~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Isnin, 3 Januari 2011

Janganlah putuskan hubungan, please!

Salam Tahun Baru, sambil sarapan, sambil selak suratkhabar, sambil layan blog, merangkap buat 3 benda dalam satu masa yang sama. Alhamdulillah, tiba awal di ofis, walaupun jalan raya di luar sana luar biasa jemnya. Terasa meriahnya sesi persekolahan yang baru bermula hari ini. Aku pula yang teruja lebih membaca dalam blog kawan-kawan di mana mereka menceritakan pengalaman mereka menghantar anak-anak ke sekolah. Walaupun aku belum ada anak, suasana ini turut melekat di hati kerana aku pernah mengalaminya suatu tika yang dulu. Sangat indah sekali. Jumpa kawan-kawan baru dan bergaya dengan uniform baru, rasa dunia ini aku yang punya.

Tapi teruja tu automatik terus hilang apabila suratkhabar dan blog kawan-kawan pagi ini menghidangkan ramai remaja melayu kena tangkap basah sempena menyambut tahun baru. Kuih keria manis yang aku telan ni pun dah terasa kelat. Setiap kali tiba tahun baru, berita inilah juga yang acapkali aku baca. Dah boleh jangka. Jemulah baca berita begini, tak membangunkan minda langsung. Inilah puncanya kes buang bayi tak pernah ada kesudahan. Betapa hilang mood aku pagi ini. Tadi baru je aku berangan-angan nak hantar anak aku ke sekolah suatu hari nanti ditemani suami terus terbantut dengan berita yang memanaskan cuping telinga aku ni. Aku jadi resah dan bimbang.

Generasi akhir zaman yang menakutkan aku. Keruntuhan akhlak di kalangan remaja sudah berada di tahap sangat kritikal. Aku tak kata semua remaja melayu Islam bermasalah. Ada yang jauh lebih sempurna jika nak dibandingkan dengan zaman remaja aku. Tapi, kerana nila setitik rosak susu sebelanga. Kes buang bayi, anak luar nikah sangat berleluasa menular pada zaman sekarang. Statistik yang sangat menakutkan dan membimbangkan. 10 tahun atau 15 tahun lepas mungkin kes ini kita rasa janggal, tapi sekarang kita dah rasa perkara ni sangat-sangat normal. Jumpa bayi kat tong sampah, kat tandas, macam-macam tempatlah, ada yang konon alim sikit letak depan masjid.

Ikutkan sejarah yang aku baca, hanya zaman jahiliah dulu adalah kes buang bayi. Contoh macam zaman nabi Musa (tak salah aku), bayi lelaki sahaja dibunuh, dan zaman satu lagi tu bayi perempuan sahaja yang dibunuh. Tapi, zaman yang serba moden lagi canggih ni, tak kira jantina, bayi dibunuh dengan kejam. Binatang pun sayangkan anaklah. Mentaliti apakah ini?
Aku tak nak salahkan sesiapa. Aku sendiri tak ada usaha nak membendung gelaja ini sebab aku tak mampu buat apa-apa melainkan sekadar berdoa. Maka, aku hanya mampu luahkan kat sini. Pendapat aku yang serba jahil lagi ketinggalan zaman ini, masalah ini sebenarnya kena selesaikan secara kolektif, membawa maksud semua pihak perlu bersatu dan bekerjasama bagi mengatasi masalah ini sehingga ke akar umbi. Ibu bapa, guru, masyarakat, kerajaan, pihak berwajib, media massa, media cetak, media elektronik dan individu tu sendiri wajib ambil serius benda ini.

Sebagai contoh, aku nak ambil kira peranan ibu bapa. Selama aku perhatikan sebelum ini, ramai ibu bapa akan marah atau pukul anak sekiranya ada di kalangan anak mereka membuat suatu kesalahan. Tapi, aku tengok ada segelintir ibu bapa tak pernah ambil pendekatan bertindak memarahi anak, jauh sekali memukul anak mereka sekiranya anak mereka yang dah cukup umur dan wajib solat, tapi tak bersolat. Tak bangun solat subuh, tak ada pun kena marah, tak ada pun kena rotan, tak ada pun kena bebel. Anak-anak mereka lengahkan solat dengan sengaja, sibuk main game, tengok tv, tak ada pun kena pukul. Tapi, kenapa kesalahan lain mereka ambil serius. Kenapa atas kesalahan lain anak-anak tersebut dihukum? Seseolah solat ni tak seriuslah ek. Seseolah tak solat itu bukanlah satu kesalahan besar pun. Sangat menyedihkan. Aku mulalah nak beremosi ni.

