~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Isnin, 13 Disember 2010

Jalan jalan cuci mata - Bangkok

7hb Muharam. Kembali bekerja setelah 7 hari aku bercuti sakan. Selama bercuti, aku tak akses internet dan tak tahu sebarang berita atau perkembangan daripada Malaysia, sekadar membaca suratkhabar Thailand. Aku baru balik daripada Bangkok sebenarnya. Ke sana atas tiket berjalan-jalan. Ke sana atas tujuan nak menjejakkan kaki di bumi Allah yang sangat luas. Ke sana atas dasar nak mengenal budaya negara asing. Ke sana nak melihat view ciptaan Allah yang sangat hebat. Ke sana kerana merasa makanan tempatan yang unik serta halal. Shopping hanya sekadar ala kadar. Aku tak tukar duit yang banyak, cukup setakat makan, taxi, tuk tuk, bot, lagipun kos hotel dan transport ke sana sudah termasuk dalam pakej. Cuma kos makan di sana dan taxi, tuk tuk dan bot je yang tak masuk dalam pakej.

Biasanya orang travel guna kapal terbang kalau daripada KL ke Bangkok. Tapi, aku naik van Siam yang besar tu. Memang selesa, ada selimut, TV dan set karaoke di dalamnya. Aircondnya sejuk bangat, sehinggakan hari ke-3 aku terus demam. Maklumlah, aku ni kulit orang kampung, tak boleh kena aircond lama-lama, apatah lebih 8 jam, pasti selsema atau demam. Lagipun perjalanan daripada KL - Alor Setar selama 7 jam dalam bas express, dah kena aircond, di tambah lagi perjalanan daripada Alor Setar - Bangkok selama lebih kurang 14 jam, terus membuatkan aku jatuh sakit. Aku memang alah dengan aircond sejak dulu lagi. Sebab tu aku tak pasang aircond kat rumah. Cukuplah 8 jam kena aircond di ofis.

Kenapa aku naik van? Jawapan aku ialah, aku sekadar nak merasa kelainan. Selama ni aku naik kapal terbang kalau travel jauh-jauh dan kerana itu aku nak merasa menggunakan jalan darat pula. Penat? Tidak sama sekali. Kalau penat boleh tidur dalam van dengan selesanya. Tempat duduknya lebih selesa daripada naik bas express. Travel dengan jalan darat ni van akan singgah banyak tempat. Secara tak langsung, aku cuci mata dengan pemandangan di sepanjang perjalanan. Singgah di R&R nya yang sangat selesa dan lawa. Tak keterlaluan sekiranya aku cakap R&R nya jauh lebih lawa daripada yang sedia ada kat Malaysia. Kebersihan tandas di sana pun tak boleh nak dipertikai, memang bersih. Tak semua tandas awam kat Malaysia ni bersih kan?

Daripada KL - Bangkok, lebih seribu kilometer jauhnya perjalanan tersebut. Belum kira, driver van bawa kitaorang pergi pulau dan pantai di sana, floating market, belum kira perjalanan pulang ke KL semula. Tapi, aku enjoy.  Kami juga di bawa melihat upacara sambutan hari lahir King Thailand (tak silap aku, aku lupa buat log book). Betapa fanatiknya mereka terhadap King mereka. Aku jadi kagum. Sangat kagum. Kat Malaysia aku belum pernah jumpa rakyat yang sefanatik seperti di Thailand. Ada ke rakyat Malaysia fanatik kepada raja dan sultan? Entah, barangkali aku yang ketinggalan info. Dan aku tiba-tiba terfikir, agaknya kalaulah semua Muslim sefanatik ni terhadap Allah, pasti sungguh indah dunia ni kan?

Kami juga dibawa melawat temple mereka. Lebih 4-5 lokasi temple kami masuk. Ada satu patung tu sangat besar sedang berbaring yang aku pernah tengok sepanjang hayat aku. Ramai yang sedang menyembah Patung mereka dengan kusyuk. Bestkan kalau masjid kat Malaysia sentiasa dibanjiri dan dipenuhi umat manusia menyembah Allah seperti temple di Thailand setiap masa? Aku melawat temple di sana dalam masa yang berbeza-beza, tapi temple mereka sentiasa sibuk dengan kehadiran orang-orang di situ untuk datang sembah patung mereka. Tapi situasi ni aku tak nampak di Malaysia, apatah lagi kalau waktu solat Subuh. Biasanya masjid dan surau akan suram, lengang dan sepi. Lebih malang, sesetengahnya siap dikunci lagi.

