~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Isnin, 29 November 2010

Berdiam itu lebih baik

Dulu aku sangat tak bersetuju dengan tajuk di atas. Dululah. Banyak sebab aku tak bersetuju, contohnya, pada aku orang yang memilih keputusan untuk berdiam diri adalah tanda hipokrit maksimum sedangkan dalam dirinya sendiri dia berperang untuk bercakap. Dululah. Dulu aku beranggapan orang yang berdiam diri tu tanda-tanda orang yang penakut. Penakut untuk berhujah dan tiada pendirian. Dululah.

Sekarang, baru aku paham dari skop yang amat luas. Sekarang aku sangat-sangat mengerti maksud tersebut. Sedangkan Allah sendiri murka sekiranya hambaNya bertelagah walaupun dalam soal agama (aku tak ingat daripada mana aku ambil ayat ni, kalau salah tolong betulkan), sebab Rasullullah S.A.W sendiri pun guna kaedah kelembutan dalam urusan dakwah.

Dan bermulalah kajian secara rambang aku kepada sekalian manusia di sekeliling aku. Lama juga aku mengkaji, daripada seseorang yang pendiam, seseorang yang hanya bercakap apabila perlu, seseorang yang suka bercakap, seseorang yang sangat peramah kepada seseorang yang tak berhenti-henti bercakap. Aku juga mengkaji latar belakang kerja dan jawatan mereka, manalah tahu kan, dah kerja diaorang bercakap je, memanglah sah-sahlah kena bercakap walaupun tak perlukan, macam fasilitator atau trainer atau penceramah atau pendakwah bebas. (tapi mereka bercakap apabila perlu apa?)

Aku boleh ambil kesimpulan sebegini, orang yang sering bercakap tanpa perlu, tanpa henti kadang-kadang menonjolkan, mempamerkan dan menyerlahkan kebodohan diri sendiri secara langsung atau tidak langsung tanpa dia sendiri sedari. Juga menyerlahkan ketidakmatangan mereka dalam banyak hal dan perkara. Ini memang hakikat.

Maka, aku sendiri sedang ingatkan diri sendiri selalu dan selalu supaya kurangkan bercakap, bercakap apabila perlu, berfikir sebelum bercakap dan paling penting ucapkan basmalah sebelum bercakap, itu lebih afdal. Bercakap kosong tak guna, baik gunakan masa tersebut untuk mengingati Allah S.W.T, itukan lebih baik. Lidahkan tu kan lebih tajam daripada sebilah pedang, kalau kita sakitkan hati orang, kita dapat dosakan.

Kalau nak bercakap juga, bercakaplah dengan Allah di dalam solat. Itukan lebih afdal.

Azam oh Azam

22hb Zul Hijjah. Esok hari terakhir dalam bulan November. Dekat hujung tahun ni biasanya soalan yang sangat familiar kerap ditanya, kerap didengari ialah, apakah azam baru anda? Ataupun soalannya berbunyi, azam tahun lepas tercapai atau tidak? Atau carry forward kepada tahun hadapan? Atau terkubur begitu sahaja?

Semua manusia kat muka bumi ini aku kira ada azam tersendiri. Samada sikit atau banyak, samada kecil atau besar. Yang membezakan adalah sejauh mana kita berusaha dalam mencapai azam kita tersebut. Tak malu untuk aku sendiri mengaku, bahawa sesungguhnya azam aku sendiri banyak juga carry forward. Kenapa? Adakah aku malas dalam nak mencapai azam tersebut? Tidak. Aku tetap berusaha, cuma kadang-kadang aku alpa pada azam sendiri dan bila aku melakukannya secara bertangguh, secara tak langsung aku tak sedar tahun 2010 dah hampir tinggalkan aku.

Aku ada spesifikasikan azam-azam aku. Sebagai contoh, azam sebelum berkahwin, apa yang patut aku lakukan. Aku masih ada masa untuk mencapai azam tersebut sehinggalah aku dah berkahwin kelak, aku boleh menilai samada azam tersebut tercapai atau tidak. Aku ada azam tahunan, di mana azam tersebut biasanya berubah setiap tahun bergantung kepada perjalanan hidup aku sendiri. Dan kebiasaannya azam sebegini yang akan aku carry forward walaupun bukan semuanya. Aku ada azam bulanan, di mana setiap bulan aku update azam aku. Biasanya azam bulanan lebih dikecilkan skopnya.

