~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Isnin, 11 Oktober 2010

copy dan paste artikel pilihan

Semalam, ada orang mengutarakan kepada saya satu permasalahan yang pertama kali saya dengar, dan ia mengundang rasa geli hati saya.

“Kawan saya kata, kita tak boleh belajar dari blog-blog, facebook (pendek kata, internet) sebab dia kata, Rasulullah ajar kalau menuntut ilmu kena berdepan-depan.”

Ha. Macam mana tu ya? Siap angkat nama Rasulullah SAW lagi. Kalau biasa-biasa, bila dengar nama Rasulullah sahaja, kita dah tak tanya dah.

Macam mana? Langit Ilahi ni tak boleh ikutlah? Tak boleh ambil apa-apa dari Langit Ilahi lah?

Saya tersenyum.

Memang. Menuntut ilmu perlu berdepan-depan.

Memang. Kalau ditanyakan kepada saya, saya akan menjawab antara adab menuntut ilmu adalah berhadapan dengan guru. Mengambil terus daripadanya tanpa perantara. Memang itu yang ditunjukkan dengan jelas oleh Jibril AS apabila bertemu dengan Rasulullah SAW di dalam hadith Jibril yang popular, apabila Jibril bertanyakan pelbagai soalan kepada Rasulullah SAW.

Diriwayatkan di dalam hadith itu, lutut mereka bertemu.

Inilah dia adab bila berguru.

Saya tidak menafikan hal ini.

Menuntut ilmu berhadapan dengan si penyampai, sememangnya adalah cara terbaik, yang tidak dapat disangkal lagi.

Tetapi…

Tetapi, apakah salah mencari maklumat tambahan apabila sudah mempunyai kemudahan seperti internet dan sebagainya?

Tidak. Hal ini tidak memerlukan dalil kerana mengikut kaedah fiqh, “Asal kepada segala perkara adalah halal melainkan ada dalil yang mengharamkannya.”

Maka di sini, setakat ilmu saya yang rendah ini, tidak terdapat dalil menyatakan bahawa haram sekiranya kita menuntut ilmu selain berdepan-depan.

Ini dibuktikan oleh para ulama’ terdahulu yang menulis buku. Sedangkan, Rasulullah SAW tidak menulis hadith-hadith baginda. Tetapi selepas selesai masalah untuk tersilap ayat Al-Quran dan hadith baginda, Rasulullah mengarahkan sahabat-sahabatnya untuk menulis. Ini diperkuatkan pula dengan ulama’-ulama’ yang wujud selepas zaman itu, menulis kitab-kitab mereka.

Berkenaan menuntut ilmu di internet, saya melihat sheikh-sheikh saya di Jordan ini turut menyuruh kami anak-anak muridnya membuat rujukan dari internet. Sekiranya, menuntut ilmu, mengambil maklumat dari internet merupakan satu kesalahan, semestinya sudah wujud pergaduhan antara sheikh yang setuju dengan sheikh yang tidak setuju di Yarmouk ini.

Tetapi lihatlah. Rujukan. Bukan ambil bulat-bulat.

Apa yang kita belajar di dalam kelas, kita bandingkan dengan maklumat di internet.

Semata-mata internet, semestinya tidak kena.

Mengambil manfaat dari internet

Dunia telah digerakkan oleh teknologi hari ini. 1001 satu kemudahan telah wujud. Antaranya yang paling popular adalah internet.

Maka ambil lah apa yang bermanfaat dan tinggalkanlah apa yang membawa kemudaratan daripadanya.

Agar melayari internet juga menjadi ibadah buat kita.

Kesilapan utama dalam mengambil ilmu dari internet.

Silap yang utama di dalam perihal mengambil ilmu dari internet adalah, dia mengambil bulat-bulat begitu sahaja. Saya tidak sarankan hal ini. Hatta apa-apa yang anda ambil dari Langit Ilahi sekalipun, hakikatnya saya tidak berapa gemar anda terus mengambilnya begitu sahaja.

Di blog-blog, facebook dan sebagainya, ia hanya cambahan idea. Pendapat penulis berdasarkan ilmunya. Tidak semestinya semua yang dibicarakan benar. Ini dapat kita perhatikan bahawa banyak lagi blog-blog lain yang wujud, menentang Islam dan memberikan informasi salah.

Maka ilmu yang dituntut secara berdepan-depan adalah perlu bagi menilai ‘bahan-bahan tambahan’ ini. Di sinilah kita melihat, kepentingan dalam mencari guru yang baik dan boleh dipercayai. Agar ilmu-ilmu itu dapat kita lihat dalam bentuk ‘pembumian’, yakni diamalkan. Bukan semata-mata teori.

Dan hakikatnya, apabila menuntut ilmu berdepan-depan juga, kita tidak boleh menutup keterbukaan kita dengan semata-mata mendengar pendapat seorang guru. Latih diri untuk mendengar pendapat dari pelbagai guru. Di situlah baru kita berjaya mewujudkan kesederhanaan dalam langkahan kita.

Penutup: Saya adalah realiti. Bukan fantasi. Jangan risau.

Saya Hilal Asyraf, adalah manusia yang hidup. Kalau tak percaya, boleh tanya sesiapa yang pernah berjumpa dengan saya. Saya bukan fantasi.

Kalau ada kemampuan, boleh mencari saya untuk berdepan-depan. Tinggal saya tidak anggap diri saya sebagai guru kalian. Saya sama macam kalian juga. Tinggal website ini adalah ruang perkongsian.

Maka selesailah hal ini kiranya. Konklusinya, mencari ilmu tambahan secara tidak terus(melalui buku, internet, radio dan sebagainya) hakikatnya tidak haram bahkan digalakkan untuk mencambah pengetahuan dan memperdalam kefahaman.

Tetapi, berdepan-depan dengan guru bukanlah sesuatu yang patut ditinggalkan.

Masalahnya adalah belajar tanpa guru.

Itu masalah yang besar yang sebenarnya.