Assalamualaikum. Bismillah
Pulang sahaja ke rumah petang jumaat, kami berdua bergegas ke Subang untuk berkumpul bersama geng-geng 4wd untuk menuju ke destinasi kami, iaitu Ulu Slim. Jangkaan kami untuk bergerak selepas Magrib terpaksa ditunda akibat kesesakan jalan raya yang melampau. Ni semua gara-gara Perhimpunan Bersih. Menyusahkan. Semua orang tiba lewat di lokasi berkumpul.
Akhirnya plan kedua terpaksa dibuat iaitu berkumpul di tol Rawang sahaja. Sebab dah penat menunggu, semuanya sangkut dalam jem yang melampau, polis kan buat sekatan jalan raya hampir di semua tempat. Menyusahkan. Bermula di tol Rawang, kami konvoi 9 biji sahaja 4wd. Ada Defender, Ford dan Pajero.
Aku yang kepenatan meredah jem petang tadi terlelap di dalam kereta. Hanya tersedar dikejutkan suami apabila tiba di Tanjung Malim untuk makan tengah malam. Aku sekadar berkongsi sepinggan mee goreng dengan suami. Bukan bermaksud diet, tapi aku bimbang aku tak mampu habiskan makanan, maka aku sekadar menjamah untuk mengisi perut, lagipun aku dah tak ada selera nak makan, sebab aku lebih rela layan mata aku yang mengantuk.
Aku nak sangat sambung tidur dalam kereta, sebabnya bukan senang dapat peluang duduk dan tidur di seat belakang, tapi malangnya bila dah off road bermula di Pos Bersih tahu sajalah jalan yang tidak rata. Asyik melompat-lompat, bergoyang sana sini. Mampat makanan yang ada dalam perut. Aku jadi cuak bila melihat gaung kiri dan kanan. Aku kan gayat. Syukurlah kami bergerak tengah malam, tidaklah jelas sangat view gaung dan bukit yang mencanak tinggi.
Akhirnya hampir 2 jam off road kami tiba di kem site Ulu Slim. Sesi sambung tidur bermula selepas kami memasang fly sheet. Ohhh sejuknya, syukurlah sleeping bag aku mampu menghilangkan sedikit sebanyak sejuk beku tersebut. Rasanya aku orang pertama yang tidur. Orang lain masih berborak di tempat tidur masing-masing. Antara dengar dan tidak, aku akhirnya terlelap.
Esok pagi kami berjemaah menyediakan sarapan pagi tengahari dan malam. Makan malam kami adalah secara candle light dinner dan head lamp dinner. Dalam suasana dingin, kami berselera makan. Untungnya trip macam ni, aku boleh belajar resepi baru. Resepi pula daripada pelbagai bangsa, maklumlah yang terlibat dalam trip ni ada Melayu, Cina, Siam, Iban, Pakistan, India dan mat saleh. So masing-masing menurunkan ilmu tradisi masakan bangsa mereka. Secara tak langsung, aku teruja dengan menu yang baru.
Tiada aktiviti baru yang kami lakukan selain memancing ikan tengas, sauk udang, berendam dalam kesejukan air yang jernih, berehat dan relaks daripada kesibukan ibu kota dan perhimpunan bersih. Aku ada juga terkenangkan rakan aku yang sedang nazak itu yang dah kembali ke Rahmatullah. Salam takziah daripada aku. Aku tak dapat bayangkan kalau aku di tempat dia. Seorang diri di dalam kubur. Dalam hutan seorang diri pun dah takut. Ishhh, ngerinya bila terbayang-bayang.
Ada masa kami berborak tentang Perhimpunan Bersih. Masing-masing memberi pendapat peribadi. Nyata tiada yang menyokong perhimpunan bersih itu termasuklah aku. Aku kan jahil politik. Maka, aku lebih kepada menjadi pendengar dan pemerhati. Ada masa aku menggangguk, ada masa aku tersengih dan ada masa aku ketawa. Pada aku yang jahil politik, aku lebih rela berkumpul di masjid beriktikaf daripada berada di jalan raya yang belum tentu dapat pahala. Hahahaha.
Sekurang-kurangnya aktiviti off road bersama kawan-kawan di dalam hutan mampu mengeratkan silatulrahim sesama kami. Bukan senang nak jumpa di KL, masing-masing sibuk dengan komitmen kerja, maka, dapat jumpa dalam hutan pun dah bersyukur sangat. Cuma apa yang aku kurang senang, masih ada segelintir yang mengabaikan suruhan Allah untuk bersolat. Aku rasa sangat tak best. Bukankah solat adalah wajib. Aku pun tak faham. Solatlah walau di mana berada. Allah dah kasi hadiah jamak dan qasar. Gunakanlah. Bukan lama bebenor nak bersolat. Mengambil masa 5 - 10 minit aje pun. Menyedihkanlah. Biarpun kami dikelilingi oleh bukan Muslim, tapi itu bukanlah satu alasan untuk tidak bersolat.
Entahlah. Sedih dengan perhimpunan bersih. Sedih dengan mentaliti bangsa sendiri yang lebih pentingkan benda lain daripada suruhan Allah. Masuk hutan memang untuk relaks. Tapi bukan bermakna tanggungjawab kita sebagai hamba Allah kita abaikan terus. Ingat, kita ni tak tahu mati bila. Takkan dah tunggu nazak baru nak taubat. Ishhh. Sepatutnya dapat masuk hutan, melihat keindahan alam ciptaan Allah, kita menjadi hamba yang lebih bersyukur, bukan hamba yang tidak tidak sedar di untung.
p/s : aku puas berendam bersama suami di jeram Ulu Slim. Bukan senang nak berdua-duan macam ni. Tak ada gangguan daripada sesiapa. Siap boleh pilih nak terjun di kolam mana. Tak ada orang lain yang nak berebut tempat dengan kami. Biasanya apa yang berlaku di jeram KL seperti Ulu Yam, Sg Congkak dll tu sangatlah crowdednya. Kena datang awal untuk ambil lokasi dan kolam yang best, terpaksa pula berkongsi kolam dengan ramai orang. Tapi, dalam hutan macam ni tak perlu, nak berenang daripada hujung jeram ke hujung jeram pun boleh. Nak pilih sungai pun boleh. Ada banyak anak sungai di situ yang boleh dijadikan pilihan. Ada dalam, ada yang cetek, ada yang boleh ditiruk. Pilih saja yang mana berkenan di hati. Sangat tenang dan damai. Sangat sunyi sepi daripada sebarang gangguan bunyi bising. Aku suka.
0 ulasan:
Catat Ulasan