~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Selasa, 15 Mac 2011

Tsunami Jepun - Kiamat Kecil

Kita digemparkan dengan tsunami yang sangat dashyat di Jepun. Sebenarnya, aku tak mengikuti sangat perkembangan yang berlaku di sana, kecuali sekiranya kebetulan aku terbaca dalam suratkhabar atau mendengar berita  sahaja. Bukan tak nak ambil tahu berita ini, cuma aku tak bersedia daripada segi mental dan emosi. Sesungguhnya aku tak dapat bayangkan perkara ini jika aku lalui sendiri.

Jepun yang kita sedia maklum sudah bersedia menghadapi musibah ini. Seperti kita sedia maklum, Jepun sendiri mempunyai teknologi canggih. Walau bagaimanapun, mereka tak mampu melawan takdir Allah yang lebih berkuasa. Puluhan ribu terkorban dan hilang tak dapat dikesan. Sungguh, aku tak dapat bayangkannya. Sekarang ini pula, kesan daripada tsunami ialah radiasi yang mempunyai impak yang sangat besar untuk kesan jangka panjang. Radiasi perang dunia kedua dahulu pun masih ada saki bakinya sehingga sekarang walaupun dah berpuluh tahun perkara itu berlaku.

Menurut kawan-kawan yang melihat menerusi youtube, mereka menceritakan bagaimana keadaan yang berlaku di sana. Aku hanya mendengar penuh minat. Dan cuba membayangkan situasi di hujung tanduk itu. Aku tak nafikan emosi aku turut terkesan dengan semua ini. Segala yang berlaku atas izin Allah. Sehebat mana pun kita, takkan mampu menghalang kuasanya yang Maha Hebat. Apa yang mampu kita buat salurkan keprihatinan kita melalui doa kepada mereka di sana. Dan yang paling penting, mari sama-sama muhasabah diri. Tingkatkan amal ibadah kita, jangan bazirkan masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Nyawa kita juga bila-bila boleh dicabut cuma masa dan keadaan saja yang barangkali tidak sama.

Tsunami ini bukan yang terakhir, tak mustahil ianya akan berlaku lagi. Aku bukan meminta, aku sekadar ingatkan diri. Aku ni banyak dosa. Aku takut. Aku takut mati dengan dosa yang tak terhitung. Aku takut. Aku rasa menggigil tiba-tiba.