnya turut terpalit kesan daripada komennya di dalam dada akhbar.

Aku akhirnya mampu menarik nafas lega apabila Wardina bercakap secara berhemah menyuruh rakan artisnya supaya tidak bercakap soal hudud lagi dan para wartawan diminta supaya tidak menyoal lagi tentang isu panas ni. Sesungguhnya tindakan Wardina ini adalah satu tindakan yang sangat bijak dalam menangani masalah ini yang sedang berlarutan tanpa kesudahan.

Dalam yahoo groups pun tak kurangnya isu ini diperdebatkan. Masing-masing cuba mempertahankan hujah masing-masing walaupun mungkin cuba menegakkan benang yang basah.

Aku yang tidak pernah menyokong mana-mana parti politik sebelum ni hanya memerhatikan dalam diam, membaca secara senyap. Tapi, jauh di sudut hati, aku sedih melihat mentaliti orang Melayu yang berbaka Islam bergaduh sesama sendiri hanya kerana isu yang satu ni. Yang pasti sikap saling menyalahkan orang lain sentiasa berlaku dulu, kini dan selamanya dalam masyarakat Melayu yang berbaka Islam ni.

Aku sebenarnya tak tahu nak cuba bantu daripada segi apa, jauh di sudut hati, aku yang jahil agama ni faham hanya satu, iaitu, hukum hudud bukan hukum ciptaan manusia, bukan hukum ciptaan sahabat Nabi dan bukan hukum daripada baginda Rasullullah SAW tapi hukum tersebut datangnya daripada Allah SWT Pencipta kita.

So, kat sini mari kita renungkan sedalam-dalamnya, aku tak kata puak UMNO atau BN salah dan aku tak kata puak PAS semuanya betul. Aku cuba menjadi manusia fleksibel kat sini, dan sebagai insan yang jahil sekali lagi, aku tak layak berkata apa-apa sebenarnya, aku hanya mampu berdoa semoga segala kemelut ni akhirnya selesai dengan cara yang paling esfiyen.

p/s : aku hanya insan hina dan kerdil yang cuba menurut segala perintah Allah dan cuba tinggalkan apa yang dilarangNya, semoga aku berjaya di dunia dan di akhirat.

p/s : kata seorang idolaku, kot mana sekalipun, kembalilah pada Islam, rujuk kembali kepada asas-asas dalam Islam. Maka, aku hanya menurut perintah.

MARI MENUJU KEJAYAAN - (ayat-ayat azan)





Fahamilah maknanya, semoga bermanfaat

(Surah ni sinonim dengan bangsa Melayu yang berbaka Islam, walaupun ramai membacanya setiap hari, atau setiap khamis malam jumaat, ramai mentelaahnya, tapi ramai tak tahu maksud tafsirnya yang tersirat dan tersurat. Mungkin ramai tak tahu, banyak doa juga di ambil daripada surah ini. Sama-sama kita hayati maksudnya yang sungguh Agung)


Yassin

[1]

Yaa, Siin.

[2]

Demi Al-Quran yang mengandungi hikmat-hikmat dan kebenaran yang tetap kukuh,

[3]

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad adalah seorang Rasul) dari Rasul-rasul yang telah diutus,

[4]

Yang tetap di atas jalan yang lurus (ugama Islam).

[5]

Al-Quran itu, diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani,

[6]

Supaya engkau memberi peringatan dan amaran kepada kaum yang datuk neneknya telah lama tidak diberikan peringatan dan amaran; sebab itulah mereka lalai.

[7]

Demi sesungguhnya, telah tetap hukuman seksa atas kebanyakan mereka, kerana mereka tidak mahu beriman.

[8]

Sesungguhnya Kami jadikan (kesombongan dan keengganan mereka tunduk kepada kebenaran sebagai) belenggu yang memberkas kedua tangan mereka ke batang leher mereka; (lebarnya belenggu itu) sampai (menongkatkan) dagu mereka lalu menjadilah mereka terdongak.