Lebih memalukan, ada ibu bapa juga tak solat, terang lagi bersuluhlah mereka tak akan marah anak mereka sekiranya anak-anak mereka tak bersolat. Ada mereka kisah? Tidak sama sekali. Jenayah yang paling berat adalah tidak solat (aku pernah baca sticker ni pada kereta siapa tah di jalan raya). Ustaz ada cakap, kalau suami enggan bersolat, bermati-matian tak nak solat, isteri boleh tuntut cerai kat mahkamah, atas alasan, suami dah meruntuhkan agama, dah putuskan hubungan dengan Allah, macam mana nak bina keluarga bahagia mengikut acuan Islam. Bibit-bibit kehancuran dalam rumah tangga bermula daripada tidak menunaikan solat.
Apabila mereka tak bersolat, mereka berterusan bergelumang dengan dosa seperti melakukan kesalahan lain. Contoh, ada juga ibu bapa tak ambil peduli pun anak mereka mendedahkan aurat. Mungkin sebab mereka sendiri dedahkan aurat tanpa rasa bersalah. Ustaz ada cakap suami itu adalah status suami dayus sekiranya membiarkan kemungkaran berlaku dalam keluarga. Kemungkaran yang dimaksudkan ialah antaranya membiarkan isteri atau anak-anak mendedahkan aurat yang disengajakan. Kat sini aku nak ingatkan diri sendiri, kalau aku tak tutup aurat, esok-esok suami aku dapatlah status suami dayus.
Itu adalah antara point yang aku dah lama nak luah dalam blog aku. Sebenarnya banyak lagi yang aku nak tegur ada kepincangan yang besar dalam kebanyakan institusi rumah tangga, tapi macam tak layak pula aku nak bercakap panjang soal ini, sebab aku sendiri belum pernah berkahwin, maka aku nak stop daripada mempersoalkan didikan ibu bapa terhadap anak-anak. Kita pandang dari perspektif lain pula.

Malaysia dilabelkan negara Islam. Tapi, saluran tv dan radio Malaysia samada swasta mahupun kerajaan langsung tak mencerminkan keislaman. Saluran tv yang sedia ada sekarang secara keseluruhannya langsung tak menggambarkan Malaysia negara Islam. Setiap hari aku buka tv, asyik terpandang artis dedah aurat secara berani mati. Tengoklah anugerah tv yang baru berlangsung baru-baru ni. Memalukan. Geli aku nak pandang, sudahnya aku tukar channel lain. At least tak adalah rasa sedih tengok cerita mat saleh yang terang-terang tak ada didikan Islam dalam diri, walaupun mereka teguk arak, melakukan hubungan bebas dan tidak menutup aurat. Moga Allah bagi hidayah pada mereka. Aku peliklah, kalau dulu artis rocker wajib berambut pendek untuk muncul dalam tv, kenapa sekarang tidak gamkan sahaja artis sekiranya mereka suka-suka hati berkemban.

Remaja zaman sekarang pula suka sangat menjadikan artis Malaysia ni sebagai idola mereka. Menyedihkan bila artis diagung-agungkan, martabatnya di julang tinggi melangit. Inilah yang menyebabkan remaja mudah sangat terikut-ikut budaya negatif yang memalukan ini. Tengok artis pakai seksi ikut, tengok artis bukan muhrim berpeluk mereka ikut, mudahnya mereka ambil ringan perkara begini. Gejala inilah patut dibendung, sekiranya dibiarkan kes pembuangan bayi akan menjadi barah yang tak ada penawar.

Aku tak kata semua stesen tv dan radio teruk, aku puji channel 106, aku puji radio IKIM, dan ada lagilah saluran yang bagus dan berkualiti yang telah memberikan banyak perubahan positif dalam hidup aku. Tapi biasanya channel ni tak popular, tak pernah pun menjadi stesen nombor satu negara. Bukan aku nak keji stesen yang sentiasa membolot dan conquer nombor satu, cemburu jauh sekali, tapi aku tengok saluran berkenaan kurang pengisian daripada perspektif agama Islam, tak keterlaluan sekiranya aku katakan 99% adalah bersifat hiburan dan duniawi semata.

Ini yang menakutkan aku. Hari-hari kita dijamukan dengan adegan yang tak sewajarnya. Esok-esok aku mungkin ada zuriat. Macam mana aku nak mengawal mereka kalau setiap hari mereka disogokkan dengan perkara yang tidak wajar ini. Kanak-kanak yang masih suci mudah terikut dengan perkembangan yang tidak sihat ini. Bila meningkat remaja, mereka rasa dedah aurat tu tidak salah kerana dalam tv ramai artis yang buat, apatah artis tersebut idola fanatik mereka. Mereka taksub mengikuti fesyen artis tersebut. Sekiranya perkara ini dibiarkan berterusan, bagaimana dengan generasi 10 tahun akan datang, 20 tahun akan datang? Aku sangat takut.

