~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Rabu, 9 November 2011

Ukuran Iman Yang Sempurna

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya "Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak minum arak, tidak akan minum arak tersebut semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak mencuri, tidak kan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak melakukan rompakanyang lazimnya menjadikan orang yang merompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian :

Pengajaran hadis:

i) Orang yang tergamak melakukan perbuatan yang ditegah agama menandakan ketidaksempurnaan iman di jiwanya.

ii) Kebahagiaan hidup adalah bergantung pada pertalian keturunan yang baik, keselamatan akal dan fikiran serta harta benda kerana keturunan yang terpelihara akan menjamin kesejahteraan keluarga dan masyarakat, akal yang sihat membolehkan seseorang itu membezakan antara yang baik dan buruk, hak dan batil serta keselamatan harta benda itu pula membolehkan segala perancangan dilakukan dengan lancar dan sempurna.

iii) Oleh itu Islam melarang keras daripada melakukan perbuatan zina yang boleh mencemarkan keturunan manusia, minum arak atau menagih dadah yang boleh merosakkan akal fikiran serta perbuatan mencuri yang menyebabkan kesusahan orang lain dan sebagainya.

iv) Sesungguhnya kekuatan iman itu dinilai pada sejauh mana seseorang itu dapat membendung hasutan nafsunya serta menjauhi bisikan-bisikan jahat yang menggodanya. Oleh itu amat penting bagi setiap mukmin sentiasa menjaga pergaulannya agar tidak terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat yang berlaku di sekitarnya.

Selasa, 8 November 2011

Sakitnya... mati

Allah telah merahsiakan saat kematian kita. Ia adalah untuk melihat sejauh mana kita melaksanakan amalan yang telah ditetapkan kepada kita dan sejauh mana pula kita akan meninggalkan segala laranganNya. Manusia yang sentiasa ingatkan mati, akan sentiasa melaksanakan tugas yang telah di amanahkan kepadanya dengan jujur dan ikhlas. Ia sentiasa merasai setiap tindak tanduknya didalam pemerhatian Allah.

Nabi ada bersabda yang maksudnya ;

Bahawa Rasulullah mengingatkan tentang mati dan seksaannya, maka Sabda Baginda: "Ia-itulah sakitnya tiga ratus kali tetakan pedang." Bayangkanlah jika kita di tetak atau di pukul dengan kayu, rotan mau pun besi, bukan banyak, cuma sekali sahaja, itu pun sudah tidak dapat di gambarkan kesakitannya. Inikan pula di tetak dengan tiga ratus kali tetakan.

Pada suatu hari Malaikat Maut datang berjumpa dengan Nabi Idris Alaihisalam. Lalu Baginda meminta agar Malaikat Maut mencabut nyawanya dan memohon kepada Allah supaya menghidupkannya kembali. Permintaan ini dilakukan untuk Nabi Idris mengetahui kesakitan sakaratul maut agar taqwanya lebih mendalam dan teguh lagi.

Allah telah mewahyukan kepada Malaikat Maut supaya mencabut nyawa Nabi Idris dan meninggallah dia ketika itu juga. Malaikat Maut menangis dan memohon kepada Allah supaya (Allah) menghidupkan Nabi Idris kembali. Lalu dimakbulkan Allah.

Setelah Nabi Idris hidup kembali, Malaikat Maut bertanya kepada Nabi Idris: "Ya Saudara ku, bagaimana rasanya kesakitan maut ?

Jawab Nabi Idris: "Sesungguhnya ibarat tergelupasnya kulit dalam keadaan hidup-hidup dan rasa sakitnya lebih dari 1000 kali ganda.

Kata Malaikat Maut: " itu secara berhati-hati khusus untuk engkau, belum pernah ku lakukan terhadap sesiapa pun."

Diriwayatkan lagi bahawa Nabi Isa A.S telah menghidupkan orang yang telah mati dengan izin Allah. Maka sebahagian orang kafir berkata, "Sesungguhnya engkau telah menghidupkan orang yang baru mati, yang mungkin mereka itu belum benar-benar mati. Cuba hidupkan untuk kami orang yang telah mati yang lama dulu. Hidup- kan untuk kami anak Nabi Nuh A.S (Sam bin Nuh)." Maka Nabi Isa A.S pergi kekuburnya, lalu sembahyang dua rakaat dan berdoa kepada Allah. Dan Sam bin Nuh pun hidup kembali.

