~ JANGAN LUPA MENGUCAPKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS JUNJUNGAN BAGINDA RASULLULLAH S.A.W. DAN KELUARGA BAGINDA SEMASA MEMASUKI BLOG INI :-)~

Selasa, 20 Disember 2011

Gila yang bermacam versi

Assalamualaikum kawan-kawan. Semalam aku nak post entry baru tapi memandangkan seharian tak masuk ofis, jadi tak sempatlah nak post. Cuti hujung minggu kalian ke mana? Hari ahad pagi aku menemankan suami mengikuti larian Malakoff di Bukit Kiara untuk acara 12 kilometer. Kenapa aku tak join sama? Sebab aku dah tak larat nak berlari. Zaman aku mengikuti marathon ni dah berlalu. Dulu setakat berlari 25 kilometer dalam acara Penang Bridge Marathon adalah perkara biasa. Dulu tak mainlah setakat 10 kilometer, semuanya nak sekurangnya 10 kilometer ke atas.

Sekarang kalau aku masuk acara 25 kilometer, mahunya aku pulang dengan ambulans. Sebab kudrat aku dah tak sekuat dulu. Dulu hari-hari ke gym aku yakin aku mampu habiskan larian, aku yakin aku mampu sampai ke penamat dalam masa yang ditetapkan oleh pihak penganjur untuk dapatkan medal, sekarang kalau aku buat perkara yang sama, silap-silap aku kena serangan jantung. Hahahaha. Last aku join marathon di Putrajaya sempena Putrajaya Nite Marathon hanya melibatkan 3 kilometer pun aku dah pancit. Nampak tak betapa jauhnya perbezaan aku dulu dan sekarang.

Maka, apabila suami ajak aku join larian Malakoff ni, aku menolak dengan alasan tidak mampu lagi dari segi kudrat dan tenaga. Setakat nak suruh teman ke Bukit Kiara tu tak ada sebarang masalah. Maka, selepas Subuh kami bergegas ke lokasi kejadian. Di sana, dah beratus orang serba hijau sedang menantikan acara bermula. Aku hanya duduk di suatu sudut menantikan suami aku menghabiskan larian sambil melayan perasaan.

Tiba-tiba aku senyum sorang-sorang apabila mengenangkan suatu perkara. Suatu masa dulu, aku anti berlari yang berbayar ni. Maksud aku, hanya orang gila yang sanggup bayar untuk berlari. Pada aku, aku berlari selama ni percuma sahaja di kawasan Lake Garden atau Tasik Titiwangsa atau mana-mana kawasan yang dibenarkan untuk berjogging dan berlari. Tak pernah aku terfikir untuk join marathon dan bayar hanya untuk berlari semata. Maka, kepada yang berkenaan yang sanggup join marathon dan bayar, pada aku tu kerja gila.

Apabila aku cakap pada kawan aku sebegitu, dia membalas secara drastik. Kau pun gila apa, sanggup bayar untuk susah payah mendaki gunung, kalau aku tak sanggup, dahlah masuk hutan itu kena gigit pacat, main lumpur dan kotor, hujan pulak tu, sanggup pikul beg berat, sanggup catu makanan dalam hutan, sanggup minum air lopak air lumpur, sanggup ikat perut, sanggup kerah kudrat semata-mata nak sampai puncak gunung kononnya nak kejar sun set dan sun rise, lagilah gila. Hahaha, aku terus ketawa mendengar sesi luahan kebengangannya itu. Ya tak ya jugak kan, maka di sinilah aku simpulkan, rupanya aku turut terjebak dalam dunia yang gila itu, bezanya cuma gila kitaorang tidak sama.

