Perkahwinan merupakan suatu ikatan perjanjian di antara dua insan yang saling sayang menyayangi sehingga berjaya mendirikan sebuah rumah tangga. Kebanyakan ikatan perkahwinan mengharapkan hubungan kasih sayang yang berpanjangan yang akan memperkembangkan dan membentuk identiti diri yang kukuh andainya perkahwinan itu berterusan.
Apa jua bentuk perkahwinan yang berlaku, sama ada dijodohkan oleh orang lain, berkenalan di antara satu sama lain atau berkahwin untuk melengkapkan proses kitaran kehidupan di dunia ini, kebanyakan perkahwinan akan memberikan peranan baru kepada kedua-dua pasangan.
Suami isteri diharapkan dapat menerima peranan baru melalui perkahwinan dan dapat menyesuaikan diri masing-masing dengan peribadi atau personaliti pasangan. Apabila penyesuaian peribadi diri tidak serasi, akan timbul pergolakan hubungan, ketidakpuasan dalam hubungan dan institusi perkahwinan akan memperlihatkan kegoncangan dan mungkin melalui proses perceraian.
Kajian dengan menggunakan sampel yang besar, terdiri dua ribu pasangan yang berkahwin dalam tempoh tiga tahun mengatakan mereka amat berbahagia dalam tempoh perkahwinan dan menyuarakan beberapa ciri-ciri fenomena yang membuatkan mereka merasai amat gembira dan berbahagia dalam perkahwinan. Ciri-ciri tertentu yang dinyatakan oleh pasangan-pasangan berkenaan termasuklah:
Mereka amat menyukai antara satu sama lain. Hubungan yang berlaku bersifat kawan dan teman rapat yang melengkapi di antara satu sama lain. Mereka tidak menaruh syak wasangka dan menaruh kepercayaan yang tinggi ke atas kejujuran pasangan. Apabila berbicara dengan orang lain tentang kehidupan, mereka sering merujuk kepada `kita’ tidak `saya’. Ini menunjukkan keserasian kehidupan yang mereka lalui.
Mereka menghargai kebebasan yang diberikan oleh pasangan dan sentiasa menjaga reputasi diri sebagai seorang suami atau seorang isteri. Intimasi dalam hubungan sering membuatkan mereka merasai kerinduan apabila berjauhan. Aktiviti yang sama-sama mereka lakukan amat menyeronokkan berbanding dengan aktiviti yang sama dilakukan dengan orang lain.
Di samping ciri-ciri tertentu yang menyeronokkan ikatan perkahwinan di antara mereka, terdapat juga ciri-ciri hubungan yang kadang kala menimbulkan gangguan emosi yang negatif tetapi tidak berterusan. Ciri-ciri tingkah laku yang kadang kala berunsur negatif tetapi dapat diatasi itu antaranya termasuklah:
Mereka bertelingkah tentang sesuatu isu dalam hubungan perkahwinan mereka, tetapi segera mencari jalan tindakan dan susulan tindakan yang berkesan. Mereka mendengar dan menghormati pandangan pasangan, tidak mendengar sambil lewa untuk mengambil hati pasangan sahaja. Pandangan pasangan secara ikhlas didengar.
Keperibadian negatif pasangan tidak diperbesarkan tetapi dihapuskan perasaan negatif berkenaan yang menimbulkan masalah. Apabila berlaku pertengkaran, isu-isu lama tidak dibicarakan semula tetapi dicari jalan penyelesaian untuk hari-hari kehadapan.
Pasangan yang harmoni ini sering mengkritik pasangan berbentuk positif, menggunakan jenaka dan tidak menjatuhkan air muka dan identiti diri pasangan. Masalah yang berlaku sama-sama cuba diatasi tidak dibuat pertimbangan siapa yang bersalah dan menimbulkan masalah.
Kedua-dua ciri fenomena hubungan harian dalam perkahwinan yang dibincangkan oleh pasangan-pasangan yang berbahagia dalam hubungan perkahwinan ini perlu diperhatikan oleh pasangan-pasangan yang sedang dalam tahap perkahwinan di antara satu hingga tiga tahun.
Perkahwinan anda akan merasai lebih berbahagia andainya anda percaya bahawa kebaikan yang anda lakukan untuk pasangan anda, akan mendapat ganjaran kebaikan yang berganda dari Allah SWT, sekiranya anda berikrar untuk mencari keredhaan dalam perkahwinan yang sedang anda lalui sekarang ini.
2 ulasan:
Semoga ikatan perkahwinan kita bersama pasangan kita adalah satu ikatan yang sentiasa dilimpahi berkat dan rahmat. Amin. :)
aminnnn kak :-)
Catat Ulasan