~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Rabu, 20 Oktober 2010

Nyawa dan kesihatan juga wasiat

12 Zulkaedah. Aku datang kerja macam biasa, walaupun malas menguasai diri, aku kena lawan rasa negatif tu. Banyak kerja di ofis yang menanti. Sebenarnya, aku sangat mengantuk. Semalam, selesai masak dan makan, aku tertidur keletihan dan aku terjaga semula jam 1 pagi. Tiba-tiba rasa sunyi datang menyelubungi diri. Dan aku mula terfikir sekiranya aku sakit atau demam, bukan ada sesiapa pun kat rumah tu.

Rasa takut tiba-tiba datang menyerang. Bagaimana sekiranya aku mati secara tiba-tiba pula? Mati dalam tidur juga ada kemungkinan. Sempatkah aku bertaubat? Sempatkah aku mengucapkan kalimah agung sebelum meninggal? Ya Allah, matikanlah aku dalam iman, aku merayu padaMu Ya Allah Ya Tuhan Yang Maha Pengasih dan Penyayang.

Sudahnya, aku tak boleh menyambung lelapkan mata. Terkebil-kebil kelopak mata berfikir segalanya. Walaupun aku mengantuk, mata aku langsung tak nak lelap, aku paksa pejam, juga tak nak lelap. Fikiran aku memutar-mutar berfikir seandainya aku mati, pada siapa harta akan diserahkan? Amboi, banyak sangat ke harta aku?

2 - 3 hari lepas, aku mendengar tentang wasiat di dalam radio IKIM. Kepentingan buat wasiat walaupun harta seciput cuma. Walaupun ramai yang mengetahui tentang kepentingan wasiat, tapi tiada tindakan susulan yang dibuat, maka 40 billion harta masih pending di Amanah Raya. Maka, buatlah wasiat walaupun harta sekangkang kera.

Aku sendiri masih buntu bagaimana nak buat wasiat. Aku tak tahu prosedur yang sewajarnya. Aku cuba tanya lebai google, macam-macam info yang aku dapat. Prosesnya dikenakan RM350 dan sebarang pindaan RM35 akan dicaj.

Aku meneruskan berfikir, pada siapa patut aku wasiatkan kereta kecik aku dan rumah kecik aku yang hakikatnya masih milik bank kerana belum selesai berhutang. Malas berfikir, aku decided untuk bagi pada anak yatim. Tapi rumah anak yatim mana aku nak kasi?

Entahlah, aku masih terus berfikir dan berfikir. Aku bukan ada sesiapa nak bagi harta seciput tu. Mungkin anak yatim adalah pilihan yang bijak buat masa ini kan.

Sudahnya aku terlelap, sebelum terlelap aku berdoa supaya aku takkan mati semasa tidur. Alhamdulillah, aku belum menjadi mayat. Hadiah tak ternilai daripada Allah untuk aku buat hari ini iaitu nyawa dan kesihatan. Maka, wajiblah aku bersyukur secara paling maksima.