[9]

Dan Kami jadikan (sifat tamak dan gila mereka kepada harta benda dan pangkat itu sebagai) sekatan (yang menghalang mereka daripada memandang kepada keburukan dan kesingkatan masa dunia yang ada) di hadapan mereka, dan sekatan (yang menghalang mereka daripada memikirkan azab yang ada) di belakang mereka (pada hari kiamat). lalu Kami tutup pandangan mereka; maka dengan itu, mereka tidak dapat melihat (jalan yang benar).

[10]

Dan (dengan sebab itu) sama sahaja kepada mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran kepadanya - mereka tidak akan beriman.

[11]

Sesungguhnya peringatan dan amaran (yang berkesan dan mendatangkan faedah) hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang sedia menurut ajaran Al-Quran serta ia takut (melanggar perintah Allah) Ar-Rahman semasa ia tidak dilihat orang dan semasa ia tidak melihat azab Tuhan. Oleh itu berilah kepadanya berita yang mengembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.

[12]

Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan perkataan dan perbuatan yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.

[13]

Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan yang ajaib mengenai kisah penduduk sebuah bandar (yang tertentu) iaitu ketika mereka didatangi Rasul-rasul (Kami),

[14]

Ketika Kami mengutus kepada mereka dua orang Rasul lalu mereka mendustakannya; kemudian Kami kuatkan (kedua Rasul itu) dengan Rasul yang ketiga, lalu Rasul-rasul itu berkata: ` Sesungguhnya kami ini adalah diutuskan kepada kamu '.

[15]

Penduduk bandar itu menjawab: "Kamu ini tidak lain hanyalah manusia seperti kami juga, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun (tentang ugama yang kamu dakwakan); Kamu ini tidak lain hanyalah berdusta".

[16]

Rasul-rasul berkata: Tuhan Kami mengetahui bahawa sesungguhnya Kami adalah Rasul-rasul yang diutus kepada kamu,

[17]

"Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan perintah-perintahNya dengan cara yang jelas nyata".

[18]

Penduduk bandar itu berkata pula: "Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, kalau kamu tidak berhenti (dari menjalankan tugas yang kamu katakan itu), tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai dari pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya".

[19]

Rasul-rasul itu menjawab: "Nahas dan malang kamu itu adalah disebabkan (kekufuran) yang ada pada kamu. Patutkah kerana kamu diberi peringatan dan nasihat pengajaran (maka kamu mengancam kami dengan apa yang kamu katakan itu)? (Kamu bukanlah orang-orang yang mahu insaf) bahkan kamu adalah kaum pelampau".

[20]

Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya:" Wahai kaumku! Turutlah Rasul-rasul itu -

[21]

"Turutlah orang-orang yang tidak meminta kapada kamu sesuatu balasan, sedang mereka adalah orang-orang mandapat hidayah petunjuk".

[22]

Dan (apabila ditanya: Sudahkah engkau menerima ugama mereka? Maka jawabnya): "Mengapa aku tidak menyembah Tuhan yang menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah (aku dan) kamu semua akan dikembalikan?

[23]

"Patutkah aku menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah? (Sudah tentu tidak patut, kerana) jika Allah yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, mereka tidak dapat memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan mereka juga tidak dapat menyelamatkan daku.

[24]

"Sesungguhnya aku (kalau melakukan syirik) tentulah aku pada ketika itu berada dalam kesesatan yang nyata.

[25]

"Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarlah (nasihatku)",.

[26]

(Setelah ia mati) lalu dikatakan kepadanya: "Masuklah ke dalam Syurga". Ia berkata; "Alangkah baiknya kalau kaumku mengetahui -

[27]

"Tentang perkara yang menyebabkan daku diampunkan oleh Tuhanku, serta dijadikannya daku dari orang-orang yang dimuliakan".

[28]

Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah ia (mati) sebarang pasukan tentera dari langit (untuk membinasakan mereka), dan tidak perlu Kami menurunkannya.

[29]

(Kebinasaan mereka) hanyalah dilakukan dengan satu pekikan (yang dahsyat), maka dengan serta merta mereka semua sunyi-sepi tidak hidup lagi.

[30]

Sungguh besar perasaan sesal dan kecewa yang menimpa hamba-hamba (yang mengingkari kebenaran)! Tidak datang kepada mereka seorang Rasul melainkan mereka mengejek-ejek dan memperolok-olokkannya.