Termasuk aku, tak semua orang berjaya mencapai azamnya. Kalau begitu, apa gunanya berazam? Semangat semakin hari semakin mengendur, dan azam hanya menjadi angan-angan mat jenin. Azam hanya dipermulaan awal tahun, hujung tahun azam entah ke mana?

Seperti yang aku pernah tulis dalam entry sebelum ni, kita perlu ada goal setting. Dan pastikan goal setting kita lebih kepada akhirat, bukan duniawi semata. Pastikan juga kita bertanggungjawab ke atas setiap goal setting kita. Atas sikap tidak bertanggungjawab terhadap goal setting sendirilah, maka banyak matlamat kita akhirnya carry forward.

Contoh azam tahun baru adalah mahu menguruskan badan ke kepada berat yang tertentu. Tapi, berapa ramai yang berjaya. Kenapa mereka gagal? Sebab ramai yang tidak berusaha secara konsisten dan secara istiqamah, dan ramai yang gagal sebab tidak tahu cara dan tindakan yang bijak untuk menjadi kurus. Perlukan exercises yang berterusan, perlu kurangkan karbohidrat dan protein dalam pola pemakanan seharian dan lebihkan serat atau buah. Kerana kurangnya info dan sumber, mereka tak tahu bagaimana nak mendapatkan berat ideal.

Di sini betapa pentingnya untuk kita cari sumber yang sewajarnya untuk membantu kita mencapai impian kita. Kita perlukan data dan maklumat yang tepat dan sebanyaknya demi mengatasi kelemahan kita dalam menangani kegagalan untuk mencapai matlmat.

Apa kata kita bergerak sekarang? Masih belum terlambat untuk merealisasikan azam yang sedia ada.

Jumaat, 26 November 2010

Jangan ulangi kesilapan lalu, tapi pastikan ulangi kejayaan lalu

Baru semalam aku post tentang entry kesalahan yang sering dilakukan oleh kebanyakan wanita di luar sana semasa memandu di atas jalan raya. Pagi ni sahaja semasa aku memandu ke ofis, aku berdepan dengan 4 kes kesalahan cara pemanduan wanita. Kes pertama, seorang wanita dengan selamba memandu perlahan di lorong paling kanan, tanpa rasa bersalah aku rasa. Impaknya, jalan di situ menjadi jem, menyebabkan aku terpaksa take over di sebelah kiri dan pandang wanita ego terbabit dengan gelengan kepala. Wanita tersebut buat muka tak paham!

Kes kedua, juga sama, selepas beberapa minit perjalanan aku, aku berhadapan lagi dengan situasi wanita memandu macam kura-kura, sedangkan jaraknya dengan kenderaan di hadapannya jauh. Apa yang berlaku, pemandu-pemandu lain termasuk aku berusaha keras untuk memotongnya supaya kami tak tersangkut di dalam jem akibat tindakan wanita terbabit yang sangat mementingkan diri sendiri.

Kes ketiga, semasa memandu di selekoh, seorang wanita dengan selamba memandu di lorong yang salah. Asalnya, sebelum selekoh, dia berada di lorong kiri, tapi kemudian tiba-tiba bertukar lorong kanan selepas selekoh, tindakan tak terjangka oleh dia menyebabkan hampir berlaku pelanggaran dengan kenderaan belakang. Kenapa tak berada di lorong yang sama, kalau ya pun nak tukar lorong, ambil masa beberapa saat, pastikan jalan clear, bagi signal, dan tukarlah lorong, kenapa bertukar lorong secara mengejut. Kes ni dah beratus kali aku saksikan. Adakah wanita di luar sana confuse mengenai lorong apabila tiba di selekoh?

Kes keempat, selepas traffic light, seorang wanita memberi signal terus masuk ke lorong kiri. Tindakan dia memang baik kerana memberi signal, malangnya caranya tak kena. Baru sekali signal berkelip terus masuk kiri, walhal kenderaan di belakangnya sangat laju. Kesannya, dia dihon panjang bertalu-talu oleh kenderaan belakang yang terpaksa membrek secara mengejut. Aku terus take over wanita terbabit dan pandang mukanya. Dia kelihatan macam semangat yang hilang, agaknya dia terkejut dengan hon kuat yang panjang tadi. Aku menggeleng kepala.