Tak henti-henti aku minta pada Allah supaya memberi mereka hidayah setiap kali aku melawat temple. Aku jadi kasihan pula apabila setiap kali mereka sembah patung tersebut. Aku tak nak mereka sekadar jadi bahan api neraka. Tak henti-henti juga aku ucapkan syukur sebab aku dilahirkan dalam baka Islam. Jika tidak, pasti aku seperti mereka agaknya, menyembah patung yang tak bernyawa. Setiap temple ada tabung disediakan untuk pengunjung menderma. Aku mencongak-congak jumlah duit di dalam tabung transparent tu secara rawak. Banyaknya. Ada banyak duit 100 baht, 1000 baht pun banyak. Agak-agak tabung masjid ada tak note RM1k dan RM100? Entah, aku tak dapat nak agak, sebab kebanyakan tabung kat masjid dan surau bukannya lutsinar.

Ada sekali tu, aku memerhatikan gelagat seorang uncle merangkap organiser kitaorang, dia yang berbangsa Siam Kedah sedang berdoa dan berbongkok-bongkok menyembah seorang sami di hadapannya. Dia menoleh dan berkata kepada aku, uncle bayar zakat tadi. Bagusnya, hampir kesemua temple dia bayar zakat aku tengok. Wah, banyaknya bersedekah. Aku jadi malu sendiri, menghitung jumlah derma yang aku pernah bagi pada masjid dan surau, banyak ke? Malu nak mengaku.

Dan kesemua temple yang aku lawati ada bunga teratai. Bunga ni pula salah satu bunga favourite aku selain orkid dan ros. Aku lupa nak tanya mereka apakah simboliknya teratai sehinggakan setiap temple pasti ada sudut teratai. Siap ada replika bunga teratai lagi. Dalam muzium mereka pun ada photo bunga teratai. Majoriti dalam muziumnya ada gambar patung, patung dan patung. Banyak sungguh ukiran patung, bersepah-sepah. Muziumnya besar, luas, jenuhlah juga nak berjalan ke hulu hilir. Disebabkan hari tersebut hari King mereka, semua tiket masuk seperti tiket muzium, konsert adalah percuma dan valid untuk satu hari tersebut sahaja. Bestkan kalau kat Malaysia semua tiket pun free sempena hari Agung ke hari jadi sultan ke misalannya. Hehehe.

Aku sempat berjalan kaki di sekitar kotanya. Kat ibu kota KL pun aku susah nak jalan kaki macam tu kecuali ada walk hunt. Sempat menjejakkan kaki di tempat rusuhan geng baju merah. Apa yang aku perhatikan, kebanyakan sudut ada 2 orang tentera lengkap bersenjata sedang memantau keadaan. Kat Malaysia aku pernah juga saksikan lama dulu, masa tu tragedi kes di Taman Medan melibatkan kaum india dan melayu. Sebelum dan selepas tu aku tak pernah pula perasan. Mungkin sebabkan hari King mereka, mereka mengambil langkah keselamatan, langkah berjaga-jaga. Sempat aku merakamkan gambar dengan tentera mereka.

Di sana hampir seminggu, aku memang kurang makan. Terang lagi bersuluh, aku bukan diet. Tapi, di Bangkok susah nak cari makanan halal. Uncle selaku organiser yang memang sangat prihatin bersusah payah membawa aku dan kawan aku mencari makanan halal. Dalam seramai lebih 30 orang (kitaorang bergerak dengan 3 buah van siam yang besar), aku dan kawan aku sahaja muslim. Yang lain semuanya berbangsa Siam. Aku dapat rasakan kalau sebulan aku tinggal di Bangkok, pasti berat badan aku akan turun. Syukurlah, aku ni bukan jenis kaki makan, tapi kesian pada kawan aku tu, hobinya memang makan.

Aku sangat bersyukur dilahirkan di bumi Malaysia yang paling senang nak dapatkan makanan halal. Sana sini bersepah makanan halal, agaknya sebab demikianlah kot orang Malaysia kebanyakannya tak menghargai makanan sehingga dibazirkan makanan tersebut. Sangat ketara bila puasa puasa. Dan kerana itulah agaknya kot, rakyat Malaysia banyak mengalami obesiti. Di Bangkok, aku susah nak tengok orang Thai gemuk, entahlah,  aku tak berani nak komen. Mungkin faktor persekitaran, makanan dan cara hidup agaknya antara penyumbang obesiti di kalangan masyarakat. Aku juga pernah dengar ada data mengatakan satu ketika dulu di mana rakyat negara luar mati akibat kebuluran, tapi ada rakyat Malaysia yang mati sebab kekenyangan. Bayangkan, betapa mewahnya rakyat Malaysia mendapatkan makanan.

