TUMPAT – Unit Tabung Darah Hospital Tumpat kekurangan bekalan darah terutamanya daripada jenis A dan O, kini giat menjalankan kempen menderma darah untuk menampung kekurangan tersebut.
Pegawai Seranta Hospital Pasir Mas/Tumpat, Wan Buhari Wan Abd. Razak berkata, pihaknya mengalu-alukan penderma tetap dan baru agar menyahut kempen menderma darah ini untuk menampung kekurangan bekalan darah tersebut.
“Satu program derma darah peringkat daerah Tumpat akan diadakan di Unit Tabung Darah Hospital Tumpat esok (Sabtu).
“Program itu bermula dari jam 9 pagi hingga 4 petang, orang ramai dijemput hadir menyahut kempen derma darah ini kerana setitis darah menyelamatkan beribu nyawa,” katanya.
Menurutnya, penderma darah akan diberikan sijil penghargaan dan cenderahati.
Wan Buhari berkata, penderma darah dari jenis kumpulan lain juga dialu-alukan untuk menderma darah walau pun unit tersebut kekurangan darah A dan O.
Katanya, kempen menderma darah seperti ini juga turut diadakan di beberapa institut pengajian tinggi, di kolej-kolej swasta dan kerajaan selain melibatkan penyertaan beberapa badan sukarelawan.
“Golongan muda turut menjadi sasaran bagi meningkatkan kesedaran tentang tanggungjawab sosial ini, yang mana setitis darah mereka mampu menyelamatkan nyawa orang lain,” katanya.
0 ulasan:
Catat Ulasan