Aku bukanlah superman, aku juga bisa nangis. Iklan sebentar. Hehehe. Aku juga seorang wanita. Aku bukan terer pun bawak kereta. Tapi, aku belajar daripada kesilapan. Aku cuba mengimbau kenangan 1st time bawa kereta. Aku kena hon dengan lori DBKL sebab aku nak bertukar lorong secara mengejut, nyaris kemalangan. Aku selalu kena hon dengan kenderaan lain kalau aku terhegeh-hegeh di lorong kanan. Aku juga pernah terbabas di selekoh. Kalau nak huraikan satu persatu kesalahan aku semasa mula-mula mengenal stereng, sangatlah banyak.

Tapi, apa yang penting, belajarlah daripada kesilapan. Janganlah ulangi kesilapan lalu. Kalau dah selalu sangat kena hon dengan orang belakang, kenal pasti punca kenapa kita kerap dihon? Orang hon kita bersebab. Kalau dah selalu sangat selepas orang take over kita, orang pandang-pandang kita dalam keadaan muka yang marah dan berang, kaji semula kenapa dia bertindak demikian. Apa sahaja yang manusia lakukan kat dunia ni pasti bersebab. Orang gila pun bila marah bersebab. Apatah lagi kita ni manusia normal.

Semua orang melakukan kesilapan. Semua orang tak sempurna. Tapi, sangatlah tidak matang sekiranya kita tidak mampu ubah kesilapan tersebut. Sangatlah malang sekiranya tiada tindakan susulan untuk mengatasi kesilapan tersebut. Sangatlah sedih sekiranya kita tahu kita bersalah, kita tahu kita buat silap, tapi kita ego untuk berubah.

Ini aku baru buka topik tentang habit wanita memandu. Belum aku meluaskan lagi tentang habit lain. Walaupun aku seorang wanita, tapi banyak tabiat tentang wanita yang aku rasa kena ubah. Ubah dengan drastik. Contoh paling remehlah, aku nak cerita di sini ialah cara wanita pejalan kaki nak melintas jalan raya. Betapa takut dan teragak-agaknya mereka semasa nak melintas. Kadang-kadang aku yang sedang drive ni pun confuse, dia nak lintas dulu ke atau nak kasi aku yang bergerak dulu? Ekoran daripada sikap dia yang macam main tarik tali, sekejap ke depan, sekejap ke belakang menyebabkan aku sendiri tak boleh nak buat keputusan samada nak terus drive atau biarkan dia dulu yang melintas jalan.

Zaman makin maju, teknologi makin canggih, tapi tak seiring langsung dengan mentaliti kebanyakan wanita. Kadang-kadang aku tengok pemandu wanita bukan calang-calang jawatannya, tapi bila di jalan raya, terserlah sikap tidak yakin, terserlah sikap teragak-agak, terserlah sikap takut-takut, tapi bila di ofis, dialah singa hutan batu. Kenapa karakter boleh berubah? Nak ikutkan takut, siapa tak takut di jalan raya, aku pun takut juga, nyawa aku pun satu saja tau, tak ada galang gantinya, tapi perlu ke tonjolkan sikap takut tersebut? Perlu ke expose rasa takut tersebut sehingga menyebabkan kesukaran kepada orang lain?

Aku memang tak faham. Jangan nanti pemandu lelaki melabelkan wanita melayu wanita yang LAYU.

Selamat beramal. Anda mampu mengubahnya.

Khamis, 25 November 2010

Lima tanda hati keras membatu

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati. Abu Hurairah r.a. berkata, "Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya.. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya".

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, "Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan." (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, "Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku." (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat

Himmah dan segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-ma ta. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

5. Tidak belajar dengan Ayat Kauniah

Tidak terpengaruh dengan peristiwa-peristiwa yang dapat memberi pengajaran, seperti kematian, sakit, bencana dan seumpamanya. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai nasihat. "Dan tidaklah mereka (orang-orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pel ajaran?" (Surah At-Taubah, ayat 126)

Feminin bukan bermakna lembik

17hb Zul Hijjah. Aku dah lama berfikir untuk berkongsi sesuatu dengan tajuk di atas. Tapi aku takut sangat disalah ertikan. Aku takut sangat cara penyampaian aku tak kena, takut ada pihak yang terguris hati. Tapi, dah lama sangat aku pendam perkara ni, aku rasa aku nak luah juga, dan aku cuba berhati-hati dalam penyusunan ayat.