[31]

Tidakkah mereka mengetahui berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Umat-umat yang telah binasa itu tidak kembali lagi kepada mereka (bahkan kembali kepada Kami, untuk menerima balasan).

[32]

Dan tidak ada satu makhluk pun melainkan dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

[33]

Dan dalil yang terang untuk mereka (memahami kekuasaan dan kemurahan kami), ialah bumi yang mati; kami hidupkan dia serta kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripada biji-bijian itu mereka makan.

[34]

Dan kami jadikan di bumi itu kebun-kebun kurma dan anggur, dan kami pancarkan padanya beberapa matair,

[35]

Supaya mereka makan dari buah-buahannya dan dari apa yang dikerjakan oleh tangan mereka; maka patutkah mereka tidak bersyukur?

[36]

Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan makhluk-makhluk semuanya berpasangan; sama ada dari yang ditumbuhkan oleh bumi, atau dari diri mereka, ataupun dari apa yang mereka tidak mengetahuinya.

[37]

Dan lagi dalil yang terang untuk mereka (berfikir) ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;

[38]

Dan (sebahagian dari dalil yang tersebut ialah) matahari; ia kelihatan beredar ke tempat yang ditetapkan baginya; itu adalah takdir Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui;

[39]

Dan bulan pula Kami takdirkan dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.

[40]

(Dengan ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing.

[41]

Dan satu dalil lagi untuk mereka (insaf) ialah, Kami membawa belayar jenis keluarga mereka dalam bahtera yang penuh sarat;

[42]

Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, yang mereka dapat mengenderainya.

[43]

Dan jika kami kehendaki, kami boleh tenggelamkan mereka; (kiranya Kami lakukan yang demikian) maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka, dan mereka juga tidak dapat diselamatkan, -

[44]

Kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa.

[45]

Dan apabila dikatakan kepada mereka: " berjaga-jagalah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu (dari urusan-urusan hidup di dunia ini), dan apa yang ada di belakang kamu (dari huru-hara dan balasan akhirat), supaya kamu beroleh rahmat", (mereka tidak mengindahkannya).

[46]

Dan (itulah tabiat mereka) tidak ada sesuatu keterangan yang sampai kepada mereka dari keterangan-keterangan tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya (enggan menerimanya).

[47]

Dan apabila dikatakan kepada mereka:" Dermakanlah sebahagian dari rezeki yang dikurniakan Allah kepada kamu", berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang yang beriman (secara mengejek-ejek): " Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki tentulah Ia akan memberinya makan? Kamu ini hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata".

[48]

Dan (apabila mereka diingatkan tentang huru-hara dan balasan akhirat) mereka bertanya (secara mempersenda): " Bilakah datangnya (hari akhirat) yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar (maka kami sedia menunggu)!",

[49]

Mereka tidak menunggu melainkan satu pekikan yang - (dengan secara mengejut) akan membinasakan mereka semasa mereka dalam keadaan leka bertengkar (merundingkan urusan dunia masing-masing).

[50]

Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya), dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.

[51]

Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabila berlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya.

[52]

(Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami?,, (Lalu dikatakan kepada mereka): " Inilah dia yang telah dijanjikan oleh Allah Yang Maha Pemurah dan benarlah berita yang disampaikan oleh Rasul-rasul!,

[53]

Hanyalah dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta merta mereka dihimpunkan ke tempat perbicaraan Kami, semuanya dibawa hadir (untuk menerima balasan).

[54]

Maka pada hari itu, tidak ada seseorang yang akan dianiaya sedikitpun, dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan.

[55]

Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keadaan sibuk leka menikmati kesenangan;

[56]

Mereka dengan pasangan-pasangan mereka bersukaria di tempat yang teduh, sambil duduk berbaring di atas pelamin;

[57]

Mereka beroleh dalam Syurga itu pelbagai jenis buah-buahan, dan mereka beroleh apa sahaja yang mereka kehendaki;

[58]

(Mereka juga beroleh) ucapan salam sejahtera dari Tuhan Yang Maha Mengasihani.

[59]

Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang-orang yang kafir): "Berpisahlah kamu pada hari ini, hai orang-orang yang berdosa, (dari bercampur gaul dengan orang-orang yang beriman).

