~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Khamis, 23 Disember 2010

K, T dan M = Haram

Semalam petang, semasa berborak santai minum pearl kacip fatimah panas di salah sebuah kedai sekitar ofis aku, seorang kawan yang aku gelarnya CNN bergerak memberitahu aku di mana salah seorang kawan aku di ofis dah menang besar. Wahhh, hebatnya kata aku. Menang besar di sini membawa maksud dia menang judi nombor ekor yang berjumlah 15K (tak silap aku, benda yang melibatkan angka ni aku selalu sangat lupa).

Aku menyambung bicara, aku tanya, dia buat apa dengan duit tu? CNN bergerak tadi cakap dia repair motor dia, tu saja pun dah cecah 2K. Lagipun asal asal usul nombor yang dia dah menang besar itu diambil daripada plat nombor motor tadi tulah. Aku mencongak di dalam hati, 15K tolak 2K, jadi 13K. Wahhh, banyak lagi berbaki duit tu. Aku tanya lagi CNN, balance duit tu dia buat apa? Entahlah, kata kawan aku lagi, kami satu department sajalah test dia minta dia belanja makan, tapi dia cakap, ehhh, mana boleh, duit ni haram jawabnya. Aku ketawa mengekek-ngekek. Tahu pula dia ek apa hukumnya duit tersebut kalau jadi darah daging.

Sebenarnya, aku tak terkejut mendengar berita dia menang besar. Cemburu? Jauh sekali. Sejak aku bekerja di company ni dah lebih 6 tahun (setialah konon, padahal malas nak cari kerja lain, malas nak pergi interview), aku dah sedia maklum dengan perangai tahi judinya yang sangat melampau itu. Tanpa segan silu 'pau' duit sub-con sebab nak beli nombor ekor KTM nilah. Siapa yang tak kenal dia kaki pau. Dan dialah penyebab kawan-kawan yang lain terjebak sama dalam dunia judi ini. Dulu, aku dan mereka yang kaki judi ni agak rapat, sebab department lama aku menyebabkan aku selalu terpaksa berurusan dengan mereka. Atas tiket nak memudahkan kerja, aku memang kena menjaga hubungan yang baik dengan mereka walaupun aku selalu terbabas meleteri mereka tanpa rasa bersalah. Aku bengang sebab aku tak suka mereka main judi. Tak suka tak suka tak suka.

Tapi, sejak berpindah department baru, aku tak lagi perlu berurusan atau menghadapi mereka. Maka, aku dah jarang sangat berjumpa mereka. Dulu, aku selalu sangat nampak mereka kumpul-kumpul kertas nombor ekor yang dibeli dan tampal pada log book dan buat filing. Sangat hebat dan efisyen. Aku sempat menyelongkar buku tersebut dan aku mencongak dalam seminggu hampir RM300 yang dibelanjakan semata-mata untuk tujuan membeli nombor. Kalau sebulan? Katakan RM1200, kalau setahun sama dengan RM14,400.

So, kesimpulan aku, tak adalah dia menang besar pun. Sebenarnya langsung tak balik modal pun. Makin bertambah rugi lagi adalah. Ikutkan logik pengiraan matematik aku ni, aku kenal dia dah lebih 6 tahun, dan tak perlulah di sini aku nak darabkan lagi angka RM14,400 tadi dengan 6 tahun. Dan untuk pengetahuan semua, RM300 seminggu tadi tu bukan untuk K T dan M tadi, tapi untuk M semata. Kalau KTM digabungkan, hitungkan jumlah perbelanjaan mamat tadi tu untuk seminggu. Sangatlah ekstremnya mamat ni dalam dunia judinya. Dan aku sangat pasti, sang isteri di rumah dah penat membebel, dah penat menasihati, dah penat memarahinya. Tapi, orang yang makin dah gelap hati ni, apa dia peduli.

Samalah seperti cerita Ngangkung yang aku berpeluang tonton baru-baru ni di panggung wayang. Biasanya kalau aku tengok wayang, aku akan kaji sinopsis atau jalan cerita, tapi kali ni aku terlepas pandang buat semua tu. Hanya disebabkan aku ada baca di blog siapa tah mengatakan cerita ni best, maka aku terjah pergi tonton. Ternyata tidak sia-sia masa aku yang terbuang itu. Filem ni berkualiti dan sarat dengan mesej.

Sehinggalah sekarang, aku tak tahu exactly makna Ngangkung. Tapi, keseluruhan cerita di dalam filem itu memfokuskan masalah kaki judi yang sangat fanatik di mana sanggup mencari dan bertemu bomoh bagi mendapatkan nombor ekor untuk memenangi tempat pertama. Dan bermacam pengalaman aneh, kejam, sedih dan melampau dalam usaha mereka mendapatkan apa yang dihajati itu. Di sinilah peranan pengarah serta pelakon hebat yang membawa penonton menilai kesannya akibat daripada kaki judi, di mana boleh menghancurkan hidup kita sendiri di kemudian hari secara langsung atau tidak langsung.

Segala unsur ada dalam filem ni sebenarnya, seperti unsur homur, sedih, sukacita, konflik, saspen, dan yang paling penting ada diselitkan unsur agama (part ni jarang ada (kalau ada pun boleh dibilang dengan jari) dalam kebanyakan filem dan drama di Malaysia walaupun Malaysia adalah negara Islam) di mana membuatkan filem ni lengkap dalam nak menyampaikan mesej dan pengajaran yang tersirat dan tersurat. Ada masa penonton terkejut, ada masa penonton ketawa tanpa henti, ada masa penonton boleh mengalirkan air mata.

Pengarah dan pelakon sangat bijak dalam menjayakan filem ini. Tapi aku bukanlah nak bercerita tentang kehebatan filem ni, sebab mungkin di mata orang lain filem ni sangat-sangat biasa je, biasalah semua pandangan mata tak sama. Cuma apa yang aku nak sampaikan dan kaitkan dengan cerita kawan aku tadi, iaitu keburukan berjudi. Kalau dah Islam melarang, tentu ada sebab musababnya. Indahnya Islam dah terang lagi bersuluh bagitau kita semua apa yang boleh, apa yang tidak, demi untuk kebaikan kita sendiri sebenarnya. Ada benda dan ketika, kita boleh bertolak ansur, boleh toleransi, tapi sekiranya dah termaktub hukum berjudi ialah haram, pusing macam mana sekalipun ianya tetap haram.

Aku simpati dengan kaki-kaki judi ni sebenarnya, sebab ni bukan kali pertama aku berhadapan dengan situasi kaki judi, semasa alam remaja aku dulu, semasa alam aku di kolej dulu, ramai kaki judi yang aku jumpa sehinggakan rumah tangga hancur. Sedihlah aku.