Berkata Sam bin Nuh, "Saya telah mendengar panggilan mu dan saya sangka hari kiamat telah tiba, maka rambut dan janggut saya menjadi putih sebab takutnya hari kiamat. Namun kesakitan sakratulmaut belum hilang lagi."

Hijab Cinta


Bercuti 3 hari di kampung suami, aku isikan  masa aku dengan membaca novel islamik di atas. Novel islamik ini kepunyaan adik ipar aku. Tergerak hati nak membaca sebab novel ni bercirikan islamik. Harapan aku, semoga aku dapat manfaat dan semoga iman aku bertambah. Semoga aku dapat maklumat dan input yang baru.

Lagipun aku ada banyak masa terluang, maka peluang yang ada aku gunakan untuk membaca. 3 hari adalah satu rekod baru dan terpantas buat aku setakat ni dengan halaman mukasuratnya sebanyak 500 lebih . Selama ni kalau aku baca novel, kerap kali aku akan cenderung membaca setiap perenggan banyak kali dan ini menyebabkan masa yang aku akan ambil berbulan-bulan terutamanya novel Ramlee Awang Murshid.

Novel ni berkisar tentang seorang isteri solehah yang menghadapi segala dugaan dan cabaran dalam alam rumah tangganya. Juga masalah sekelilingnya yang berpunca daripada masyarakat kampungnya yang sering menjaga tepi kain orang. Walau bagaimanapun, segala tohmahan masyarakat padanya, segala pengorbanannya dan kesabarannya pada sang suami sangat terkesan di hati aku. Dan ada tindak tanduknya sungguh di luar dugaan aku. Betapa aku kagum dengan watak muslimah di dalam novel ni. Walaupun sekadar novel, ianya mampu membuatkan air mata aku berlinang.

Sebagai wanita, sebagai isteri, sebagai hamba Allah yang hina dina, aku galakkan kalian membaca novel yang sarat dengan konflik ini. Sesungguhnya, Allah sentiasa bersama orang yang sabar. Sungguh!

Tahniah kepada pengarangnya, anda mampu membuatkan jiwa aku semakin hari semakin tabah dalam menghadapi dugaan hidup yang tidak disangka-sangka.

p/s : sesekali aku baca novel, apa salahnya aku promote walaupun tak dapat sebarang komisyen :-)


Serahkan pada yang pakar

Assalamualaikum kawan-kawan tersayang. Aku mulakan dengan bismillah, moga hari ni kita semua ceria dan bahagia di ofis walaupun masih dalam mood raya. Department aku agak lengang, rasa damai sekejap, kalau tidak rasa macam ofis bursa saham pun ada, sekali pandang macam pasar borong pun ya, bisingnya boleh tahan, malangnya yang bising tu adalah celoteh orang-orang yang suka bercerita tentang keburukan orang lain, doakan dia dapat taufik dan hidayah daripada Allah. Gunakan suara anda untuk perkara agama, itu lebih afdal.

Jumaat lepas, masing-masing dalam mood raya haji. Ada yang ambil half day (walaupun tak ada sistem half day di ofis aku), ada yang malas nak buat kerja, maka mengambil peluang menziarahi tempat rakan-rakan. Rancak mereka berborak, macam-macam topik diperbualkan.

Aku jenis tak ambil pusing sehinggalah tiba-tiba mereka bercerita tentang topik agama. Aku mula memasang telinga. Aku bukan jenis jaga tepi kain orang, tapi aku akan jadu teruja automatik apabila ada orang berbicara pasal agama, aku jadi kagum dan cuba memberi perhatian.

Asalnya, kawan aku bercerita dia tidak mahu penama dalam insurans takafulnya diletakkan nama suaminya, dikhuatiri suaminya berkahwin lain apabila dia dah meninggal kelak, kemudian mereka mengubah kepada topik puasa sunat dan puasa qada yang boleh disekalikan atau tidak. Kemudian bercerita tentang puasa mingguan, yakni kalau puasa pada hari jumaat perlu diapit dengan hari khamis atau sabtu. Kemudian bercerita tentang topik korban dll

Aku hanya mendengat penuh minat permasalahan diaorang tanpa ada niat nak menyampuk. Walaupun aku tak nafikan, ada di antara jawapan mereka aku rasa was-was, tapi aku hanya berdiam diri. Aku tak berani nak menyampuk sesedap rasa, bimbang dikatakan aku ni suka menyampuk cerita orang tua pula.

