Semalam terasa nak memasak selepas beberapa minggu aku tak masak. Lagipun, orang yang tak pandai masak macam aku ni kenalah selalu praktis. Bak kata orang jawa (pinjam ayat budak ofis aku) practise makes perfect. Lagipun, aku kena pandai masak untuk pikat hati suami aku kelak. Orang tua-tua pernah berkata, jaga perut suami, kena jaga perut suami. Mungkin suami aku tak kisah, (tapi sampai bilalah sangat dia tak kisahkan?), tapi aku kena kisah tentang bakal mertua aku, so tak boleh pandang remeh soal masak memasak ni.
Sebelum nak memasak, aku on tv. Tergerak juga hati nak tengok bola. Maklumlah finalkan. Selama ni aku takkan tengok bola sorang-sorang, tak feel (kata orang jawa lagi). Dulu ada juga lepak mamak stall dengan kawan-kawan dan anak saudara sebab mereka sangat fanatik dengan dunia bola sepak. Aku sesekali layan je, tak delah obses pun. Tapi, kalau diaorang sebut nama player, aku biasanya banyak nganga je, sebab aku tak kenal pun. Player Malaysia pun aku tak kenal, apatah lagi player antarabangsa. Nganga jelah mampu.
Tapi sejak umur meningkat senja ni (senjalah sangat), aku dah malas nak lepak-lepak kat luar macam dulu. Bukan tak ada kawan-kawan yang mengajak, tapi aku sekarang terasa amat malas nak keluar dan lepak seperti dulu. Aku jadi segan pun ada, sebab bila dah peralihan usia ni, aku rasa aku kena banyak berubah daripada segi aktiviti keduniaan aku. Sehinggakan ada di kalangan kawan-kawan dah cop aku sebagai anti sosial.
Oh tidak, aku bukan anti sosial, aku masih seperti biasa. Sesekali bolehlah keluar makan-makan lepak bersama kawan-kawan. Tapi, kalau hari bekerja, aku takkan ke mana-mana melainkan pulang ke rumah. Mungkin singgah di pasaraya beli barang-barang keperluan dapur dan untuk stok peti ais, selesai sahaja terus balik rumah tanpa ada rasa nak lencong ke mana-mana lagi. Sungguh, aku lebih selesa lepak di rumah sorang diri. Sesekali, kalau ada keperluan, aku bolehlah melepak sekejap-sekejap jumpa kawan-kawan, tak naklah aku berterusan di cop anti sosial kan.
Oh ya, berbalik kepada topik memasak tadi, sambil menanak nasi, aku memasang telinga untuk mendengar siaran langsung bola sepak daripada Indonesia. Aku tak pasti sebenarnya game akan bermula jam berapa kerana seingat aku, Jakarta lewat satu jam daripada Malaysia. Sambil memasak, aku berlari sekejap ke depan tv. Aku tengok separuh masa pertama masih 0-0. Kembali ke dapur untuk memasak. Syukurlah rumah aku kecil, kalau tidak penatlah ke hulu ke hilir aku berlari. Tak apalahkan, setiap pergerakan kan membakar kalori.
Sibuk menumis, tiba-tiba aku dikejutkan dengan jeritan nyaring gol yang tersangatlah kuatnya daripada sekeliling blok rumah aku. Rasa macam bergegar sekejap apartmen rumah aku. Dahlah rumah aku paling atas, konon penthouselah tu. Tanpa berlengah, tindakan refleks yang aku lakukan adalah terlompat-lompat berlari ke depan tv dengan segera untuk menyaksikan jaringan gol daripada pasukan Malaysia. Untung ada ulang tayang, kalau tidak aku akan terlepas menyaksikan detik manis itu.
Aku jadi tak senang duduk, macam kucing nak beranak, mana fikir nak memasak, nak tengok tv, tak kusyuk aku buat 2 benda ni dalam satu masa. Hilang fokus nak memasak takut kang terlepas lagi kalau-kalau ada yang sumbat gol, takut kang terlepas lagi aksi-aksi yang penuh debaran. Nak tengok bola pun tak setenang mana, kang hangit pula masakan aku kang. Sia-sia je kang. So, salah satu terpaksa aku korbankan. Aku kena ambil langkah yang bijak. Maka, aku ke dapur teruskan acara memasak, dan aku sekadar pasang telinga, aku tunggu signal daripada jiran tetangga, aku sangat yakin sekiranya jiran sekeliling menjerit bagai nak rak, tu tandanya pasti ada gol yang disumbat lagi oleh player Malaysia.
Tunggu punya tunggu senyap sunyi je. Adalah terdengar bunyi jeritan, tapi tidaklah sekuat yang mula-mula tadi. Urusan memasak pun hampir selesai, aku segera ke depan tv. Baru nak duduk, tiba-tiba pintu gol Malaysia akhirnya bolos. Argghhhh, macam tak percaya bila aku tengok permainan player Malaysia yang tiba-tiba agak huru hara. Entah, barangkali mereka dah penat atau mereka dah terlampau yakin Malaysia akan tetap menang. Aku memang tak pandai mengulas pasal bab sukan ni.
