21 Safar. Sebelum ini aku ada mencoretkan 2 perangai pelik aku kan. Kali ini rasanya aku nak berkongsi lagi perkara pelik yang sering aku buat di mana aku baru je perasan beberapa hari ni. Agaknya sebab perkara ni berlaku secara konsisten, maka aku anggap ianya normal tanpa aku sedar kadang-kadang ianya mengundang persepsi yang pelik di pandangan mata orang lain.
Aku suka bercakap. Tak nampak pelikkan, sebab dah fitrah manusia memang suka bercakap. Tapi, kalau aku sambung ayat tadi, aku suka bercakap sorang-sorang. Dah mula nampak pelikkan. Aku sambung lagi ayat tadi, aku suka bercakap dengan binatang dan pokok. Itu memang nampak benar-benar pelik. Lebih pelik lagi, aku selalu bercakap dengan malaikat. Oh ya, jangan terus buat spekulasi, izinkan aku meneruskan coretan untuk menerangkan situasi pelik aku.
Hakikatnya, aku memang suka bercakap dengan binatang sejak zaman kanak-kanak lagi. Aku pernah bercakap dengan kambing dan lembu peliharaan arwah ayah (hingga kini aku rasa janggal letak perkataan arwah). Aku pernah bercakap dengan anjing. Paling aku suka bercakap dengan kucing, binatang kesayangan baginda Rasullullah S.A.W. Aku bukan Nabi Sulaiman yang faham komunikasi 2 hala dengan binatang. Aku sekadar manusia biasa yang tak pernah faham bahasa binatang. Walaupun komunikasi itu sekadar 1 hala, aku terasa senang hati biarpun binatang itu tak pernah memahami apa yang aku cuba sampaikan. Aku tetap rasa best walaupun binatang tu tak pernah ada usaha nak menjawab (kalau jawab, aku yang cabut langkah seribu).
Sebagai contoh perbualan aku dengan kucing anak saudara yang diberi nama Jojo, wahai Jojo, dah makan ke belum? Jojo sihat hari ini? Jojo makan apa tu, sedap tak? Jojo ngantuk ek? Jojo tengah berzikir ek? Itu adalah antara contoh perbualan aku dengan binatang yang bernama kucing. Peringkat permulaan, anak-anak saudara mengatakan aku gila sebab sering bercakap dengan kucing, tapi lama kelamaan mereka diamkan aje, barangkali dah tak kuasa nak melayan aku, hehehehe
Di luar sana, aku percaya, ada sebilangan yang habitnya sama macam aku, gemar bercakap dengan binatang. Aku tak nafikan golongannya minoriti, tapi aku rasa bercakap dengan pokok mungkin tak pernah dibuat orang. Ye, aku mengaku, setiap kali siram pokok di rumah aku, aku akan mulakan berselawat dan kemudian bercakap dengan pokok. Biasanya ayat yang sering aku gunakan bila bercakap ialah, wahai pokok, aku cemburu kepada kamu-kamu semua kerana kamu tak kan kena hisab, tapi aku esok-esok di sana akan kena hisab oleh Allah, maka bantulah aku, ingatkan aku sekiranya aku lupa pada Allah, ingatkan aku supaya lidah aku sentiasa basah berzikir dan menyebut kalimah agung Allah, kerana sesungguhnya kamu semua sentiasa berzikirkan pada Dia, Pencipta kita, maka, tolonglah bantu aku, tolonglah. Aku sangat cemburukan kalian. Yup, sangat cemburu. Cemburu yang maksima.
Itu adalah dialog statik yang sering aku tuturkan setiap kali siram pokok. Tapi, habit ni aku sorang je tahu, sebab kat rumah, just aku sorang diri. Aku tetap senang hati selepas bercakap dengan pokok walhal pokok-pokok itu tak pernah membalas walau sepatah dua kata.