Tapi perbualan mereka membuatkan aku termenung panjang. Memang sewajarnya kita selalu bercerita tentang hal agama. Secara tak langsung kita dapat meningkatkan iman dan takwa kita. Tapi, pada aku kalau nak bertanya soalan, tanyalah pada yang pakar, tanyalah pada ustaz atau ulamak, mereka lebih bijak dalam menjawab persoalan orang awam seperti kita.

Sekadar bertanya rakan sekerja yang ilmunya lebih kurang kita, bimbang jawapan mereka menyebabkan kita terpesong daripada landasan yang sebenar. Kalau iya pun nak bertanya pada rakan, ambil alternatif juga bertanya perkara yang sama kepada ramai orang, dengan harapan kita mendapat jawapan yang tepat dan fakta yang betul.

Tak salah berbincang sesama rakan, tapi lebih afdal serahkan pada yang pakar. Aku bimbang niat nak menambah pahala, akhirnya dosa yang kita dapat apabila sewenangnya membuat kesimpulan.

Aku pun kadang-kadang dihujani oleh soalan daripada rakan-rakan. Aku hanya berani jawab kalau info tu aku benar-benar tahu, yang aku perolehi daripada ustaz semasa kuliah Zohor. Tu pun aku akan akhiri dengan jawapan, lepas ni rujuklah orang lain yang lebih tahu, maklumlah tak semua ustaz dan ustazah mempunyai pegangan jawapan yang sama, lagipun kita ada banyak mazhab, maka ada khilafnya. Jangan semata berpegang pada jawapan aku, sebab aku pun hanya dengar melalui kuliah Zohor.

selamat bertanya dan beramal

Jumaat, 4 November 2011

Mengucapkan doa Taqabbalallahu Minna Wa Minkum

 Mengucapkan doa Taqabbalallahu Minna Wa Minkum dicontohkan oleh Rasulullah Saw, yang ertinya “mudah-mudahan Allah menerima (amal ibadah) kami dan (amal ibadah) kalian”.

Diriwayatkan dari Jubair bin Nufai, dia berkata , “Sahabat-sahabat Nabi saw, jika saling bertemu pada Hari Raya, sebagian dari mereka berkata kepada sebagian yang lain: Taqabbalallahu Minna Wa Minkum (Fathul Bari 2:304).

Ibnu Aqil meriwayatkan, Muhammad bin Ziyad berkata, “Aku pernah bersama Abu Umanah al-Bahili dan lain-lainnya dari kalangan sahabat Nabi saw., maka jika mereka kembali dari melaksanakan Sholat Id, sebagian mereka berkata kepada sebagian yang lainnya: Taqabbalallahu Minna Wa Minkum (Ibnu Qudamah, Al Mughni 2:259).

Wallahu a’lam.

*******************
JANGAN LUPA,

PUASA SUNAT ARAFAT PADA 5 NOV 2011 / 9 ZULHIJJAH 1432H

Dosa yang dihapuskan

Selamat Hari Raya ye kawan-kawan tersayang. Bestkan pada yang dapat balik kampung, tak kiralah kan kampung sendiri atau kampung pasangan, tapi manfaatkanlah raya yang mulia ni. Pada yang dalam perjalanan pulang ke kampung, aku doakan agar selamat tiba ke destinasi. Jangan lupa baca doa naik kenderaan, itukan sunnah baginda Rasulullah SAW.

Kenapa kita kena baca doa naik kenderaan? Kerana pada masa dalam perjalanan itu, kita bergantung keselamatan kita secara sepenuhnya pada Allah. Contohnya, walaupun kita dah berhati-hati, kadang-kadang kerana kecuaian orang lain, kita yang terlibat sama dalam insiden yang tak diingini, ye tak? Maka, bertawakallah pada Allah sepenuh jiwa. Tapi janganlah bertawakal semata, kita juga patut mematuhi peraturan jalan raya, kalau langgar lampu merah, jangan salahkan Allah kalau berlaku kemalangan. Kalau tak patuhi had laju menyebabkan kita kemalangan, jangan salahkan Allah. Kalau tak servis kereta, jangan salahkan Allah kalau tiba-tiba brek tak berfungsi. Memandu juga salah satu daripada cabang ibadah, tapi perlu kena caranya ye tak?

Sebelum memulakan perjalanan, pastikan rumah dikunci dengan sewajarnya, ustaz kata masa nak kunci rumah, bacalah ayatul kursi dan doa keluar daripada rumah, jadikan amalan, kerana kita juga bergantung sepenuhnya keselamatan rumah kita kepada Allah, maka pentingnya di sini membaca doa tadi, orang yang tak nak berdoa adalah manusia yang ego, kata ustazlah. Allah suka pada hambaNya yang suka meminta-minta.

