~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Selasa, 22 November 2011

Kisah angkat mengangkat lagi - siri 2

Semalam, 530pm tepat aku bergegas nak balik rumah. Atas niat nak siapkan makan malam dengan segera kerana nak tengok siaran langsung game bola sepak final. Tiba kat parking kereta, hujan dah mula renyai. Aku yang jenis malas nak berpayung bagai ni meneruskan perjalanan menuju ke kereta. Sedang panaskan enjin, hujan yang asalnya renyai bertukar menjadi selebat-lebatnya. Bila hujan begini, hati aku terus diserang rasa risau dan bimbang akan keselamatan suami aku yang menggunakan motor sebagai pengangkutan utamanya pergi kerja dan pulang ke rumah. Sebelum ni sepanjang 7 bulan dia ulang alik ke ofis lamanya, dah 2 kali dia jatuh motor penangan jalan licin, koyak rabak seluarnya, basah kuyup, mujur dia selamat dan sekadar cedera ringan. Sapa tak sayang suami kan?

Alahhh, aku terlupa pulak. Dah 2 hari sebenarnya suami aku pergi kerja menggunakan kereta setelah berpindah ke ofis barunya. Ofis barunya boleh kebetulan dekat dengan rumah kami, lagipun tak jem, maka suami aku memilih menggunakan kereta. Syukur alhamdulillah, hilang terus rasa risau aku. Cuma aku risaukan keselamatan aku pulak, hujan begini banyak bahaya menanti.

Aku melalui stadium hoki Bukit Jalil. Memandangkan jalan licin, aku ambil langkah keselamatan yang maksima, maka tidaklah aku cilok mencilok sesuka hati sebab aku risau kang brek tidak mampu berfungsi dengan efisyen di atas jalan yang penuh bertakung dengan air. Aku hanya bergerak secara berhati-hati di belakang sebuah bas sambil mendengar Ustaz Pahrol menyampaikan tazkirah tentang bagaimana untuk menjadi mukmin profesional dalam radio favourite aku, IKIM.fm.

Di kanan aku ada sebuah motosikal dan kereta yang bergerak dalam kelajuan sederhana. Bas depan aku ni macam perlahan sangat, maka aku cilok ke kanan dan berada betul-betul di belakang kereta tadi. Tanpa aku sangka, kereta di depan aku brek mengejut, aku yang sedang asyik dengar radio pantas menekan brek. Mencanak bunyi brek kereta aku. Agak kuat. Bayangkan aku tekan brek atas air yang bertakung, nampak tak betapa tak selamatnya aku ketika itu. Tapi alhamdulillah kereta aku tidaklah mencium kereta depan.

Aku tak pasti kenapa kereta depan aku tak nak bergerak sedangkan di depannya kosong tak ada kenderaan. Tiba-tiba pemandu bas sebelah aku keluar daripada perut bas dan mengangkat tangan kepada kereta di depan aku seseolah tak puas hati atas sesuatu. Aku jadi pelik dan musykil. Aku rasa ada kemalangan tapi aku tak dapat kesan apakah ia.

Dalam kereta aku, aku menyaksikan pemandu bas tadi rupanya sedang mengangkat sebiji motor yang tergolek di tengah jalan. Ohh penunggang motosikal tadi. Tapi mana penunggangnya? Aku menanti dengan penuh sabar dan rasa debar.

Kelihatan tiba-tiba seorang pejalan kaki berlari anak dan sama-sama memapah penunggang motosikal tadi dengan pemandu bas tadi menuju ke laluan pejalan kaki di tepi stadium hoki. Motosikal yang diletakkan di paling kanan dibiarkan di situ. Apa yang berlaku, kereta di depan aku meneruskan perjalanan tanpa rasa bersalah.

Aku jadi tertanya-tanya, kenapa pemandu di depan aku tu tak nak terlibat membantu penunggang motosikal yang tergolek tadi. Sanggup dia biarkan penunggang tu kesakitan di atas jalan. Agaknya kalau pemandu bas tadi tak prihatian dan menghulurkan bantuan, apa akan berlaku seterusnya? Dan paling pelik sanggup dia nganga je dalam kereta melihat tanpa berbuat apa-apa.

Aku cuba bersangka baik. Mungkin dia seorang wanita. Dia bukan iron lady yang aku tengok di sini Maka, aku cuba intai kereta depan, tapi malangnya tintednya yang gelap menghalang seluruh pandangan aku untuk menatap wajahnya, bagi memuaskan kehendak hati sendiri, untuk merungkaikan persoalan jugak, aku mengejar kereta depan aku dan melihat wajahnya dari sisi tepi, alangkah menyedihkan dia ialah seorang lelaki Melayu. Tidakkk. Di manakah hilangnya nilai-nilai kemanusiaan pada dirinya? Patutlah lagak pemandu bas tadi macam bengang gila, rupanya pemandu kereta tadi adalah lelaki dan dia sangat mampu memberikan pertolongan dari segi kudrat dan tenaga. Kecualilah dia berlagak menjadi mak nyah. Apa salahnya dia keluar daripada kereta dan mengalihkan motor tadi? Pemandu bas sanggup je basah dalam hujan atas niat nak menghulurkan pertolongan. Kenapa tidak dia buat perkara yang sama?

Kepada penunggang motosikal tadi, aku harap segalanya selamat. Bila tengok dia aku terus teringatkan pada suami sendiri. Agaknya beginilah suami aku jatuh motor. Sesungguhnya setiap ujian dan musibah itu Allah akan hadirkan pahala sekiranya kita tidak merungut dan menyalahkan Allah.

Kepada pemandu kereta hitam tadi, ambil iktibar kes tersebut, janganlah terlalu mementingkan diri sendiri. Hidup ini ibarat roda, tak selamanya kita di atas.