Bila berterusan buat dosa walaupun kecil, hati jadi gelap. Bila gelap, hidayah susah nak meresap masuk. Lagipun, janganlah melihat kepada kecilnya dosa, tapi lihatlah kepada siapa yang kita derhakai. Buat dosa memang best. Sebab tu kita ni manusia biasa susah nak bendung diri kita daripada berbuat dosa. Tak lekang daripada melakukan dosa samada secara sedar atau tidak. Samada kecil atau besar. Nak melawan nafsu lagi satu hal. Kalau tak kuat, kita pasti kecundang. Syaitan bersorak sakan bila kita dah berjaya buat dosa. Selagi boleh syaitan akan hasut, selagi hayat kita dikandung badan, hingga hujung nyawa.

Sebab tu kita diseru supaya jaga hubungan, jaga hubungan dan jaga hubungan. Hubungan yang dimaksudkan ialah dengan Allah. Jangan sesekali putuskan hubungan. Sentiasalah berhubung dengan Allah. Tolonglah, jaga solat 5 waktu kita dengan sempurna. Tapi, ada yang solat tak pernah tinggal, tapi kenapa dia tetap berbuat dosa? Contohnya ramai yang dikatakan alim warak, tapi rogol anak dan cucu sendiri, ada yang rogol anak murid sendiri. Maknanya dia lalai dalam solatnya, orang yang lalai dalam solatnya tetap kena hisab di sana. Solat untuk mencegah kemungkaran, tapi kebanyakan solat tak mencapai tujuan.

Ada satu teka teki, dalam dunia ini apakah yang paling ringan? Jawapannya adalah solat. Kerana manusia memandang ringan akan perkara solat. Solat dianggap perkara terakhir yang paling remeh. Ada yang pernah marah aku, katanya ada yang tak solat, tapi perangai baik je. At least dia tak minum arak, bukan kaki judi. Dia tetap berdosa di sisi Allah, walaupun dia dipandang mulia di depan manusia. Allah tetap murka padaNya. Kalau Allah murka apa berlaku? Tak berkatlah dunia dan akhirat selagi kita tak mohon ampun dan taubat.

Tidak solat bermakna kita dengan sengaja putuskan hubungan dengan Allah. Dengan sesama manusia pun kalau sengaja putuskan hubungan tanpa sebab, kita akan dibenci, mungkin dibenci sepanjang hayat, apatah lagi dengan Allah, yang mencipta kita. Susah sangat ke tak sampai 10 minit luangkan masa bermasa Allah, berdialog dengan Allah melalui solat. Zaman nabi dulu boleh bersolat sampai berlekuk batu, kita zaman sekarang solat dalam aircond lagi, kipas pula kiri kanan depan belakang, sejuk sampai ke tulang, ada karpet empuk, ada sejadah lawa-lawa, dan panduan arah kibrat yang tak perlu susah payah nak survey. Segalanya mudah, itupun payah. Itupun berat hati nak buat.

Aku pernah baca 3 hari lepas ada orang pernah solat dalam gereja, pernah solat dalam tandas, pernah solat semasa sesi kuliah sedang berlangsung, kerana dia tak ada kemudahan sempurna dalam nak beribadah menyembah Allah. Betapa kental hati dia, kita ni mudah sangat-sangat nak bersolat, surau bersepah, masjid pun belambak-lambak, kemudahan fasilities yang sangat sempura pun masih berkira dalam nak bersolat.

Kenapakah jadi begitu? Tak ada kesedaran? Kenapa tak ada kesedaran? Sebab hati dah tak ada rasa takut pada Allah. Hati dah tak ingat mati agaknya. Bagaimanakah sekiranya Allah yang putuskan hubungan dengan kita pula? Dunia akhiratlah kita tak selamat. Malah Allah buat-buat lupa nak bagi keampunan kat kita, Allah buat-buat lupa nak bagi rahmat dan redaNya kepada kita, menangis air mata darah pun dah tak berguna lagi dah. Sebab air mata kita hanya laku kat dunia.

Janganlah putuskan hubungan dengan Allah, Allah lebih dekat dengan kita daripada urat di badan kita sendiri. Belajarlah bersolat, dengan solatlah kita akan rasa lebih berhubung dengan Allah. Jiwa kita pasti lebih terisi.

5 ulasan:

cikceriacorner berkata...

salam akak..
betul tu kak..saya setuju..
hablu minalaallah..hablu minnas..:)

gadisBunga™ berkata...

manusia dah tak takut tuhan.

sebab tu la...

Wanita Bertudung Hijau berkata...

salam cik ceria :-) t/kasih :-)

GB : moga kita dijauhkan hendaknya drpd perkara mungkar :-)

Alimaz-Kembara Terasing berkata...

takut anak 2kita pulak macam mana nanti.....

Wanita Bertudung Hijau berkata...

itulah perkara yg paling-paling membimbangkan sy :-)