Setiap kali masuk rumah, selepas memberi salam kepada malaikat rahmat yang berada dalam rumah, aku akan cakap kepada malaikat itu supaya sentiasa doakan aku ni berada dalam rahmat Allah. Malah setiap kali sebelum tidur juga, aku akan bercakap dengan malaikat supaya mendoakan aku semasa sedang tidur, semoga tidur aku itu sentiasa dalam lingkungan rahmat Allah. Walaupun aku tak pernah nampak kehadiran atau kemunculan malaikat, aku akan tetap juga bercakap perkara yang sama setiap hari. Aku tak pernah jemu bercakap dengan malaikat walaupun zahirnya aku hanya bercakap sorang-sorang. Tiba-tiba aku teringat masa zaman kanak-kanak aku selalu baca buku siri bercakap dengan jin.
Bila difikirkan semula, aku rasa ada wajarnya juga aku dikatakan gila. Kah kah kah. Yelah, bercakap sorang-sorang. Itu bukan fitrah manusia normal. Tapi, aku kan bercakap dengan makhluk Allah juga, ye tak? Hehehe. Memang tak logik sebenarnya, tapi entahlah, aku terasa bahagia bila buat macam tu. Sebab pada aku, makhluk Allah tadi tu suci, dan mereka sangat bertuah kerana mereka tak akan kena hisab esok di sana. Maka, aku sentiasa cuba memberitahu mereka supaya mereka jangan lupa tolong doakan aku, tolong ingatkan aku supaya aku tak terleka dan alpa dengan urusan dunia semata.
Aku cemburukan Jojo yang sentiasa berzikir pada Allah, aku cemburu pada pokok yang sentiasa tak lupa berzikir pada Allah, juga pada malaikat yang tak pernah lalai menunaikan tanggungjawap pada Allah merangkap sentiasa berzikir pada Allah. Padahal dalam al Quran terang-terang dah sebut, manusia adalah makhluk sebaik-baik kejadian, tapi di manakah terletaknya nilai sebaik-baik itu sekiranya mentaliti iman kebanyakan manusia mentaliti kelas ketiga? Bak kata Dr M, Malaysia negara membangun, tapi mentaliti masyarakat Malaysia berada di kelas ketiga.
Aku cakap pada diri sendiri sebenarnya. Aku pandang cermin, cuba muhasabah diri. Adakah aku sebaik-baik kejadian sekiranya aku berkira-kira nak membaca al quran? Suratkhabar tak pulak pernah miss baca. Blog hari-hari mentelaah. Tak malu ke? Adakah aku ni sebaik-baik kejadian kalau nak bangun tahajud pun terasa beban? Adakah aku ni sebaik-baik kejadian kalau panggilan agung untuk tunaikan solat pun aku pandang sepi, seseolah tak kisah jika melewatkan urusan wajib itu?
Patutkah aku berbangga dengan sebaik-baik kejadian itu? Patutkah? Tapi, aku tak pernah guna pakai sebaik-baik kejadian yang diberi oleh Allah itu padahal akhirat itu yang kekal abadi.
P/S : aku pernah bergurau dengan Jojo, aku kata, Jojo, tak baik tau tidur lepas asar, kang ko mimpi hantu kang. Aku tak perasan anak saudara aku ada mendengar perbualan aku, maka dia katakan padaku sambil ketawa berdekah, eloklah tu, jojo dan aku memang poyo. ahaksssss
4 ulasan:
Kakcik juga sesekali akan bercakap dengan kucing yang datang mengiau2 di belakang dapur kakcik. :)
ahaksssss
akak cakap ape? :-)
Kakcik selalu cakap :
'lapar ya?'
'kan tadi dah bagi makan.. takkan lapar lagi'
'eh! jangan berebut - orang dah bagi sorang satu tu...'
hehehe....
ahakss, sy pun selalu gak ckp
jgn gaduh2, tak baik gaduh2
hahahahhaa
Catat Ulasan