~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Isnin, 8 Ogos 2011

Kisah Al-Jailani

Seorang tokoh ulama yang juga waliullah Syaikh Abdul Qadir Al-Jailani menceritakan kisah dirinya tentang kejujuran. Katanya: Aku dibiasakan untuk bercakap benar sejak dari kecil lagi. Satu hari aku berangkat dari Makkah menuju ke Baghdad untuk menuntut ilmu. Ibuku memberikan kepadaku 40 dinar untuk perbelanjaan sara hidup.

Ibuku berpesan agar aku bercakap benar. Apabila aku tiba di perkampungan Hamdan, kafilahku diserang oleh sekumpulan perompak. Seorang perompak datang kepadaku seraya bertanya: Apa yang engkau ada? Jawabku: 40 dinar! Perompak itu menyangka, aku bergurau, maka dia pun tidak mengapa-apakanku. Kemudian datang lagi perompak lain bertanya: Apa yang engkau ada? Aku memberitahunya seperti tadi.

Dia berasa hairan lalu membawaku kepada ketua perompak, lantas ketua perompak itu pula bertanya. Aku memberikan jawapan sama. Semua perompak itu merasa terkejut atas kejujuran itu. Lalu ketua perompak itu bertanya lagi: Apa yang menyebabkan kamu berkata benar? Jawabku: Ibuku berpesan agar berkata benar dan aku berjanji untuk mematuhi pesanannya, dan aku takut untuk mengkhianati janji itu.

Tiba-tiba ketua perompak itu diselubungi perasaan takut dan gerun, lantas dia menjerit sambil mengoyak-ngoyak bajunya. Dia berkata: ‘Ya Allah, engkau takut untuk mengkhianati janjimu kepada ibumu sedangkan aku tidak takut untuk mengkhianati janjiku kepada Tuhanku’.

Secara tiba-tiba ketua perompak itu mengarahkan agar semua perompak mengembalikan segala barang yang dirampas kepada pemiliknya. Dia berkata: “Sekarang aku bertaubat di hadapanmu’. Maka para pengikutnya pula berkata: ‘Engkau ketua kami semasa kami merompak, sekarang engkau ketua kami apabila kami semua bertaubat.” Akhirnya semua perompak itu bertaubat, barakah dari sifat murni berkata benar itu.

Demikianlah kisah pengalaman Al-Jailani yang menggambarkan manfaat tersurat dan tersirat dari berkata benar. Menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk sentiasa menasihati anak-anak meninggalkan tabiat bohong dan mengamalkan kejujuran. Insya-Allah, dengan hilangnya sifat bohong itu, Allah akan memudahkan jalan untuk kita mendidik anak menjadi soleh dan muslih.

2 ulasan:

Unknown berkata...

terima kasih kerana memberikan pencerahan dlm bab ni...

Wanita Bertudung Hijau berkata...

sy hny copy paste :-)