Aku bersyukur lagi kerana masih diberi peluang dan ruang untuk aku melihat dunia luar selain Malaysia. Aku cuba untuk tak jadi katak bawah tempurung. Memang masih banyak negara yang aku teringin nak lawati, tapi aku kena kira kos dan bajet aku. Ni kali kedua aku melawat Thailand, dan aku pasti ke sini lagi satu hari. Banyak lagi tempat di Thailand yang aku belum jelajahi. Thailand yang mempunyai 67 negeri tak salah aku tetap ada keunikan tersendiri. Walaupun sepanjang berada di sana, komunikasi menjadi salah satu masalah, kerana tak semua orang Thailand mampu berkomunikasi dalam bahasa inggeris. Nasib baik ada uncle yang memang boleh cakap Siam,  dan kerana dia jugalah kami dapatkan jimatkan kos daripada berterusan kena pau oleh orang-orang di sana, tambahan lagi aku bertudung, memang nampak sangat aku memang seorang pelancong.

Tiba di KL, aku masih dalam keadaan demam, dan semasa aku menulis entry ni, aku kehilangan suara akibat batuk dan demam yang teruk. Semuanya gara-gara aircond. Kawan-kawan ofis mentertawakan aku, sebab mereka kata suara aku dah jadi suara jantan. Auwmmm, nyah tak kuasa tau. Ahaksss. Bersyukurlah atas nikmat kesihatan yang Allah beri, bila sakit, makan pun hilang selera, mood pun tak ada, fokus pun hilang, semangat pun hampir hilang, tapi senyum tetap senyum, gelak tetap gelak, sekurang-kurangnya Allah belum tarik nikmat ketawa seperti sebelum ni, aku pernah operation hidung sebab resdung, selama lebih 2 minggu aku tak boleh nak ketawa atau senyum, kalau nak pamerkan juga expressi muka yang ketawa, aku cakap ha ha ha ha dalam nada yang lambat-lambat dan tersekat-sekat, kerana ketawa atau tersenyum akan mengakibatkan hidung aku selepas operation akan bertambah sakit. Masa aku ketawa begitu, aku pula yang ditertawakan semula oleh orang sekeliling sebab mereka rasa kelakar melihat aku ketawa dalam keadaan terseksa. Bila difikirkan semula, kalau Allah nak tarik nikmat kesihatan, bila-bila je Dia boleh tarik, tu pun ramai tak bersyukur.

Dengan segera aku melayari blog-blog yang ada dalam list aku untuk mendapatkan info. Aku memang suka membaca, tapi aku susah nak membeli buku, sebab aku cepat bosan kalau baca buku, aku lebih suka baca artikel pendek, lebih menarik, aku suka baca artikel yang siap ada kesimpulan dan summary, memudahkan aku mendapatkan info dan paham info yang nak disampaikan itu, tidaklah aku membuat rumusan sendiri. Sebab ada kadang-kadang tak semua info yang nak disampaikan pembaca akan paham segera. Biasanya artikel yang aku suka, artikel yang sarat dengan info akan aku print dan buat filing. Aku memang fanatik dengan info. Paling aku suka info tentang agama, kesihatan, petua dan tentang motivasi diri.

Majoriti dalam blog masing-masing menceritakan tentang topik Maal Hijrah. Semoga tahun baru kali ini lebih banyak perubahan yang aku berjaya lakukan samada daripada duniawi dan akhirat. Ustaz selalu cakap kat surau, dalam hidup kita hanya ada 2 pilihan, syurga atau negara. Ustaz kata tak ada macam dalam lagu tu aku tak layak ke syurgaMu, tapi aku tak nak masuk nerakaMu. Ustaz kata tetapkan pilihan, dan berusahalah ke arah pilihan itu. Aku memang nak masuk syurga, aku tak nak masuk neraka, tapi layakkah aku yang jahil ini, yang banyak dosanya ni masuk syurga?

Salam Maal Hijrah pada semua, kira aku belum terlambat nak wish. Aku harap sempena Maal Hijrah ni, semua impian kita semua akan jadi kenyataan.

P/S : Dah banyak gunung aku daki, dah banyak lokasi impian aku dah sampai, dan bilalah agaknya lokasi impian aku nak pergi menunaikan umrah dan haji tercapai agaknya, Ya Allah, tunaikanlah impian aku ini suatu hari nanti. Sebelum mati aku nak jejakkan kaki ke sana juga. Ni antara impian aku yang belum terlaksana. Aku juga selalu doa nak mati kat sana.

2 ulasan:

marinahunny berkata...

bunga teratai tu kalu tak silap adalah lambang buddhisme..

bestnye p bangkok..sawadekaaaapp!

Wanita Bertudung Hijau berkata...

oh ye ke, baru ku tahu :-)

best memang best, tapi kalau ongkosnya byk, lagi best, mcm-mcm boleh beli di sana :-)