Jom pergi dengar ceramah”, ajak seorang rakan kepada rakannya yang lain.
“Tak nak lah..Setakat dengar ceramah je nak buat apa. Nak sembahyang? Sembahyang kat rumah pun boleh kan?” jawab rakannya tadi.
Sedih.
Sedih mendengarkan alasan itu. Itulah hebatnya Allah SWT, hanya Dia-lah sahaja yang mampu untuk menggerakkan hati manusia seperti saya dan anda untuk menuju redha-Nya. Namun, hidayah daripada Allah SWT bukannya alasan untuk tidak mencari keimanan kepada-Nya.
“Jom kita puasa”, kata seseorang kepada rakan karibnya.
“Hehe.. Hidayah Allah tak sampai lagilah. Tak sampai seru, dah sampai nanti aku puasa la. Jangan risau, nanti aku puasa tiap-tiap hari..huhu“, jawab rakannya dengan selambanya.
Apakah perasaan anda jika mendengar kata-kata seperti itu? Mungkin kemarahan akan menjelma ketika itu bukan? Sabarlah dan terus bersabar. Seorang da’ie tidak mengenal erti putus asa. Bukan kejayaan yang Allah lihat, tetapi kesungguhan yang tidak mengenal erti putus asa itulah yang menjadi perhatian Allah SWT. Lagi dan lagi berusaha berdakwah.
TAKUT DIDAKWAH?
“Panas.. Panas!! Aku tak boleh dengar lagu-lagu nasyid ni. Aku jadi terbakar nanti!”, kata seorang teman kepada saya suatu ketika dahulu.
Terbakarkah apabila mendengar ayat-ayat Allah? Hanya syaitan sahaja yang lari bertempiaran apabila mendengar ayat-ayat Allah SWT. Mengapa apabila mendengar frekuensi yang ‘lebih hangat daripada biasa’ tidak terbakar pula? Kita sengaja meletakkan Allah itu jauh dari diri kita, kerana itulah kita sukar mendapatkan-Nya.
Kebiasaannya, dakwah adalah satu perkataan yang sangat ditakuti. Kebanyakan orang akan mentafsirkannya atau menyamakannya dengan gerakan pencegah maksiat. Pernah suatu ketika saya ke pusat bowling dengan memakai kopiah, ramai yang menjauhkan diri kerana takut melihat saya dan takut saya ber’ceramah’ kepada mereka, walhal saya mahu bermain bowling sahaja. Waduh..
Sabda Nabi Muhammad SAW adalah benar iaitu di akhir zaman, sesiapa yang membawa Islam akan diherdik dan dikatakan pelik.
Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Bersabda Rasulullah saw, “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing). Dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang orang yang asing”.
(Hadis Riwayat Muslim)
Benar. Islam sudah dikira dagang (pelik dan asing). Orang bersolat dikatakan jumud. Orang menutup aurat dikatakan ketinggalan zaman dan tidak mengikut fesyen semasa. Itulah yang berlaku sekarang, beruntunglah orang-orang yang ‘pelik’ itu.
LAYAKKAH KITA BERDAKWAH?
“Kau pun banyak buat dosa, nak dakwah orang pulak!”
“Kau nasihatkan orang, tapi buat jugak!”
“Kita bukan ulama, mana boleh cakap hal-hal agama ni!”
Kata-kata yang biasa kita dengar dan mungkin juga kita yang menyebutnya. Benar. Kita bukanlah seorang alim atau ulama yang mempunyai ilmu yang menggunung dalam bidang agama, kita insan yang dahagakan ilmu agama sebenarnya. Tetapi agama itu nasihat, semua yang kita tuturkan (yang baik) adalah dakwah. Janganlah menyebut soal hukum yang berat-berat, kerana bukan di bawah bidang kuasa kita, hanya sekadar ilmu yang kita tahu dan sebutlah berkenaan akhlak, adab dan hal-hal lain yang simple-simple sahaja (mengikut tahap ilmu).
Bukankah Nabi Muhammad SAW telah bersabda bahawa sesiapa yang mengucapkan syahadah, maka dia adalah seorang pendakwah? Maka menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan agama walaupun sepotong ayat. Dakwah orang biasa jangan disamakan dengan pendakwah bertauliah, jika disamakan, maka ramailah yang tidak mahu berdakwah nanti.
Dakwah yang paling mudah ialah menunjukkan akhlak yang baik. Insya-Allah semua mampu melakukannya. Tiada alasan untuk tidak berdakwah dan janganlah menyempitkan makna dakwah itu sendiri. Saya dan anda adalah pendakwah dan orang yang didakwah kerana ianya proses mengenal TUHAN. Nabi Musa a.s yang mempunyai kelebihan untuk bercakap terus dengan Allah SWT pun ditarbiyah oleh Allah SWT. Ini menunjukkan manusia ini perlu sentiasa didakwah, ditarbiyah dan ditazkirah.
“Allah berfirman “Aku sepertimana sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Dan Aku akan bersama hamba-Ku jika dia mengingati-Ku. Kalau dia mengingati-Ku di dalam dirinya, Aku akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati-Ku di khalayak ramai, Aku mengingatinya di tengah khalayak yang lebih ramai lagi (para malaikat dan seluruh makhluk). Apabila dia mendekati-Ku sejengkal, Aku mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, Aku mendekatinya sedepa. Apabila dia mendekati-Ku dengan berjalan, Aku mendekatinya dengan berlari”
(Hadis Qudsi Riwayat Bukhari)
Walaupun kita tidak mahu berubah, tetapi sekurang-kurangnya tetapkan di dalam hati yang kita mahu ditarbiyah dan mahukan agama kerana ianya pintu hidayah kepada kita. Seperti Saidina Umar r.a yang memerangi Islam dan Nabi SAW. Akhirnya beliau memeluk Islam kerana hatinya terbuka mahukan agama.
Bacalah dengan niat untuk mendapat manfaat. Insya-Allah kita akan berada dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa ingat dan saling memperingati. Ingatlah, kita akan didakwah dan berdakwah!
4 ulasan:
seronok baca artikel ini..saya tidaklah baik namun saya juga pernah dikatakan pelik..hihi..tapi bila membaca entry kali ini semnagt untuk kekal seperti cara saya lebi kuat..terima kasih WBH
suami saya selalu pesan kalau kita berlaianan dari orang dan orang lain melakukan perkara sama sedangkan kita tidak, tak bermaksud kita salah dan mereka betul..
rulza : baguslah
apa yg sy tulis ingatkan diri sy sama
sbb stp hari syaitan akan hasut sy :-)
suka kata2 drpd husband rulza :-) mmg tepat
saya pun begitu..kalau saya leka dan alpa dengan kesibukkan kerja dunia lantas saya kurang dengar ceramah atau membaca sesuatu yang menaikkan semangat beribadat, ya allah syaitan tu lebih kuat menghasut dan menggolakkan perasaan dan hati saya...
rulza : hehehe betul tu
Catat Ulasan