~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Isnin, 9 April 2012

Sujudlah selagi diberi peluang :-)


Sujud, adalah simbol ketundukan, ketaatan, pergantungan dan kepasrahan kita kepada Allah SWT.

Sujud itu, adalah tanda hancur leburnya semua benih keegooan, kesombongan dan keangkuhan yang tertanam dalam diri kita di hadapan kuasa Allah SWT.

Dan, sujud itu juga, ialah perakuaan bahawa kita adalah hamba yang kerdil, hina dan lemah!

Banyak bersujud, merupakan kehidupan dan amalan para Rasul, sahabat dan generasi salafusoleh. Mereka mencintainya dan gemar bersujud. Bahkan daripada sujud ini, mereka memperolehi kelazatan, kemanisan dan kenikmatan yang tiada taranya.

Saidina Umar al-Khattab pernah berkata : “ Bagiku dunia ini tiada mempunyai apa-apa nilai kecuali kerana tiga perkara :-

Pertama, di dunia aku boleh mengutip mutiara ilmu di dalam majlis ilmu .
Kedua, di dunia aku boleh meletakan dahiku ke tanah untuk sujud menyembah Allah SWT.
Dan, ketiga, di dunia ia bernilai kerana aku boleh berjihad di jalan Allah SWT.

Bahkan, Ali bin Abdullah bin Abbas, salah seorang tokoh generasi Tabi’in, mendapat gelaran dan jolokan sajjad kerana ia adalah orang yang sangat gemar melakukan sujud. Diriwayatkan, Ali Bin Abdullah Bin Abbas dalam satu hari mampu melakukan sujud lebih daripada 100 kali.

Allah SWT memerintahkan kepada makhluk yang paling dicintainya, Rasulullah SAW dalam firman-Nya : “ Wasjud Waqtarid”Dan sujudlah dan dekatlah kepada Allah SWT. ( Surah Al-Alaq : 19).

Maka, sujudlah dan mintalah kepada Allah, apa sahaja kebaikan yang kita inginkan. Kerana, ketika sujud, kita berada di titik terakhir yang paling hampir dan dekat dengan Allah SWT. Jelas, seperti mana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW :

“ Posisi seorang hamba yang paling dekat dengan Tuhannya adalah ketika ia dalam posisi sujud.”

( Hadis Riwayat Muslim).