Aku rasa, esok adalah hari yang dinantikan oleh ramai orang, aku rasalah. Sebab apa aku kata begitu, esok adalah hari yang mustajab berdoa, bukan hanya terhad kepada mereka yang sedang menunaikan haji sahaja, tapi pada umat dipelosok dunia. Langit akan terbuka untuk melepaskan doa-doa kita ni. Esok juga hari yang disunatkan untuk berpuasa. Ustaz kata barangsiapa yang berpuasa esok, Allah akan hapuskan dosanya setahun selepas dan setahun yang akan datang (kecuali dosa besar, kenalah banyakkan bertaubat), best tak? best tak? Untunglah kepada yang berpuasa esok, alahhh berapa jam sangat je nak puasa pun, musim hujan begini tak terasalah sangat haus dan lapar ye tak? Pada yang ada kudrat dan kelapangan, kejarlah pahala yang satu ini, mana tahu tahun depan tah-tah tak jumpa lagi tarikh 9 Zulhijjah

Esok aku pun akan balik kampung. Dah lama sangat raya korban aku tak bali kampung, selama ni raya kat KL je sangatlah membosankan, sebab jiwa aku ni jiwa anak kampung sejati. Hahaha.

Oh ya aku nak ingatkan, pada yang berjaya tunaikan puasa esok, janganlah selepas ni konon ada lesen besar nak buat dosa ye, walaupun dosa tahun depan dah terampun. Ingat tu. Kalau buat dosa, hati akan gelap, hati akan jadi keras, kalau hati gelap dan keras, hidayah payah nak serap masuk, so jangan nak salahkan Allah konon Allah tak nak bagi hidayah pada kita.


Khamis, 3 November 2011

nak tambah iman?

Menghadapi Kelemahan Iman

Haruslah kita sedar dan faham bahawasanya manusia seperti kita ini mengalami iman yang tidak tetap. Adakalanya iman kita meninggi hinggakan kita memperolehi kedamaian jiwa, amalan kita dirasakan manis, dada kita lapang -alangkah bahagianya di kala itu.

Di saat yang lain pula dada kita terasa sempit, malas untuk melakukan amal ketaatan, fikiran menjadi kusut, tiada ketenteraman, jiwa gelisah serta kecenderungan untuk melakukan maksiat bertambah.

Di saat itu berhati-hatilah. Penuhilah masamu dengan tafakkur dan melakukan amalan taqwa. Fikirkanlah apa yang menyebabkan anda menjadi demikian. Adakah anda telah meninggalkan perintah Allah? Adakah anda melakukan maksiat? Atau adakah anda tidak redha dengan ketentuan Allah kepadamu?

Di saat sebegini bawalah hatimu mengunjungi salah satu dari tiga tempat:

1. Ke tempat orang membaca Al-Quran, anda membacanya, atau anda dengar baik-baik orang membacanya;

2. Atau anda pergi ke majlis pengajaran yang mengingatkan hati kepada Allah;

3. Ataupun anda mencari tempat yang sunyi, di sana anda berkhalwat menyembah Allah, umpamanya di tengah malam buta, di saat orang tidur nyenyak, anda bangun mengerjakan sembahyang malam, meminta dan memohon kepada Allah agar diberikanmu kedamaian jiwa.

Di samping itu hendaklah anda mencari tempat dan suasana yang boleh menyuburkan iman kerana kesan-kesan luar yang berunsurkan Islam amat penting bagi melahirkan keperibadian muslim. Jangan sekali-kali mencari suasana yang boleh merangsang perasaan yang ingin melakukan maksiat. Pergaulilah orang-orang yang saleh yang menyeru kepada Islam kerana kasihkan mereka juga adalah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Jangan biarkan saat kelemahan imanmu itu berlarutan kerana dibimbangi anda akan semakin jauh daripada Allah, semakin jauh daripada keredhaanNya dan semakin jauh dari kecintaanNya. Ingat dan fikirkanlah mati yang bakal menjemputmu bila-bila masa sahaja. Syukurilah setiap nikmat yang diberikan Allah kepadamu, perbanyakkan istighfarmu dan paksalah dirimu agar terus melakukan amal taat kepadaNya. Awasilah lidahmu kerana di saat sebegini syaitan akan mempergunakan lidahmu untuk memperkatakan sesuatu yang sia-sia lagi berdosa. Sibukkanlah diri untuk membaca Al-Quran atau zikrullah yang lain.