[60]

"Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!

[61]

"Dan (Aku perintahkan): hendaklah kamu menyembahKu; inilah jalan yang lurus.

[62]

"Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?

[63]

"Yang kamu saksikan sekarang ialah neraka Jahannam, yang kamu selalu diancam memasukinya (kalau kamu tidak taatkan perintah Allah).

[64]

"Rasalah kamu bakarannya pada hari ini, disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!"

[65]

Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus); dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing), dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan.

[66]

(Matahati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya?

[67]

(Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau kami kehendaki, kami berkuasa mangubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang.

[68]

Dan (hendaklah diingat bahawa) sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami balikkan kembali kejadiannya (kepada keadaan serba lemah; hakikat ini memang jelas) maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?

[69]

(Nabi Muhammad bukanlah penyair) dan Kami tidak mengajarkan syair kepadanya, dan kepandaian bersyair itu pula tidak sesuai baginya. Yang Kami wahyukan kepadanya itu tidak lain melainkan nasihat pengajaran dan Kitab Suci yang memberi penerangan;

[70]

Supaya ia memberi peringatan kepada orang yang sedia hidup (hatinya), dan supaya nyata tetapnya hukuman (azab) terhadap orang-orang yang kufur ingkar.

[71]

Tidakkah mereka melihat dan memikirkan, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka binatang-binatang ternak, di antara jenis-jenis makhluk yang telah Kami ciptakan dengan kekuasaan Kami lalu mereka memilikinya?

[72]

Dan Kami jinakkan dia untuk kegunaan mereka; maka sebahagian di antaranya menjadi kenderaan mereka, dan sebahagian lagi mereka makan.

[73]

Dan mereka beroleh berbagai faedah dan kegunaan pada binatang ternak itu dan juga beroleh minuman; maka mengapa mereka tidak mahu bersyukur?

[74]

Dan tergamak mereka menyembah beberapa tuhan yang lain dari Allah, (dengan harapan semoga mereka mendapat pertolongan (dari makhluk-makhluk itu).

[75]

Benda-benda yang mereka sembah itu tidak dapat sama sekali menolong mereka, sedang benda-benda itu sendiri menjadi tentera yang akan dibawa hadir (pada hari kiamat, untuk memberi azab seksa) kepada mereka.

[76]

Maka janganlah engkau (wahai Muhammad) berdukacita disebabkan tuduhan-tuduhan mereka (terhadapmu). Sesungguhnya Kami sedia mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.

[77]

Tidakkah manusia itu melihat dan mengetahui, bahawa Kami telah menciptakan dia dari (setitis) air benih? Dalam pada itu (setelah Kami sempurnakan kejadiannya dan tenaga kekuatannya) maka dengan tidak semena-mena menjadilah ia seorang pembantah yang terang jelas bantahannya (mengenai kekuasaan Kami menghidupkan semula orang-orang yang mati),

[78]

Serta ia mengemukakan satu misal perbandingan kepada Kami (tentang kekuasaan itu), dan ia pula lupakan keadaan Kami menciptakannya sambil ia bertanya: "Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?"

[79]

Katakanlah: "Tulang-tulang yang hancur itu akan dihidupkan oleh Tuhan yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya; dan Ia Maha Mengetahui akan segala keadaan makhluk-makhluk (yang diciptakanNya);

[80]

"Tuhan yang telah menjadikan api (boleh didapati) dari pohon-pohon yang hijau basah untuk kegunaan kamu, maka kamu pun selalu menyalakan api dari pohon-pohon itu".

[81]

Tidakkah diakui dan tidakkah dipercayai bahawa Tuhan yang telah menciptakan langit dan bumi (yang demikian besarnya) - berkuasa menciptakan semula manusia sebagaimana Ia menciptakan mereka dahulu? Ya! Diakui dan dipercayai berkuasa! Dan Dia lah Pencipta yang tidak ada bandinganNya, lagi Yang Maha Mengetahui.

[82]

Sesungguhnya keadaan kekuasaanNya apabila Ia menghendaki adanya sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu: " Jadilah engkau! ". Maka ia terus menjadi.

[83]

Oleh itu akuilah kesucian Allah (dengan mengucap: Subhaanallah!) - Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.

