~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Selasa, 15 Mac 2011

Ikut sifat syaitan

Ada seorang kawan. Dia cakap malasnya nak buat kerja, padahal banyak kerja yang masih bertimbun. Aku tak pasti apa motif dia sampaikan perkara itu pada aku. Untuk memohon pendapat aku atau sekadar modal berbicara. Aku pun dengan selambanya berkata, meh kita belajar ikut sifat syaitan. Kawan aku tercengang. Apa kaitannya? Aku cakaplah, syaitan tak pernah ada rasa malas dalam dirinya dalam nak menyesatkan manusia. Sifat rajin itulah patut kita contohi. Syaitan akan berusaha secara maksima, sepenuh jiwa dan raganya demi nak menghancurkan umat manusia.

Aku sambung lagi, syaitan bukannya sejahat mana pun, syaitan tak pernah syirik pada Allah. Tapi ramai di kalangan kita yang dah syirik, samada syirik kecil atau besar. Samada syirik itu kita sedar atau tidak. So, siapa yang jahat sebenarnya? Kita atau syaitan? Syaitan hanya engkar perintah Allah supaya sembah anak Adam.

Aku pernah tulis entry sebegini dalam tajuk 'Aku Kagum Dengan Syaitan'. Aku mengulanginya semula sekali lagi di sini sebab aku rasa banyak yang aku patut belajar daripada syaitan dalam nak menambahkan iman aku. Jangan lupa, iman kita bila-bila masa je Allah boleh cabut. Maka, sentiasalah berdoa pada Allah sentiasa seperti hidupkan aku dalam iman Ya Allah, dan matikanlah aku dalam iman Ya Allah.

Sebagai manusia, aku tak nafikan, rasa malas tu kadang-kadang wujud dalam diri aku. Malas nak beribadah, malas nak buat kerja rumah, malas nak buat kerja di ofis. Tapi, sebagai manusia juga yang diberi akal, mari kita sama-sama muhasabah diri. Mari kita kembali kepada asas. Ingat tujuan kita diwujudkan ke dunia ni atas sebab apa? Allah tak wujudkan kita tanpa sebab. Semuanya bersebab.

Kita dijadikan Allah sebagai hambaNya. Maka, sebagai hambaNya kita wajib sembahNya, patuh pada perintahNya, tinggalkan apa yang dilarangNya. Kita diwajibkan berdakwah. Di sana esok kita kena jawab kenapa kita tak berdakwah? Ilmu sikit cara ilmu sikit, ilmu banyak cara ilmu banyak. Sampaikanlah walau sepotong ayat, tak gitu? Tapi jangan jadi macam aku yang sekadar gunakan medium blog untuk berdakwah, hehehe

Maka, sebagai hamba Allah yang lemah dan tak ada daya dan upaya, mari kita berdoa semoga segala urusan ibadah kita dipermudahkan dunia dan akhirat. Ramai yang lupa berdoa supaya urusan amal ibadah kita dipermudahkan dan berjalan lancar. Mari kita berdoa supaya kita tak malas dalam urusan harian kita dan juga urusan ibadah. Semoga kita semua berada dalam lindungan rahmat Allah. Amin.