Aku seorang wanita. Aku seorang wanita yang lemah. Tapi, walaubagaimana sekalipun, terpaksa berdikari. Aku bukan ada sesiapa. Kena juga berdiri atas kaki sendiri. Lemah tidak bermakna aku tak boleh berdikari. Lemah tidak bermakna aku boleh ditindas sewenang-wenangnya. Lemah tidak bermakna aku boleh dibuli membabi buta.

Aku memang feminin. Aku tidak pengkid. Aku tidak tomboy. Aku tidak ganas. Aku memang feminin, tapi bukan skema. Aku memang feminin, terang lagi bersuluh. Ke ofis berkebaya, berbaju kurung, berskirt labuh kembang, sesekali aku memakai blaus dan seluar slack. Aku seperti kebanyakan wanita lain di luar sana, menjaga keterampilan seadanya, cuba melaram sesekali walaupun aku tak pernah bermekap seumur hidup seingat aku, ketika melangkah keluar daripada rumah. Sekadar mengenakan bedak nipis dan pelembab bibir. Lipstik? Aku memang tak pernah pakai, juga tak pernah beli. Sebab aku memang tak suka pakai mekap. Tapi, aku tetap wanita yang feminin gitu. Aku nak nampak natural walaupun aku tak lawa. Aku tetap bersyukur.

Tapi, akhir-akhir ni aku macam sedih pun ada, sedih sebab dah banyak kejadian yang aku saksikan di atas jalan raya, banyak wanita yang memandu di buli samada secara halus atau secara kasar, samada secara zahir atau secara batin, samada secara jasmani atau rohani. Mereka yang dibuli adalah wanita. Wanita yang feminin seperti aku. Dan kes ini semakin hari semakin melampau. Semakin teruk. Kes terbaru, semalam aku ada baca suratkhabar, seorang wanita rosak buah pinggang akibat diterajang oleh seorang lelaki di atas jalan raya. Puncanya, wanita terbabit secara tak sengaja tergesel motosikal lelaki tersebut menyebabkannya bergolek di atas jalan raya.

Tak dinafikan, wanita tersebut bersalah kerana tergesel, bukan sengaja gedik nak bergesel, walaupun ampun maaf dipinta secara beriya-riya, lelaki tersebut tak berhati perut meneruskan aksi terajangnya terhadap wanita tersebut. Lelaki tersebut sekadar bercalar di lengan, tapi perempuan berkenaan, menanggung akibat dan kesakitan dalam impak yang lebih besar kesan daripada kerosakan buah pinggang.

Aku berseru kepada wanita di luar sana, berhati-hatilah ketika memandu. Janganlah tunjuk sangat sifat tak confident di jalan raya. Atau buat muka blur. Pemandu lain boleh membaca cara pemanduan kita samada yakin atau sebaliknya. Contohnya, cara bertukar lorong dan take over, tergambar jelas sekiranya nampak teragak-agak. Di sinilah pemandu lain terutamanya kaum Adam akan mengekploitasi keadaan.

Mereka dengan mudah menguasai jalan raya, mereka tanpa belas kasihan membuli tanpa ada rasa bersalah. Kerapkali aku berhadapan dengan situasi ini, pemandu wanita teragak-agak nak masuk simpang, takut-takut nak bertukar lorong walaupun signal dah lama mereka berikan. Seringkali juga aku tengok pemandu wanita dihon bertalu-talu, kerana terhegeh-hegeh di atas jalan raya yang sibuk, terutamanya masa kemuncak.

Ada juga banyak kes yang aku sendiri lihat, pemandu wanita di depan aku dipintas oleh 5-6 buah kenderaan lain di hadapannya. Ini jelas menunjukkan pemandu wanita tersebut sangatlah slow. Berada pula di lorong paling kanan, memanglah kena sumpah seranah. Cara pemanduannya yang lembab menyebabkan pemandu lain hilang sabar dan memintas di hadapan pemandu wanita terbabit, termasuklah aku. Dan aku memang langsung tak paham ada kes di dalam keadaan jalan yang jem teruk mereka masih nak menjarakkan kenderaan dengan kenderaan di hadapan mereka menyebabkan ada ruang yang besar boleh dimuat untuk 4-5 kenderaan lagi. Kenapa berlaku sedemikian?

Maka, setiap kali ada ruang di hadapan pemandu di depan aku, aku cuba take over di depannya, apa yang berlaku pemandu yang aku pintas adalah wanita. Menyedihkan. Kenapa? Bukan aku nak kata pemandu wanita tidak cekap. Tapi, janganlah menyebabkan cara pemanduan kita, pemandu lain berang.