Khamis, 6 Oktober 2011

Kopi Najis Jebon



Aku dah lama tak beli suratkhabar, almaklumlah sejak dah kahwin ni dah jarang sangat beli sarapan atau makanan tengahari di luar sebab aku dah bawak bekal daripada rumah. So, tak adalah menyinggah beli suratkhabar kat kedai mamak.

Rupanyakan bawak bekal sendiri ni lebih jimat ye tak, dah 5 bulan lebih aku praktikkan, hasilnya kadar aliran wang tunai aku berada di takuk yang pasif. Kalau aku guna duit pun nak isi minyak je atau aku singgah dan beli barang dapur.

Sebelum ni aku fanatik baca Harian Metro sebab Harian Metro tak banyak cerita tentang politik. Suratkhabar lain terlampau politik sangat. Walaupun aku baca suratkhabar Utusan Malaysia, Berita Harian dan The Star di ofis aku, kalau sempat aku akan selak suratkhabar KOSMO yang kawan aku beli. Jarang aku mentelaah secara fokus, biasanya selak-selak je tengok berita yang mana aku rasa tertarik. Dan biasanya kalau dalam KOSMO, aku suka baca berita dunia dulu, sebab ada banyak info pelik-pelik.

Tadi ada satu berita yang sangat kelakar iaitu tentang kopi najis cerpelai. Mengikut pemahaman aku, cerpelai kalau diterjemahkan dalam bahasa utara membawa maksud JEBON. Kat ofis aku ni ada 2 orang mamat yang digelar JEBON, yang pasti mereka seolah merasa berbangga dengan gelaran yang diberikan. Ahaksss, aku kurang mengerti apa yang mereka banggakan dengan gelaran tersebut, buktinya setiap kali ada sesi ice breaking, mereka dengan bangga memberitahu gelaran yang diguna pakai di ofis ialah JEBON. Apa yang berlaku, orang yang berasal daripada utara semenanjung pasti akan ketawa terbahak-bahak mendengarnya.

Oh ya, berbalik kepada kopi cerpelai tadi. Perkara ni berlaku di Hanoi. Mereka menternak cerpelai dengan tujuan untuk menghasilkan kopi cerpelai. Konsep ini adalah sama seperti kopi luwak yang dikomersialkan di Indonesia, cuma bezanya di Indonesia binatang yang bernama musang digunakan kononnya bijak memilih kopi yang terbaik di antara yang terbaik. Kata ulamak Malaysia, kopi ini diharamkan, halal atau haram, aku tak sudi nak merasa. Hahaha.

Sehingga entry ini ditulis, aku sedang senyum sorang-sorang apabila cuba membayangkan ada juga manusia yang cuba minum najis binatang.

p/s : maafkan aku kalau entry ni tak ada ilmu tentang agama, tapi aku cuba nak tekankan pasal pemakanan, sebenarnya banyak benda alah lain yang boleh ditelan, diminum, kenapa najis juga dicari?








Rabu, 5 Oktober 2011

Pendaftaran Program Motivasi Mukmin Profesional (IbuBapa Cemerlang) Siri -1






Makluman kepada pengunjung, Fitrah Perkasa Sdn Bhd akan menganjurkan PROGRAM MOTIVASI MUKMIN PROFESIONAL ( IBUBAPA CEMERLANG) pada 17 Disember 2011 (Sabtu).



Modul ini akan membawa para peserta untuk melihat bagaimana kaedah yang terbaik bagi membimbing anak-anak serta ahli keluarga mencapai Visi & Misi Hidup yang jelas dan tepat seterusnya mencapai keredhaan Allah s.w.t.



Modul ini mempunyai keistimewaan yang tersendiri iaitu dipersembahkan dalam acuan kehidupan yang sebenar yang telah diadun dengan sunnah Rasulullah s.a.w dan pengalaman hidup yang telah berjaya melahirkan anak-anak yang soleh dan solehah.



Melalui modul ini juga, para peserta akan mendapat sentuhan yang tersendiri iaitu ilmu yang disampaikan bukanlah sekadar teori biasa tetapi ‘luar biasa’ atas kekuatan intipati penyampaian dan persembahan.