Kesudahannya Malaysia menang dengan agregat 4-2, satu kejayaan yang sangat membanggakan. Sambil menjamu selera (jarang aku makan makan lewat begini), aku tersenyum sorang-sorang bila PM mengumumkan hari jumaat cuti umum sempena kemenangan ini. Nampak gayanya, cuti yang aku dah apply untuk jumaat ni carry forward lagilah. Hopefully.
Maka pagi-pagi bila tiba di ofis, perkara pertama yang aku buat ialah membuka blog, dan seperti dijangka, puluhan blog menceritakan tentang detik manis semalam. Banyak photo yang aku tengok mengenai acara semalam. Banyak artikel yang aku baca tentang peristiwa semalam. Yang aku tak tahan daripada ketawa bila aku baca ada seorang penyokong Indon merangkap bomohlah konon nak potong telinga kalau Indon kalah. Ahaksss, aku tak pasti pula dia dah potong telinga dia ke belum. Gelagat penyokong Indon yang ala-ala spiderman pun membuatkan aku tersengih sorang-sorang depan pc, agaknya dia ada 9 nyawa macam kucing kot.
Dan suratkhabar semalam ada menceritakan Sotong Gerita Dewa Laut mereka meramalkan Malaysia akan tewas ke tangan Indon juga mencuit hati aku. Teringat aku sotong Paul yang dah jadi arwah. Hahaha. Teringat juga artis Julia Perez yang nak memancarkan laser di colinya bertujuan untuk hilangkan fokus player Malaysia. Dan aku rasa dialah penyebabnya player Indon hilang penumpuan semasa bermain semalam. Ngeh ngeh ngeh
Dan paling mencuit hati aku, player Malaysia ke stadium menaiki kereta kebal untuk menjamin tahap keselamatan mereka. Aku rasa aku tak pernah lagi dengar player ke stadium naik kereta kebal. Bayangkanlah di sini mentaliti penyokong Indon berada di tahap mana. Tak perlulah aku nak huraikan, kita boleh faham sendiri.
Tiba-tiba aku rasa nak puji penyokong Malaysia. Semasa perlawanan berlangsung di Bukit Jalil ahad lalu, di mana stadium dibanjiri oleh lautan harimau malaya sehinggakan tempat duduk penyokong Malaysia dah tak muat langsung, dan apa yang berlaku penyokong Malaysia terpaksa ke bahagian seat penyokong Indon. Semasa ini berlaku, di fikiran aku dah terbayang yang bukan-bukan, dah terbayang benda negatif, aku dah jadi bimbang, takut sebarang pertumpahan darah akan berlaku sebab aku ada terbaca banner penyokong Indon, iaitu lebih kurang begini bunyinya, sekalipun darah jadi taruhan, so, aku dah cuak. Tapi, sangkaan aku jauh meleset. Aku tengok elok je penyokong Malaysia dan Indon berada dalam kelompok seat yang sama dengan aman damai dan tenteram. Tak ada pun sebarang kejadian buruk atau yang memalukan berlaku. Amboi, bagusnya.
Ikutkan sejarah, penyokong Malaysia pun bukanlah profesional sangat. Tak kiralah daripada negeri mana pun, aku tak berpihak kepada mana-mana negeri, sebab semuanya sama sahaja rakyat Malaysia. Yang aku kata tak profesional tu, sebab dah ada banyak kes sebelum ni di mana ada yang bertumbuk, bergaduh dengan FRU, bakar kerusi, bakar kenderaan, dan segala macam perkara negatif dah berlaku hanya kerana bola sepak. Tapi aku rasa sangat teruja pula (pelik pun ada) bila tengok para penyokong Malaysia yang berada di bahagian penyokong Indon, di mana bilangan penyokong Malaysia pula di situ sahaja hampir sama ramai dengan penyokong Indon, tapi elok je bersama-sama menonton perlawanan.
Maka, aku harap penyokong-penyokong ini akan terus selamanya kekalkan sikap positif dan profesional tersebut. Tak perlulah nak bakar kerusi lagi, nak bergaduh lagi, nak bertumbuk lagi, tak kiralah dalam apa saja perlawanan atau piala sekalipun, sebab kalah atau menang adat bertanding. Yang terbaik tetap akan menang walaupun di provoke oleh benda yang negatif.
Gaduh mulut tu perkara normal sebelum dan selepas game. Dalam forum, dalam blog, dalam facebook dan segala macam media massa dan media elektronik, kita boleh jumpa dan baca pelbagai ayat dan perkataan yang diluahkan yang kebanyakannya berunsur negatif. Laser di padang dah berlalu, laser di internet pun bermula. Konon sesi luahan perasaan. Tapi, janganlah melampau-lampau, sebab apa sahaja yang kita ucap, kita cakap, kita lafaz, esok-esok kat akhirat kita kena jawab tau.
Moral of the story, apa saja yang kita nak buat, nak cakap, mulakan dengan bismillah, insyaallah, akan ada keberkatan di situ, dan insyaallah, segala urusan kita di dunia dan akhirat dipermudahkan. Lagipun, bila dah memulakan sesuatu dengan bismillah, takkanlah segala tindakan kita nak ke arah benda negatif jugakan?