Kesannya, pemandu wanita dilabel tak cekap memandu, terhegeh-hegeh di jalan raya, takut bertukar lorong, takut nak memasuki simpang, tak patuhi peraturan jalan raya seperti sering tersalah lorong especially bila memasuki simpang baru di traffic light, dan segala macam yang dilontarkan. Tak sedih ke?

Aku tahu ada yang akan kecam aku. Mereka akan gunakan point, macamlah semua pemandu lelaki cekap. Diaorang pun ada yang bawa kereta macam kura-kura. Ya, aku tak nafikan, aku pun sering terjumpa kes sebegini, tapi jangan kerana kesalahan kita yang kita tak boleh terima, kita nak kaitkan kesalahan orang lain pula?

Kecekapan memandu bukan berdasarkan laju mana pemandu mampu pecut. Kecekapan pemandu bukan boleh diukur sejauh mana dia pandai cilok dalam keadaan jem. Kecekapan memandu tak boleh dinilai daripada zero accident. Aku tak tahu orang lain menafsir maksud cekap semasa memandu. Pada aku, kecekapan pemandu dilihat kepada bagaimana dia mampu dan berjaya mengawal situasi di jalan raya secara efisyen. Contohnya, kalau traffic light rosak, bagaimana dia nak bergerak sekiranya tiada sifat yakin dalam diri dia. Bagaimana dia nak ke seberang sekiranya dia teragak-agak. Sudahnya, dia dah menyusahkan banyak pihak, dan paling malang, kerana dia tak yakin nak bergerak, jalan tersebut menjadi sesak sesesaknya.

Nampak tak? Bijak mengawal situasi di luar jangkaan adalah tindakan bijak yang perlu diamalkan oleh semua pemandu, termasuk aku. Bijak bukan bermaksud boleh menyusahkan semua orang, seperti dalam keadaan jem, boleh redah emergency lane. Bijak bukan bermaksud traffic light merah boleh diabaikan. Bijak pun bermaksud semasa laju di fast lane, masih boleh bergayut tanpa pakai tali pinggang keledar. Bijak pun bermaksud sesuka hati cilok tanpa memberi signal.

Aku sendiri selalu ingatkan diri aku, berhemahlah di jalan raya. Bila perlu laju, bila perlu cilok, bila perlu tukar lorong, tapi, pastikan yakin dalam setiap tindakan dan pastinya lakukan tanpa teragak-agak. Wanita di luar sana tak perlu jadi tomboy, jadi pengkid untuk berubah.

Tapi, yang penting, kita kena fleksibel ikut situasi semasa. Ada masa kita agresif, ada masa kita skema, ada masa kita tegas. Tapi, kekalkan ciri feminin. Semasa memandu misalnya, ubahlah kepada sikap agresif tapi bukan pembengis pula. Contohilah serikandi zaman dahulu. Mereka tetap mengekalkan ciri feminin walaupun mereka sebenarnya pendekar disegani. Lembut bukan bermakna lembik. Feminin bukan bermakna lemah.

Kita mampu ubah cara pemanduan kita. Patuhi peraturan jalan raya. Buktikan pada kaum Adam, wanita pun terer memandu. Segala macam benda yang dilabelkan tadi oleh pemandu lelaki, kita mampu mengubahnya.

P/S: Safety itu sunnah. 

Selasa, 23 November 2010

Bertanggungjawab dalam setiap goal setting

1.Tetapkan Niat kerana Allah SWT dan matlamat perlu realistik

2.Fokus terhadap cara pencapaian matlamat anda.

3.Tulis matlamat anda dan jika boleh, lekatkannya di tempat yang sesuai.

4.Ambil langkah-langkah untuk mencapai matlamat anda.

5.Lakukan dalam keadaan "enjoy" tetapi jangan biarkannya membantutkan pencapaian matlamat anda.

6.Catat dan kaji perkembangan pencapaian matlamat dan baiki atau hapuskan sebarang kelemahan yang wujud.

7.Jadikan moto "Insya Allah Saya Pasti Boleh!" sebagai prinsip hidup anda.

Jumaat, 19 November 2010

7 Sunnah Rasullullah S.A.W

"Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama: tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Kedua: membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

Ketiga: jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat: jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Kelima: jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam: jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh: amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.