* Mengapa anakku tak dengar kata?



* Mengapa ada curiga dalam diri pasanganku?



* Mengapa sukarnya menyampaikan hasrat hati pada teman hidupku?



* Senang telahku perolehi, tetapi dimana tenangnya?



* Oh tuhan bantulah aku!! Aku inginkan keluarga yang bahagia dan sejahtera.



Mungkin inilah persoalan kehidupan yang sering menghantui diri kita. Ayuh, daftarkan diri anda ke program ini




Maafkan aku sekiranya entry ni berbaur lucah...

(ni cerita tengahari semalam, entry aku tertangguh sebab kekangan masa di ofis)

Tadi aku ke pantry nak penuhkan jag air masak aku yang dah berbaki sedikit. Setiap hari aku cuba habiskan air dalam jag tersebut yang kandungannya melebihi 2 liter. Akukan menyahut kempen minum air masak sebanyak-banyaknya, yakni sekurangnya 3 liter sehari.

Dah penuh air sejag, aku bergegas nak keluar daripada pantry. Kebetulan dalam pantry tu adalah 3 orang akak yang berlainan department sedang lepak dan berborak di situ. Kebetulan, mereka sedang rancak berborak tentang isu beranak dan bersalin (sesi pasang telingalah jugak).

Aku dapat rasakan aku bakal dikaitkan dengan cerita mereka, maka cepat-cepat aku berjalan melintasi mereka.

Tiba-tiba, haaaaa kau dah pregnant belum? Soal seorang akak admin secara spontan. Kuat pulak tu suara dia. Belum kak, aku menjawab sepatah, mengangkat kepala memandangnya. Aku cuba kontrol selamba, padahal aku terkejut disergah sedemikian. Aku cuba nak keluar daripada pantry, tapi aku dihalang di depan pintu. Maka, aku tak ada daya melainkan berdiri tercegat di hadapan mereka bertiga buat muka seposen.

Kau ni kan degil tau, akak dah cakap makan asid folik, pergi berurut tak nak, kau dah buat ke belum? akak admin memulakan bibit-bibit bebelan pada aku. Sah paling sekejap pun mahunya setengah jam ni sesi tazkirahnya tu.

Erkkkk, asid folik dah makan sebulan yang lalu, pastu stop. Berurut belum lagi, aku jawab jujur. Sah lepas ni aku kena bebel lagi ni, confirmlah.

Kenapa hah? Putus asa? Frust? Give up? Kenapa tak konsisten makan asid folik tu adik oiiiii? Kenapa? Allah dah cakap jangan putus asa. Allah dah cakap apa-apa pun kena usaha, Allah dah cakap jangan stop dalam berusaha, so kenapa tak nak makan, benda tu free aje, pergi ambil kat klinik panel je pun, makan sampai kau dah pregnant, makan sampai kau dah bersalin. Eeeee kau ni, pastu menangis bila bendera jepun datang.
Aku sengih. Sengih yang tak jadi. Tak dapat nak gambarkan macam mana ekpressi wajah aku ketika itu. Macam nak nangis pun ada ditarbiyah secara percuma di depan akak-akak lain. Yang nyata, 3 pasang anak mata tepat memandang wajah aku yang sedang mereka-reka kesengihan itu.

Tiba-tiba masuk lagi seorang akak dari department finance. Asalnya niat dia nak buat secawan air, malangnya dia turut melepak mendengar sesi ceramah tentang cara-cara nak dapatkan anak. Dia kata best pulak dengar si Yana (bukan nama sebenar tapi aku suka nama ni so aku guna jelah) ni bercakap, ada point dan ada fakta. Cehhh. Ahakssss

Kenapa kau tak nak makan asid folik lagi? Kenapa kau stop adik oiiii? Akak tu soal aku bertalu-talu. Apa aku nak jawab ni.

Sebab saya tak pregnant lagi, so saya rasa saya dah malas nak makan, aku jawab jujur. Aku tahu jawapan ni akan mengundang malapetaka pada aku. Memang pun, selepas tu segala macam aku kena sembur tahu tak.