Ada gila berlari, sanggup join semua acara larian sehingga ke luar negara pun ada seperti Singapore dan Thailand. Ada gila mendaki seperti aku, tak kira musim monsun pun sanggup masuk hutan. Itu benar-benar pendaki tegarlah konon. Musim panas lagilah kan. Siap buat koleksi gunung mana dah didaki dan gunung mana pula yang bakal ditawan sehingga sanggup menjelajah gunung luar daripada Malaysia. Siap mendaki gunung berapi untuk menguji mental dan fizikal. Konon lagi, gunung sanggup di daki lautan sanggup direnangi kerana ada pulak spesis yang gila berenang, sanggup join acara berenang secara konsisten setiap tahun bermula daripada Pulau Kapas ke tanah darat. Memang gila. Ada juga yang gila basikal, sanggup berhabis ribuan ringgit untuk basikal kesayangannya. Ada yang gila kereta, ada yang gila scuba diving, secara ceruk kawasan dunia nak diselamnya, konon sanggup jumpa white shark, ada yang gila sky diving, sanggup mengenepikan rasa gayatnya demi mencapai impian. Ada yang kaki memancing, segala lubuk dah diterokainya, ada yang kaki off road, sanggup beli aksesori seperti winch, snorkel, tayar lipan untuk 4wdnya bagi memastikan 4wdnya cukup segala kelengkapan dan peralatan.

Tu secara kasar aku kategorikan gila yang pelbagai versi dan spesis. Aku akui, semua orang ada hobi masing-masing di mana pada orang lain dianggap gila dan melampau, tapi pada mereka itulah kepuasan yang hakiki. Di sini, kita tak boleh sesekali mengatakan mereka gila kerana jika kita berada di tempat mereka, barulah kita akan faham dan mengerti keadaannya. Maka, selagi mereka tidak melanggar syariat agama, biarkanlah mereka dengan hobi gila mereka. Sampai ke suatu tahap, semua itu hanya akan jadi satu memori dan kenangan abadi sahaja apabila mereka sedikit demi sedikit akan meninggalkan hobi mereka itu, tak percayalah, tunggu sahajalah, bezanya hanya cepat atau lambat sahaja. Buktinya, aku sendiri dah lama meninggalkan dunia scuba diving aku, meninggalkan hobi mendaki gunung secara drastik kerana ada hobi lain yang aku kejar dan gila sekarang ni iaitu mendalami ilmu agama, kerana aku rasa aku dah tua untuk masih kekal dalam hobi lama itu.

Oh ya, buat pengetahuan kalian juga, aku juga akhirnya bertambah gila apabila aku akhirnya terjebak dalam satu marathon ke satu marathon. Hampir kesemua marathon aku dah join antara contoh nama besar yang aku ingat ialah dikenali seperti Malakoff, Salmon Run, Penang Bridge Marathon, Genting Trailblazer, Putrajaya dan sebagainya. Dan dah banyak medal yang aku berjaya kumpul dan paling banyak setiap tahun adalah Penang Bridge Marathon. Berlari selepas Subuh hari di atas Jambatan Pulau Pinang bermula daripada USM sehingga ke hujung tol nak masuk ke pulau dan daripada tol tersebut berpatah balik kembali ke USM (masa ni jaraknya adalah 22.5 kilometer tak salah aku, sekarang je 25 kilometer bermula dari Queen Bay). Tapi hobi mendaki masih berada di tahap teratas, scuba diving berada di paras kedua dan marathon berada di paras ketiga. Tapi akhirnya, ketiga hobi ni hanya tinggal kenangan akhirnya. Cukuplah.

Cuma satu hobi ni sahaja yang tak mampu aku tinggalkan iaitu dunia badminton, satu-satunya hobi yang sukar aku lenyapkan dalam darah daging aku. Aku yakin, sampai satu masa, hobi ni juga akan terkubur bersama usia yang semakin meningkat senja

Moralnya di sini, janganlah menghina hobi orang lain. Mana tahu, kalian jugak akan terjebak suatu hari nanti. Yang penting, dalam apa jua hobi, elakkanlah unsur-unsur pembaziran kerana orang-orang yang membazir ini adalah saudara syaitan.

p/s : suami aku je hobinya belum terkubur, aku biarkan sahaja, selagi hobinya tidak menggugat hubungan antara kami berdua, aku sokong sepenuhnya. Sekurangnya aku tahu kefanatikkan dia ke arah mana, bukan ke arah kaum hawa, hahaha!

p/s : kawan aku pernah mengadu kepada aku, suaminya kaki game. Aku yang tak tahu nak kata apa, sekadar cakap, eloklah daripada suami dia jenis kaki merayap di luar, selagi suaminya kaki game di rumah, tak perlulah risau, banyakkanlah bersyukur daripada suami orang lain yang tak reti nak pulang ke rumah sebab ada banyak hobi lain di luar sana.

this opinion is debatable