Kau ni kan, pergi surau hari-hari, dengar kuliah zohor hari-hari, ada kau dengar ustaz cakap kat kuliah zohor tu kita ni kena putus asa dalam berdoa dan berusaha? Ada? Ada?

Takkkk, aku jawab antara dengar dan tidak.

Haaaa, tau pun. Kau tahu kan akak ni baru lepas bersalin anak nombor 2, engkau tahu kan jarak anak akak dan nombor 2 ni lama giler. Kau tahu kan family sebelah suami akak semua hentam akak macam-macam sebab anak akak belum dapat adik. Kau tahu kan segala usaha akak buat, urut sana sini, makan asid folik, pergi hospital sana sini check dan jumpa doktor minta nasihat, pergi umrah minta doa, hari-hari akak doa, selama berapa tahun tau tak untuk dapat anak nombor 2 ni. Penat lelah akak akhirnya berbaloi. Keluarga sebelah suami akak dah stop menghentam akak. Tapi, ada akak putus asa? Segalanya akak buat, secara islamik ke duniawi ke, doa dan segala-galanya, asid folik dah bertahun-tahun akak tak pernah stop makan sehinggalah akak bersalin baru-baru ni. Akak berani cakap sebab akak usaha, akak doa, akak usaha, akak doa, akak usaha, akak doa, ada akak berserah bulat-bulat je pada Allah? Ada? Tak dekan, setakat usaha 'bersama' suami, tu usaha yang utama, tapi kalau tak ada usaha sampingan, tak ada doa, tak ada usaha, putus asa pulak, agak-agak kau Allah nak perkenankan ke? Ada? Allah nak tengok sejauh mana kau nak usaha, Allah nak tengok sejauh mana kau nak memohon padanya, sejauh mana kau tahan dengan ujian Allah.

Alahh Yana, diakan baru je kahwin 5 bulan, tiba-tiba akak daripada akuan department tadi menyampuk, agaknya dia kesian tengok aku terkulat-kulat kat situ.

Nilah masalahnya korang semua ni. Kalau 5 bulan tu tandanya dah kena usaha tau tak? Jangan berserah bulat-bulat, jangan bertawakal buta-buta gitu je. Aku ni ha, dah umur 35 tahun pun dah terseksa bab nak meneran tu tau tak, aku takut dia ni haaaa umur macam aku baru nak beranak, takut dia dah tak ada tenaga. Aku cakap ni sebab aku dah lalui, berdasarkan pengalaman aku, aku tak dia terseksa nak beranak. Memanglah beranak tu tetap sakit, tapi muda-muda nilah kejar nak beranak cepat-cepat, janji dapat sorang dulu pun jadilah, puas hati. Lepas tu kau nak relaks ke atau dah tak nak buat apa-apa pun tak apa dah. Ni mulut orang korang bukan tak tahu, lagipun aku kesian tengok dia ni hari-hari kena tanya soalan yang sama, dah pregnant ke, dah pregnant ke, pastu muka dah berubah jadi sayu bila dah tak tahan kena soal jawab perkara yang sama.

Dulu aku dah pesan dah, jangan aktif sangat panjat gunung, tapi degil, tapi tak kisahlah, benda dah lepas. Tapi kita tak tahu apa dah jadi dalam perut kita tu, peranakan kita tu, terlalu jatuh ke bawah ke terlalu atas ke, kita tak tahu, sebab tu kena jumpa doktor pakar, minta nasihat, pergi berurut ke misalnya, doa banyak-banyak, usaha, kena tahu bila time subur atau tidak, kena tahu pemakanan yang boleh kuatkan rahim, kena tahu makanan yang boleh gugurkan janin, kena tahu, kena belajar, kena ambil tahu kalau nak dapat anak, jangan harap usaha bersama suami je.

Sebenarnya, aku dah lenguh memeluk jag air yang penuh air dalam tu, aku cuba nak keluar daripada pantry tu, tapi usaha aku alami kegagalan lagi.

Aku cakap ni bukan sebab aku terer buat anak ke, aku pun pernah alami apa kau alami, walaupun dah ada anak seorang, aku tetap kena hentam sebab belum ada anak yang kedua. So nak buktikan pada mereka, akhirnya aku dah bersalin pun anak kedua, setelah pelbagai cara, usaha aku lakukan tau tak. Ingat aku tak sedih ke? Sebab usaha aku tak menampakkan kejayaan, tapi ada korang semua nampak aku putus asa? Langsung tidak. Aku percaya pada janji Allah, kalau Allah kata kena usaha, usahalah sehingga Allah makbulkan. Allah tak pernah kan zalim pada hambaNya, Allah dah kata, Dia takkan ubah nasib hambaNya selagi HambaNya sendiri tak nak ubah nasibnya sendiri. See, kalau setakat kau 'main' dengan husband kau dah cakap kau dah berusaha kononnya, tak payahlah kau nak berangan kau nak anak.

Memang aku tak nafikan, sesetengah orang dapat anak sekali 'sentuh' je, tu namanya rezeki daripada Allah. Tapi kita yang susah nak dapat rezeki dari segi tu kenalah usaha lebih. Nak makan pun kena suap, bukannya makanan tu datang bergolek-golek masuk dalam mulut. So, kenalah faham, kenalah ingat, kenalah usaha, kenalah doa. Akak ni kalau kau nak tahu, pantang dengar kenalan ke saudara ke nak pergi umrah dan haji, akak suruh doakan untuk akak segera pregnant, akak kasilah imbuhan duit atau apa-apa pada mereka, dengan harapan mereka doakan akak. Sampai tahap macam tu tau tak, selain tu doa seorang ibu. Hari-hari akak akan make sure ibu akak doakan akak pregnant.

Cuba kau cakap, usaha apa yang aku tak lakukan? Cubalah, sebab semua usaha aku dah buat. Sebab tu aku berani cakap, sebab aku dah lalui. Apa sahaja idea orang, petua orang, semua aku lakukan tau tak, dengan harapan aku pregnant, aku paksa diri buat semua tu atas tiket berusaha tanpa berserah sepenuhnya pada Allah.

Aku terharu dengan informasi ni, aku terharu dengan kata-kata akak, aku akhirnya bersuara setelah lama mendengar penuh minat nasihat daripada akak tersebut.

Aku cakap ni ikhlas pada kau, aku tahu kau tertekan dengan orang sekeliling sentiasa tak putus bertanya soalan yang sama hari-hari kan. Aku faham, sebab tu aku ni nak tolong kau, dah 5 bulan kau kahwin tak ada sebarang hasil, bawaklah berusaha dengan gigih. Jangan jadi macam diaorang yang lain, sedih akak tengok, nak anak tapi tak nak usaha. Memanglah soal anak ni hak Allah, tapi kalau tak usaha, janganlah dok gebang saja. Kau jangan jadi macam tu, yang penting usaha supaya akhirnya nanti kau takkan rasa ralat. Kau akan puas hati dalam usaha kau sendiri walaupun tak ada hasil yang menyusul. Janji kau berusaha dan percaya pada janji Allah.

Kau tahu tak, kawan aku, babysitter dia, 18 tahun kahwin baru ada anak tahu tak, anak angkat yang dia bela pun dah sekolah menengah. Kau bayangkan, betapa bestnya dia sebab akhirnya usaha dia menjadi nyata. Lambat atau cepat tu urusan Allah, yang penting kat sini, jangan stop dalam berusaha, ada faham? Akak tu akhirnya menutup bicara dengan senyuman lega. Agaknya dah lama dia simpan dalam hati nak tarbiyah aku, tapi tak dapat atau tak sempat, so bila dah lepaskan segalanya, dia rasa puas hati.

Walaupun sesi bebelan tu aku akui secara jujur agak terseksa sebab aku tak bersedia dalam nak mendengar luahan rasanya, dalam keadaan aku lenguh berdiri mengendong sejag air yang penuh berisi, tapi dalam hati, aku akhirnya rasa bersyukur sebab masih ada insan prihatin tentang nasib aku. Bukan senang nak jumpa kawan yang ikhlas sanggup cakap depan-depan macam tu, biasanya ramai tahu mengkritik dan mengutuk serta menghentam sesedap rasa je kan.

Aku akhiri dengan alhamdulillah atas nasihat free yang berguna tu.

Saja aku taip semula di sini tanpa edit sebab aku nak naikkan semangat dalam diri aku sendiri.